Adakah Ramai Penjawat Awam Terlibat Dalam Kes Rasuah?

Benar
Adakah Ramai Penjawat Awam Terlibat Dalam Kes Rasuah?

Kes rasuah banyak berleluasa di Malaysia dan melibatkan orang atasan hingga ke rakyat biasa

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 25/08/2022 - Disunting : 25/08/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Ramai Penjawat Awam Terlibat Dalam Kes Rasuah?

Baru-baru ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa majoriti yang terlibat dalam kes rasuah adalah dari golongan bukan Bumiputera dan bukan Islam. Presiden Transparency International Malaysia Dr Muhammad Mohan kemudiannya meminta Hadi Awang supaya mengemukakan bukti bagi kenyataannya. Hasil carian kami melalui akses awam tidak menemui sebarang statistik berkaitan kes rasuah dan kaum yang terlibat. Oleh yang demikian, kami akan melihat hubung kait antara kes rasuah dan status sebagai seorang penjawat awam. Hal ini adalah kerana 90% penjawat awam merupakan dari kalangan Bumiputera.

Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694), rasuah merangkumi empat jenayah iaitu meminta/ menerima rasuah, menawar/ memberi suapan, membuat tuntutan palsu dan menggunakan kedudukan untuk suapan pegawai badan awam. Suapan pula boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti wang, hadiah, jawatan dan perkhidmatan.

 

Kes rasuah di Malaysia

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) digunakan untuk mengukur tahap persepsi rasuah sesebuah negara dalam skala 0% (paling korup) hingga 100% (paling bersih).  Pada tahun 2021, Malaysia jatuh daripada kedudukan 57 pada 2020 kepada 62 daripada 180 negara dalam kedudukan rasuah dunia. CPI Malaysia juga telah menurun kepada 48% daripada 51% pada tahun sebelumnya. Data tangkapan kes rasuah daripada SPRM menunjukkan penurunan trend daripada tahun 2019 hingga 2021. Namun begitu, Penasihat Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Prof Dr Mohd Mizan Aslam berkata penurunan ini tidak cukup signifikan dan rasuah masih berleluasa di Malaysia.

Sumber: SPRM

Dalam ucapannya di Sambutan Hari Intergriti dan Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2021, Datuk Seri Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata hampir separuh daripada tangkapan jenayah rasuah melibatkan penjawat awam setiap tahun. Menurut SPRM, trend ini telah berlaku sejak tujuh tahun lalu. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata rasuah kebiasaannya melibatkan pihak yang berkuasa dalam memutuskan sesuatu perkara seperti perihal perolehan kerajaan. Gambar rajah di bawah menunjukkan penangkapan yang dijalankan terhadap penjawat awam dan golongan awam yang termasuk sektor swasta, orang awam, serta lain-lain.

Sumber: SPRM

Statistik daripada SPRM bagi tahun 2021 menunjukkan secara umum bahawa tangkapan berkenaan kes rasuah lebih kerap dilakukan terhadap penjawat awam berbanding pekerja di sektor swasta. Pada tahun itu, sebanyak 48% daripada 851 keseluruhan tangkapan kes rasuah melibatkan penjawat awam.

Sumber: SPRM

 

Banyak kes rasuah dalam negara melibatkan penjawat awam

Data oleh SPRM membuktikan bahawa sememangnya ramai penjawat awam terlibat dalam kes rasuah. Malah, dalam kalangan pekerja, penglibatan penjawat awam dalam rasuah lebih banyak mengatasi pekerja swasta. Antara 70% hingga 80% jumlah tangkapan kes rasuah melibatkan penjawat awam di peringat sokongan berbanding di peringkat pengurusan dan profesional. Malah, laporan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan bahawa penguat kuasa dilihat sebagai ‘boleh dibeli’ oleh orang bukan Melayu dan warga asing.

Di samping itu, rasuah juga dilihat dekat dengan politik negara Malaysia. Muhammad berkata kerajaan tidak mengambil tindakan yang secukupnya dalam membendung aktiviti rasuah politik. Sebagai contoh, Rang Undang-Undang (RUU) pembiayaan politik yang dijadualkan dan dibentang di Parlimen juga belum dilaksanakan walaupun sudah bertukar kerajaan. 

 


Rujukan:

1. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/08/20/hadi-dakwa-bukan-islam-bukan-bumiputera-jadi-majoriti-perosak-politik-ekonomi-negara/
2. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/07/19/90-penjawat-awam-bumiputera-tiada-kuota-kata-menteri/
3. https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=75&articleid=478
4. https://www.buzzkini.com/trending/2022/01/26/skor-indeks-persepsi-rasuah-terus-jatuh-malaysia-kini-di-tangga-ke-62-dunia/
5. https://www.hmetro.com.my/utama/2022/01/800502/kaki-rasuah-dah-tak-takut
6. https://www.sinarharian.com.my/article/171442/berita/semasa/ketiadaan-integriti-bila-ada-kuasa-punca-penjawat-awam-rasuah
7. https://www.sinarharian.com.my/article/121649/khas/rasuah-busters/penjawat-awam-paling-kuat-rasuah

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago