Adakah Sikap Curang Boleh Diturunkan Menerusi Genetik?

Benar
Adakah Sikap Curang Boleh Diturunkan Menerusi Genetik?

Tingkah laku curang terhadap pasangan merupakan satu pilihan yang hanya boleh dibuat oleh pelaku

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 05/04/2024 - Disunting : 05/04/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Sikap Curang Boleh Diturunkan Menerusi Genetik?

Orang sering berkata curang merupakan satu pilihan. Apatah lagi apabila seseorang telah dikurniakan pasangan yang cukup sempurna tetapi masih memilih untuk berlaku curang.

Namun begitu, dalam mengatakan ia sebagai satu pilihan, ada individu yang berkata ia sebenarnya turut dipengaruhi oleh genetik.

Sehubungan itu, genetik bukan sahaja menurunkan ciri fizikal kepada anak-anak, tetapi juga personaliti. Terdapat kajian dijalankan yang mendapati kembar seiras berkongsi genetik yang sama sepenuhnya, kembar tak seiras hanya berkongsi separuh, manakala persamaan adalah sebanyak 20% bagi individu lain.

 

Curang disebabkan oleh persekitaran

Pengguna X yang berkongsi info tersebut merujuk kepada artikel oleh Business Insider. Ahli psikoterapi klinikal, Dr LeslieBeth (LB) Wish menerangkan bahawa curang boleh menjadi satu tingkah laku salah adaptasi yang wujud dalam seseorang sebagai respon negatif apabila merasa tidak gembira dalam suatu hubungan. 

Katanya lagi, sifat curang mungkin boleh ‘diserap’ dari ibu bapa, adik beradik dan ahli keluarga lain yang melakukan perkara itu. Ini terjadi berdasarkan pemerhatian dan dipelajari secara tidak langsung.

 

Terdapat genetik yang menyebabkan tingkah laku curang

Namun begitu, terdapat sejenis gen reseptor dopamin, DRD4, yang dikaitkan dengan sikap curang. Satu kajian telah dijalankan oleh Binghamton University untuk meneliti lebih lanjut mengenai kaitan antara gen itu dan salah laku tersebut. 

Kajian dilakukan ke atas 181 golongan muda menerusi kaedah temu bual dan ujian DNA bagi mengesan DRD4. Mereka mendapati bahawa separuh daripada mereka yang mempunyai variasi genetik DRD4 yang lebih lemah digelar ‘7-repeat allele’ (7R+) pernah curang terhadap pasangan mereka, manakala hanya 22% tanpa 7R+ yang melakukan sedemikian. Para penyelidik juga mendapati kewujudan 7R+ terhadap sikap curang atau mempunyai banyak pasangan adalah lebih kurang sama kesannya terhadap kedua-dua jantina.

Malah, kajian menunjukkan bahawa individu dengan DRD4 lebih cenderung untuk curang berkali-kali. Dapatan ini menunjukkan bahawa laluan ganjaran dopaminergik otak dengan genetik berbeza mempengaruhi tingkah laku seksual yang berisiko dan tidak setia. 

 

Curang mungkin disebabkan oleh keinginan terhadap dopamin

Ketua penyelidik, Justin R Garcia, berkata mereka dengan genetik ini bukan sahaja pernah bertindak curang, tetapi juga cenderung melakukan tingkah laku seksual tanpa komitmen seperti ‘one-night stands’. Perkara ini mungkin disebabkan oleh sistem keseronokan dan ganjaran di dalam otak yang menghasilkan lonjakan dopamin (dopamine rush).

Untuk makluman, dopamin merupakan neurotransmiter di otak yang mewujudkan rasa seronok, kepuasan dan dorongan. Keinginan untuk merasa ganjaran ini dengan lebih kuat merupakan salah satu punca kepada ketagihan.

Garcia juga berkata perkara ini mungkin menerangkan bahawa individu yang curang bukan kerana mereka jatuh cinta, tetapi didorong oleh perasaan lain seperti sensasi, risiko dan sesuatu yang baharu.

 

Kajian lain mengenai genetik yang mendorong kepada kecurangan

Dalam penyelidikan lain, didapati bahawa terdapat 62% kebarangkalian curang dalam lelaki dan 40% dalam wanita yang disebabkan oleh variasi genetik. Kajian itu turut membuktikan bahawa curang mempunyai kaitan dengan gen reseptor arginina vasopressin 1A (AVPR1A) bagi wanita, tetapi tidak bagi lelaki. 

Selain itu, para penyelidik turut mengkaji 1,600 kembar wanita di United Kingdom yang pernah curang. Mereka mendapati bahawa genetik pada kadar sederhana mempengaruhi sifat curang (41%) dan jumlah pasangan seksual (38%) dengan hubung kait yang kuat antara kedua-duanya (47%).

 

Gen dalam lelaki yang mempengaruhi ikatan dengan pasangan

Di samping itu, penyelidik dari Karolinska Institute in Stockholm juga telah menemui gen RS3 334 yang dikaitkan dengan bagaimana lelaki terikat dengan pasangan mereka (wanita). Lelaki boleh mempunyai satu atau dua salinan, atau tiada langsung gen RS3 334. Kajian yang dijalankan ke atas 552 penduduk Sweden itu mendapati lebih banyak salinan gen ini, lebih teruk lelaki dalam suatu ikatan.

Malah, lelaki dengan dua salinan gen RS3 334 lebih berkemungkinan untuk tidak berkahwin berbanding mereka dengan satu salinan atau tiada gen itu. Mereka juga lebih berkemungkinan untuk mengalami krisis perkahwinan jika telah berkahwin. Para pengkaji beranggapan bahawa mereka dengan lebih banyak salinan gen itu mengalami masalah komitmen. 

Kajian ke atas haiwan rodensia jenis ‘prairie voles’ pula mendapati mereka mempunyai lebih banyak reseptor di otak bagi menerima hormon vasopressin yang dipercayai penting dalam ikatan antara pasangan. Apabila mereka melakukan hubungan seksual, tubuh badan akan menghasilkan hormon ini yang mewujudkan emosi gembira, seterusnya mengukuhkan ikatan pasangan.

 

Wujudnya gen yang mendorong kepada tingkah laku curang

Berdasarkan pelbagai kajian yang dilakukan, sememangnya terdapat gen yang mendorong seseorang untuk curang terhadap pasangannya. Lebih ramai individu dengan gen reseptor dopamin DRD4 jenis 7R+ yang curang. Bagi wanita, gen reseptor AVPR1A boleh mendorong kepada tingkah laku curang. Malah, lelaki dengan lebih banyak salinan gen RS3 334 mempunyai masalah dalam ikatan mereka bersama pasangan.


Rujukan:

1. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/29152902/
2. https://www.businessinsider.com/is-infedility-genetic-why-people-cheat-2018-10
3. https://orb.binghamton.edu/cgi/viewcontent.cgi?article=1029&context=anthropology_fac
4. https://science.howstuffworks.com/life/genetic/good-excuse-or-is-there-actually-cheating-gene.htm
5. https://www.psy.uq.edu.au/~uqbziets/Zietsch%20et%20al%202014%20Genetic%20analysis%20of%20extrapair%20mating.pdf
6. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/15607016/
7. https://www.newscientist.com/article/dn14641-monogamy-gene-found-in-people/
8. https://science.howstuffworks.com/life/genetic/good-excuse-or-is-there-actually-cheating-gene.htm

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 4 weeks ago