Adakah Solat Tidak Sah Jika Sujud Dengan Dahi Dilapik Sesuatu Seperti Telekung Menurut Mazhab Syafie?

Benar
Adakah Solat Tidak Sah Jika Sujud Dengan Dahi Dilapik Sesuatu Seperti Telekung Menurut Mazhab Syafie?

Dahi merupakan salah satu daripada anggota badan yang perlu dikenakan pada tempat sujud

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 13/10/2023 - Disunting : 13/10/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Solat Tidak Sah Jika Sujud Dengan Dahi Dilapik Sesuatu Seperti Telekung Menurut Mazhab Syafie?

Seperti yang sedia maklum, solat merupakan rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah. Ia diwajibkan ke atas orang Islam yang telah baligh dan berakal, serta terdapat lima waktu solat dalam sehari. 

Terdapat 13 rukun solat dan jika salah satu daripada rukun ini tidak dilakukan dengan betul, makan solat akan menjadi tidak sah. Sujud merupakan rukun solat yang ketujuh. Sesetengah individu mempercayai bahawa solat menjadi tidak sah jika dahi tertutup ketika sujud. Mari kita semak jika perkara ini benar.

 

Sujud ketika solat

Sujud adalah rukun solat yang ketujuh dan bermaksud meletakkan dahi di atas sejadah atau tempat solat dalam keadaan berlutut. Menurut laman web Pejabat Mufti Terengganu, terdapat tujuh anggota badan yang perlu menyentuh tempat sujud seperti sabda Rasulullah SAW:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ، وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ

Maksudnya: “Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, dengan dahi (sambil Baginda menunjukkan tangannya ke bahagian atas hidung), dengan dua tangan, dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.”

Hadis Riwayat Bukhari (812) & Muslim (490)

Bagi kesemua anggota tersebut, tidak wajib didedahkan untuk dikenakan pada tempat sujud kecuali dahi dan tapak tangan. Imam al-Nawawi berkata dahi wajib diletakkan di atas tempat sujud tanpa ditutup dengan apa-apa. Katanya lagi, jika dihitung sekali hidung, maka terdapat lapan anggota sujud. Oleh itu, meletakkan hidung pada tempat sujud sunat hukumnya.

Berdasarkan Kitab Fiqh Solat, terdapat sembilan syarat sujud ketika solat iaitu:

  • Dua kali sujud pada setiap rakaat.
  • Menyahajakan sujud.
  • Mengenakan tujuh anggota iaitu dahi, dua lutut, dua tapak tangan dan hujung kedua-dua kaki di tempat sujud.
  • Dahi dan tapak tangan terbuka tanpa berlapik dan tetap pada tempat sujud.
  • Memberatkan kepala pada tempat sujud, termasuk menekan dahi jika dilapik sesuatu di tempat sujud.
  • Meninggikan punggung daripada kepala.
  • Tidak sujud di atas sesuatu yang bergerak apabila dia bergerak, seperti telekung. Tetapi dimaafkan jika ia kepunyaan orang lain atau sesuatu yang tidak ditanggung olehnya seperti sejadah.
  • Dahi dan tapak tangan tidak dalam keadaan berlapik kecuali atas sebab perubatan yang sukar ditanggalkan.
  • Tomakninah dalam sujud.

 

Sujud dengan dahi tertutup

Merujuk kepada kenyataan Imam al-Nawawi dan Kitab Fiqh Solat di atas, dahi merupakan anggota yang perlu dalam keadaan terbuka ketika sujud. Perkara ini bermakna tiada sebarang perkara boleh menutupi dahi ketika sujud mengikut.

Walaupun begitu, perkara tersebut hanya merujuk kepada bahan yang dibawa bersama atau dipakai oleh diri sendiri seperti telekung, kopiah dan serban. Ini merupakan pendapat mazhab Syafie dan adalah pendapat minoriti seperti kenyataan Imam Ibnu Hajar al-Haitami:

Maksudnya: “Syaratnya (sujud) tidak sujud atas sesuatu yang ditanggung olehnya atau yang bersambung dengannya yang mana ia bergerak dengan gerakannya ketika berdiri dan duduk. Jika seseorang itu sujud di atasnya secara sengaja dan tahu (tidak jahil) maka batal solatnya. Jika tidak (sengaja atau jahil) maka wajib dia mengulangi sujud”.

 

Malah, satu hadis yang diriwayatkan oleh Khabab bin al-Arat menerangkan kewajipan dahi dibiarkan terdedah ketika sujud. 

Maksudnya: “Kami mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai rasa yang sangat panas (yang kami rasai ketika sembahyang) pada dahi dan telapak tangan kami, namun aduan kami tidak dipedulikan.”

Hadis Riwayat al-Baihaqi

Bekas mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata hadis ini menerangkan bahawa jika dahi tidak wajib dibuka, pasti Rasulullah SAW mengizinkan ia ditutup.

Dr Zulkilfi juga setuju bahawa pendapat ini merupakan pandangan mazhab Syafie yang benar. Walau bagaimanapun, dia berpendapat jika sebahagian dahi menyentuh tempat sujud sementara terdapat bahagian yang tertutup, hukum solat tetap sah.

Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkata jika seorang wanita tidak sengaja sujud di atas kain telekung jemaah lain, maka solatnya tetap sah.

 

Pendapat membolehkan dahi tertutup ketika sujud

Selain itu, pendapat kedua yang dipersetujui jumhur ulama adalah boleh sujud dalam keadaan dahi tertutup jika terdapat keperluan seperti tempat sujud terlalu panas atau sejuk. Namun, hukumnya makruh jika dilakukan dengan sengaja tetapi tidaklah sehingga menyebabkan solat tidak sah.

Jumhur ulama merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik:

كُنَّا نُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شِدَّةِ الحَرِّ، فَإِذَا لَمْ يَسْتَطِعْ أَحَدُنَا أَنْ يُمَكِّنَ وَجْهَهُ مِنَ الأَرْضِ بَسَطَ ثَوْبَهُ، فَسَجَدَ عَلَيْهِ

“Kami solat bersama Nabi s.a.w pada waktu yang sangat panas. Apabila seseorang kalangan kami tidak mampu meletakkan mukanya atas tanah, maka dia bentangkan kainnya, lalu sujud atasnya”. 

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Berdasarkan hadis ini, Abu Hanifah dan jumhur ulama berpendapat boleh sujud dalam keadaan dahi tertutup jika memerlukan. Sebaliknya, Imam Syafie mengandaikan kain yang digunakan sebagai lapik merupakan kain yang terpisah.

 

Dahi lelaki ditutup rambut

Dalam menjawab persoalan berkenaan helaian rambut lelaki di dahi ketika sujud, Ustaz Azhar Idrus berkata bahawa tanggapan perkara ini menyebabkan solat tidak sah adalah salah. Walaupun sebahagian besar dahi telah ditutupi rambut, tetapi jikapun sebahagian dahi mengenai tempat sujud, maka solat itu adalah sah.

Solat tidak sah jika sujud dengan dahi tertutup

Terdapat perbezaan pendapat mengenai isu ini, namun mazhab Syafie menyatakan dahi wajib mengenai tempat sujud dalam keadaan tidak berlapik. Jika dahi terlapik sewaktu sujud, solat itu menjadi tidak sah dan harus diganti. 

Menurut kitab Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, jika tidak sengaja lakukan perkara itu kerana lupa atau jahil, solat tidak batal tetapi sujud itu harus diulang semula. Dr Zulkifli pula berkata solat perlu dilakukan semula sekiranya dahi telah tertutup.

Dalam masa yang sama, terdapat juga pendapat bahawa solat masih sah jika terdapat walaupun sebahagian dahi yang tidak terlapik ketika sujud.


Rujukan:

1. http://mufti.terengganu.gov.my/index.php/bayan-almunir/persoalan/449-sujud-dalam-solat
2. https://siplus.sinarharian.com.my/hukum/jangan-biarkan-telekung-serban-dan-kopiah-menutup-dahi-ketika-sujud-dikhuatiri-tidak-sah-solat-itu/
3. https://muftiperlis.gov.my/index.php/minda-mufti/654-sahkah-sujud-atas-kain-telekung
4. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/5407-irsyad-al-fatwa-siri-ke-717-hukum-sujud-di-atas-telekung-sendiri
5. YouTube Ustaz Azhar Idrus Official

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 7 months ago