Adakah Starbucks Malaysia Tidak Halal?

Salah
Adakah Starbucks Malaysia Tidak Halal?

Mesej yang menyatakan Starbucks tidak halal telah beberapa kali tersebar sebelum ini

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 20/06/2022 - Disunting : 20/06/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Starbucks Malaysia Tidak Halal?

Dalam masa beberapa tahun ini, sudah pasti kita pernah menerima mesej yang menyatakan Starbucks di Malaysia tidak halal. Ia dikatakan menjual makanan dan minuman yang mengandungi bahan khinzir dan menggunakan alkohol. Hantaran oleh The Rakyat Post menyatakan mesej berkenaan status halal Starbucks telah viral sebanyak 6 kali dari 2011 hingga 2019.


Coffee Bean [& Tea Leaf] turut dikaitkan dalam mesej tersebut

(Sumber: Akaun Twitter Starbucks Malaysia)


Seperti dalam gambar di atas, Starbucks dikatakan menggunakan bahan pengawet E471 yang diperbuat daripada khinzir. E471 sememangnya adalah sejenis bahan pengawet makanan yang diperbuat sama ada daripada lemak tumbuh-tumbuhan atau lemak haiwan. Walau bagaimanapun, seperti yang dimaklumkan oleh Starbucks Indonesia, E471 yang digunakan oleh Starbucks adalah berasaskan tumbuhan, dan bebas daripada sumber haiwan. 


Dengan melayari laman web rasmi Starbucks Malaysia, ternyata bahawa ia telah diiktirafkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak tahun 2006 lagi. Setiap produk dan bahan makanan yang digunakan turut diiktiraf oleh JAKIM. Malah, seperti yang diwajibkan bagi semua kedai dengan sijil halal, Starbucks turut memastikan ada sekurang-kurangnya dua orang pekerja Islam sepanjang waktu operasi kedai. Namun, adakah benar apa yang dinyatakan oleh Starbucks di laman web tersebut? 


Semakan di Portal Halal Rasmi Malaysia menunjukkan bahawa syarikat operasi Starbucks Malaysia, Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn. Bhd. merupakan pemegang sijil halal JAKIM. Carian tersebut turut menunjukkan yang terdapat 448 premis Starbucks dan 123 produk Starbucks yang diiktiraf halal. JAKIM turut membuat hantaran di laman Facebook Bahagian Hab Halal pada tahun 2017, 2019, dan terkini 2021, yang mengesahkan bahawa mesej tersebut adalah fitnah. Pada Disember 2014, Dr. Zahazan, nama yang tertera di dalam mesej itu, sendiri menafikan yang beliau pernah mengatakan Starbucks haram. JAKIM juga mengesahkan bahawa sejak diiktiraf halal pada tahun 2006, JAKIM tidak pernah menarik balik sijil halal Starbucks, yang menunjukkan Starbucks menitikberatkan status halalnya agar sentiasa terjaga.


Starbucks Malaysia 100% Dijamin Halal

Melalui kenyataan oleh JAKIM dan Starbucks sendiri, terbukti bahawa Starbucks Malaysia sememangnya diiktiraf halal. Logo halal JAKIM yang tertera di laman web serta premis Starbucks sepatutnya sudah cukup untuk meyakinkan pengguna Islam dengan status halal Starbucks. Pemohon perlu mengikut setiap keperluan yang ketat yang digariskan oleh JAKIM di dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 bagi mendapatkan dan mengekalkan sijil halal. Sebagai contoh, setiap bahan ramuan yang digunakan perlulah daripada sumber yang halal. Malah, pengangkutan yang digunakan sekalipun perlu bebas daripada sumber makanan atau produk yang tidak halal. 

Rujukan:

1. https://twitter.com/sbuxindonesia/status/375566223297101824?lang=en
2. https://www.facebook.com/HabHalalJakim/photos/penafian-turut-dikeluarkan-oleh-ustaz-zahazan-mohamed-berhubung-status-halal-sta/384156461743633/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago