Adakah Susu Formula Penting Untuk Kanak-Kanak Setelah Usia Setahun?

Salah
Adakah Susu Formula Penting Untuk Kanak-Kanak Setelah Usia Setahun?

Sesetengah ibu bapa memberi anak-anak mereka susu formula walaupun setelah mencecah usia dua tahun

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 16/04/2024 - Disunting : 16/04/2024

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Susu Formula Penting Untuk Kanak-Kanak Setelah Usia Setahun?

Kebanyakan ibu bapa mempercayai bahawa susu formula adalah penting bagi pertumbuhan anak-anak kecil. Oleh itu, mereka memilih untuk memberi susu formula berbanding susu lembu.

Menurut satu artikel yang diterbitkan dalam Nutrition Reviews, susu formula kanak-kanak banyak dibeli oleh populasi orang kulit hitam dan Hispanik berbanding golongan kulit putih bukan Hispanik. Malah, ibu bapa dengan tahap pendidikan dan pendapatan tinggi lebih banyak memberi susu ini kepada anak-anak. Mereka juga mempercayai susu formula adalah lebih berkhasiat berbanding susu lembu.

Namun begitu, adakah susu formula benar-benar penting bagi kanak-kanak dan lebih berkhasiat berbanding susu lembu? 

 

Khasiat dalam susu formula kanak-kanak

Menurut University of Utah Health, susu formula kanak-kanak atau ‘Older Infant-Young Child “Formulas”’ (OIYCF) adalah minuman dalam bentuk serbuk dengan bahan utama susu tepung, minyak sayur-sayuran dan pemanis. Ia dipasarkan untuk kanak-kanak sekitar satu hingga tiga tahun yang tidak lagi minum susu ibu atau susu formula bayi.

Pakar pediatrik di University of Utah Health, Rachel Tanz berkata susu OIYCF adalah mahal, selain tidak mengandungi kebaikan tambahan yang seiring dengan harganya. Katanya, setelah kanak-kanak mencecah usia satu tahun, mereka mendapatkan kebanyakan keperluan nutrisi daripada makanan dan boleh ditambah dengan susu lembu.

Pengarah kesihatan klinik pediatrik dan perubatan kanak-kanak di Johns Hopkins All Children’s, Kelly Henchel, tidak pernah menyarankan pengambilan OIYCF kepada para ibu bapa malah berpendapat ia mempunyai kurang protein dan tinggi lemak berbanding susu lembu. 

Pakar neonatologi, Jenelle Ferry berkata istilah ‘formula kanak-kanak’ mengelirukan buat ibu bapa. OIYCF bukan seperti susu formula bayi yang direka khas, mengandungi nutrisi lengkap dan boleh bertindak sebagai pengganti bagi susu ibu. 

Sebaliknya, satu kajian yang telah diterbitkan oleh American Academy of Pediatrics (AAP) mendapati tiada sebarang kebaikan nutrien di dalam OIYCF bagi kanak-kanak berusia antara enam hingga 36 bulan.

Kredit gambar: Alex Green/ Pexels

 

Susu formula kanak-kanak tinggi gula

Pengambilan OIYCF dapat dikaitkan dengan pengambilan minuman dan produk tenusu bergula seperti yogurt buah dan manisan krim keju lebih banyak berbanding kanak-kanak yang hanya diberi susu lembu.

Kajian tersebut juga menetapkan bahawa penggunaan OIYCF sebagai pengganti formula bayi tidak memberi kanak-kanak mikronutrien yang diperlukan. Nutrien tersebut boleh didapatkan menerusi diet seimbang, susu ibu atau formula bayi. Malah, kanak-kanak yang telah memakan diet seimbang dengan kandungan vitamin dan zat besi yang secukupnya tidak mendapat sebarang kebaikan daripada pengambilan OIYCF.

Salah seorang penulis laporan AAP itu, George Fuchs, berkata OIYCF tidak mempunyai sebarang peranan yang berfungsi dalam diet kanak-kanak. Di samping itu, satu kajian mendapati 60% susu formula kanak-kanak mengandungi gula berlebihan. Malah banyak yang mempunyai kandungan natrium tinggi dan protein rendah berbanding susu lembu yang disarankan oleh pakar kanak-kanak.

Kajian sama turut mendapati satu produk yang dijenamakan sebagai diperkaya dengan besi, tetapi mempunyai kandungan zat besi kurang daripada  syarat Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat.

Fuchs juga berkata banyak susu formula itu mempunyai sifat yang boleh memberi keburukan kepada kesihatan kanak-kanak. Menurutnya, pengambilan gula berlebihan pada peringkat permulaan hidup merupakan penyumbang utama bagi masalah obesiti dalam kanak-kanak. Terdapat juga hubung kait antara pengambilan natrium berlebihan sewaktu kecil dengan kesihatan kardiovaskular yang merudum pada kemudian harinya.

Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Minum Susu Boleh Rosakkan Gigi Budak?

 

Jangan beri susu penuh krim pada bayi bawah 12 bulan

Walaupun susu lembu atau susu penuh krim digalakkan bagi kanak-kanak berbanding susu formula, ia tidak boleh diberi kepada bayi bawah 12 bulan. Ini kerana ia tidak mengandungi nutrien yang cukup untuk bayi seperti susu formula bayi. Malah, bayi tidak boleh menghadam susu penuh dengan betul yang boleh menyebabkan penyakit.

Kredit gambar: Lucy Wolski/ Unsplash

Setelah mencecah usia setahun, kanak-kanak perlukan kalsium, vitamin dan mineral yang boleh didapati di dalam susu penuh. Susu lembu mempunyai khasiat yang sangat tinggi menjadikannya pilihan terbaik buat kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah alergi atau intolerasi laktosa, mereka boleh diberi susu berasaskan tumbuhan seperti soya. 

Pastikan kanak-kanak diberi susu yang secukupnya. Centers for Disease Control and Prevention (CDC) mencadangkan satu hingga dua cawan susu bagi kanak-kanak bawah dua tahun. Namun CDC juga menasihati agar kanak-kanak tidak diberi terlalu banyak susu lembu kerana ia boleh menyekat selera mereka untuk mengambil makanan berkhasiat lain.

 

Susu Formula Kanak-Kanak Tidak Memberi Khasiat Tambahan Kepada Kanak-Kanak

Ternyata bahawa kanak-kanak tidak akan mendapat khasiat tambahan apabila mengambil susu formula. Malah, susu formula kanak-kanak sering disalah ertikan seperti susu formula bayi yang mengandungi banyak nutrien. Pakar pediatrik mencadangkan kanak-kanak diberi susu lembu atau susu penuh krim berbanding susu formula kerana mempunyai kandungan protein dan nutrien lain lebih tinggi.


Rujukan:

1. https://academic.oup.com/nutritionreviews/advance-article-abstract/doi/10.1093/nutrit/nuad057/7172846
2. https://healthcare.utah.edu/healthfeed/2023/12/skip-toddler-formula-why-cows-milk-better-option
3. https://edition.cnn.com/2023/10/20/health/toddler-milk-no-nutritional-benefit-aap-report-wellness/index.html
4. https://publications.aap.org/pediatrics/article/152/5/e2023064050/194469/Older-Infant-Young-Child-Formulas
5. https://time.com/6326341/pediatricians-toddler-milk-regulation/
6. https://www.medicalnewstoday.com/articles/how-much-milk-for-a-toddler
7. https://www.cdc.gov/nutrition/infantandtoddlernutrition/foods-and-drinks/cows-milk-and-milk-alternatives.html

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 weeks ago