Adakah Terdapat Pendapat Berlainan Dalam Islam Mengenai Sunat atau Khitan Wanita?

Benar
Adakah Terdapat Pendapat Berlainan Dalam Islam Mengenai Sunat atau Khitan Wanita?

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia mewajibkan sunat ke atas kanak-kanak perempuan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 22/12/2022 - Disunting : 22/12/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Terdapat Pendapat Berlainan Dalam Islam Mengenai Sunat atau Khitan Wanita?

Baru-baru ini, Dr Amalina Bakri telah membuat sebuah hantaran di Twitter berkenaan terdapat individu-individu yang membuat komen berbaur lucah terhadap bayinya. Ia terjadi rentetan daripada sesi soal jawab ilmu kesihatan yang diadakan oleh Dr Amalina. Salah satu soalan yang diterimanya adalah sama ada United Kingdom mempunyai servis sunat bayi perempuan. Dr Amalina menjawab bahawa tiada servis sedemikian kerana sunat perempuan melanggar undang-undang negara tersebut. 

Maklum balas Dr Amalina kemudiannya telah disalah petik oleh beberapa media tabloid yang mengundang reaksi tidak senonoh terhadap bayinya daripada orang ramai. Dr Amalina menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang terlibat. Dia juga berkongsi pandangan daripada The Islamic Shari’a Council, the Muslim College and the Muslim Council of Britain yang menolak praktis FGM oleh masyarakat Islam di sana. Sebarang bentuk FGM, termasuk khitan wanita, dikatakan bukanlah kewajiban Islam kerana tidak disebut di dalam al-Quran.

 

Sunat atau khitan wanita

Sunat atau khitan yang dilakukan ke atas wanita dikenali sebagai Female Genital Mutilation/ Female Circumcision (FGM/ FC) di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendefinisikan FGM sebagai perkara yang menghilangkan sebahagian daripada atau keseluruhan alat kelamin luaran wanita, atau sebarang kecederaan kepada alat kelamin yang dilakukan bukan atas sebab kesihatan. WHO juga mengkategorikan FGM kepada empat jenis iaitu Type 1 (pemotongan sebahagian atau kulit luar klitoris atau klitoris), Type 2 (pemotongan sebahagian atau keseluruhan klitoris dan labia minora), Type 3 (mengecilkan lubang vagina, atau infibulation) dan Type 4 (lain-lain kecederaan).

Menurut Islamic Relief di dalam Gender Justice Policy 2015, lebih 200 juta kanak-kanak perempuan dan wanita di 30 negara telah melalui FGM. FGM masih banyak dipraktikkan di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura atas dasar tuntutan agama. Namun begitu, penting untuk kita ketahui bahawa terdapat pendapat berbeza berkenaan hukum khitan wanita walau di Malaysia sendiri.

 

Mazhab Syafie mewajibkan khitan wanita

Di Malaysia, khitan wanita difatwakan wajib oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 2009, kecuali jika ia boleh mendatangkan kemudaratan. Keputusan ini adalah selaras dengan mazhab Syafie yang menegaskan khitan wajib terhadap kedua-dua lelaki dan wanita.

Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, khitan wanita telah menjadi amalan sejak zaman Rasulullah SAW. Di dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 3356) dan Imam Muslim (no. 2370) daripada Abu Hurairah SAW, Rasulullah SAW bersabda:
“Nabi Ibrahim AS berkhatan menggunakan qaddum (alat seperti beliung, kapak kecil) pada umur beliau 80 tahun.”

Allah berfirman di dalam Surah al-Nahl (16:123):
“Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.”

Hadis di atas dilihat diperkuatkan oleh sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam al-Sahih (no. 349). Di dalam hadis ini, dibuktikan bahawa bukan hanya lelaki yang melalui proses khitan, tetapi juga wanita. Rasulullah SAW bersabda:
“Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi.”

Ulama terkenal Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata khitan harus dilakukan mengikut cara yang diajar di dalam hadis supaya tidak berlaku kecacatan. Ia juga tidak boleh dilabelkan sebagai satu bentuk kesalahan undang-undang, melainkan dalam “kes-kes yang melanggar had-had yang disepakati dalam Syarak, iaitu al-isti’sal (pemotongan/pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong, dan dikendalikan oleh orang-orang yang jahil”. Tambahnya lagi, sebarang ubatan yang digunakan ketika proses khitan perlu dipastikan tidak akan mengakibatkan kemandulan.

 

Pendapat lain berkenaan khitan wanita

Walaupun khitan wanita dihukumkan wajib mengikut mazhab Syafie, Imam al-Rafie telah berkongsi sebuah pendapat dalam mazhab Syafie bahawa hukum khitan adalah sunat ke atas wanita, tetapi pendapat ini dianggap syadz (ganjil). Pada masa yang sama majoriti ulama lain seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Malik turut menyatakan bahawa hukum khitan wanita adalah sunat dan tidak wajib.

Menurut Dr Wahbah Zuhaili di dalam Al Fiqah Al Islam Wa Adillatuhu, mazhab Hanafi dan Maliki meletakkan hukum sunat muakkad (sangat digalakkan) bagi lelaki dan sunah makrumah (kemuliaan) bagi wanita. Mazhab Hanbali mewajibkan sunat bagi lelaki, tetapi bagi wanita ia adalah mubah (harus) hanya sebagai suatu bentuk kehormatan. Hal ini adalah seperti sabda Rasulullah SAW:
“Khitan itu sunah bagi laki-laki dan makrumah (kehormatan) bagi perempuan” (HR. al-Jama’ah)

Ulama Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan walaupun khitan disyariatkan dan tidak boleh dihalang, ia perlu dilakukan oleh pakar perubatan yang bertauliah. Malah, wanita tidak wajib dikhitan dan tidak berdosa jika dia enggan kerana ia merupakan haknya dan satu bentuk penghormatan atas qaul rajih, iaitu pendapat yang diberatkan. Pendapat ini adalah berdasarkan beberapa pendapat lain. Imam al-Dardir di dalam al-Sharh al-Saghir berkata khitan wanita adalah dianjurkan di dalam Islam. Ibn Qudamah di dalam al-Mughni menyatakan kewajipan khitan ke atas lelaki, serta perkara yang mulia jika dilakukan oleh wanita. 

Isu khitan wanita juga menjadi perdebatan di negara-negara lain. Sebagai contoh, pada tahun 2006 di Mesir, perbincangan dalam kalangan ulama mendapati bahawa amalan yang dijalankan di Mesir dan sesetengah tempat lain di Afrika itu hanya merupakan sebuah adat. Malah, tiada sebarang justifikasi ditemui di dalam sumber-sumber utama Islam yakni al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Bekas mufti besar Mesir, Sheikh Ali Gomaa menekankan bahawa menyatakan larangan FGM di dalam Islam merupakan sebuah tuntutan agama. 

Di Malaysia, walaupun khitan wanita diwajibkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berdasarkan hukum oleh mazhab Syafie, terdapat beberapa negeri yang berbeza pendapat. Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis 2019 meletakkan hukum khitan wanita berdasarkan keperluan individu yang dinilai oleh pakar. Di Johor pula, Jawatankuasa Fatwa Negeri 2013 menetapkan hukum harus bagi khitan wanita.

 

Terdapat perbezaan pendapat mengenai hukum khitan wanita

Jelas bahawa khitan wanita mempunyai perbezaan pendapat dan hukum agama. Di Malaysia, walaupun ia diwajibkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Johor dan Perlis sebaliknya hanya menghukumnya sebagai harus. Perbezaan juga jelas berdasarkan mazhab-mazhab utama Islam, di mana mazhab Syafie mewajibkan khitan wanita tetapi ia hanya sunat dan sebagai satu bentuk penghormatan mengikut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Tidak hairan jika negara berbeza mengamalkan pendapat dan hukum yang berbeza bagi khitan wanita. Sebagai penganut agama Islam, kita harus mempelajari dan memahami mazhab-mazhab lain sebelum menghukum sesiapa. Janganlah kita melempar tuduhan tidak berasas atau kata-kata tidak sopan kepada seseorang yang mengamalkan amalan Islam mengikut mazhab yang berbeza dengan kita. 


Rujukan:

1. https://www.forwarduk.org.uk/wp-content/uploads/2019/06/FGM-DL-Leaflet-2019-Single-Pages-Updated-Branding.pdf
2. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/female-genital-mutilation
3. https://www.who.int/teams/sexual-and-reproductive-health-and-research-(srh)/areas-of-work/female-genital-mutilation/types-of-female-genital-mutilation
4. https://islamic-relief.org/campaigns/women-and-girls/
5. http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15253
6. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1336-al-kafi-419-hukum-berkhatan-bagi-kaum-wanita
7. https://www.malaysiakini.com/news/462196
8. https://omiw.com.my/Web/2020/04/11/kenapa-harus-dikhitan/
9. http://www.umatia.org/ftawa12.html
10. https://www.nst.com.my/opinion/columnists/2018/12/440436/female-genital-mutilation-forbidden-islam
11. https://www.hmetro.com.my/hati/2019/01/407565/bayi-perempuan-mudah-khatan

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago