Adakah Terdapat Penyakit Yang Boleh Menyebabkan Kulit Menjadi Hitam?

Benar
Adakah Terdapat Penyakit Yang Boleh Menyebabkan Kulit Menjadi Hitam?

Terdapat individu yang mempunyai kulit kehitaman di bahagian leher

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 09/06/2023 - Disunting : 09/06/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Terdapat Penyakit Yang Boleh Menyebabkan Kulit Menjadi Hitam?

Mungkin anda pernah melihat atau berdepan bahagian belakang leher berwarna kehitaman seperti berdaki. Namun begitu, ‘daki’ ini tidak boleh hilang walaupun digosok dan dicuci dengan kerap. Hantaran kali ini akan menerangkan serba sedikit berkenaan ‘kotoran’ ini.

 

Acanthosis nigricans

Kulit belakang leher yang menjadi gelap digelar sebagai acanthosis nigricans. Keadaan ini bukan sahaja terhad kepada leher, tetapi merangkumi kulit di bahagian lipatan badan seperti ketiak dan celah paha. 

Acanthosis nigricans di leher dan ketiak. Kredit gambar: Dr Zubaidi Hj Ahmad/ Facebook

Risiko acanthosis nigricans lebih tinggi bagi individu yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti serta mempunyai sejarah kesihatan keluarga obesiti atau mengalami diabetes jenis 2. 

Selain daripada berubah menjadi gelap, kulit di kawasan yang terkesan juga boleh menebal. Ia turut menyebabkan kegatalan, berbau dan menghasilkan skin tags atau kutil. Perkara-perkara yang menjurus kepada acanthosis nigricans adalah gangguan hormon, kerintangan insulin, kesan ubat-ubatan, malah kanser. 

Antara ubat-ubatan yang boleh menyebabkan acanthosis nigricans adalah pil perancang dan vitamin B3 (niasin) dalam dos tinggi. 

 

Penyakit berkaitan acanthosis nigricans

Secara amnya, acanthosis nigricans boleh menjadi tidak berbahaya ataupun sebaliknya. Bagi keadaan acanthosis nigricans yang dikaitkan dengan penyakit, ia kebiasaannya diakibatkan oleh diabetes atau kerintangan insulin. 

Namun begitu, terdapat juga pelbagai penyakit lain lebih serius yang mengakibatkan acanthosis nigricans.

 

Diabetes

Kerintangan insulin adalah keadaan di mana sel dalam otot, lemak dan hati tidak bertindak-balas dengan insulin dan sukar mengambil gula daripada dalam darah. Perkara ini boleh menyebabkan penyakit kencing manis atau diabetes apabila gula dalam darah tidak dapat disingkirkan dengan baik. 

Individu yang menghidapi diabetes dan mengalami acanthosis nigricans mungkin juga mempunyai masalah lain berkaitan penyakit diabetes tersebut. Di samping itu, kanak-kanak yang mengalami acanthosis nigricans lebih berisiko menghidap diabetes jenis 2. 

 

Gangguan sistem endokrin

Selain daripada diabetes, acanthosis nigricans juga boleh menjadi isyarat bagi gangguan lain yang terjadi pada sistem endokrin. Salah satu masalah yang boleh terjadi akibat gangguan sistem endokrin adalah sindrom Ovari Polisistik (PCOS). Disebabkan oleh kerintangan insulin dan kandungan androgen yang tinggi, pesakit PCOS dikaitkan dengan keadaan acanthosis nigricans. 

 

Penyakit hati

Kulit yang menjadi hitam juga boleh menjadi petanda penyakit hati. Apabila hati tidak berfungsi dengan baik, toksin dalam badan tidak dapat diproses dengan efektif. Perkara ini menyebabkan toksin terkumpul dalam salur darah dan organ. Apabila terlalu banyak toksin berkumpul pada lapisan dalam kulit, ia mengakibatkan radang. 

Di samping itu, gangguan metabolik porphyria cutanea tarda (PCT) juga menyebabkan toksik porfirin berkumpul berkumpul dalam hati, salur darah dan kulit. Apabila kulit terdedah kepada cahaya matahari, kulit boleh melepuh dan menjadi gelap. 

Kanak-kanak yang mempunyai acanthosis nigricans juga mungkin mengalami penyakit hati berlemak yang disebabkan oleh kandungan kolesterol tinggi dalam badan. 

Perbezaan antara hati normal (atas) dan hati berlemak (bawah). Kredit gambar: MyHEALTH KKM

Acanthosis nigricans juga dikaitkan dengan diagnosis awal kanser hati

 

Sindrom acanthosis nigricans kanser

Antara penyakit kanser yang dikaitkan dengan acanthosis nigricans adalah kanser perut dan kanser genitourinari seperti prostat, buah dada, dan ovari. Acanthosis nigricans boleh mendahului, datang bersama, atau datang kemudian selepas kewujudan kanser. Ia biasanya terjadi dengan cepat dan mempunyai kutil, multiple seborrheic keratoses, atau tripe palms.

Tripe palms. Kredit gambar: Bhupen Barman, L. Purnima Devi, Binod Kumar Thakur, dan Vandana Raphael

 

Acanthosis nigricans autoimun

Acanthosis nigricans juga dikaitkan dengan penyakit autoimun seperti systemic lupus erythematosus (SLE), sindrom Sjogren, skleroderma atau tiroiditis Hashimoto.

 

Kulit muka menjadi gelap selepas COVID-19

Terdapat sebilangan kecil pesakit COVID-19 yang mengalami perubahan kulit muka menjadi gelap selepas pulih. Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, perkara tersebut berlaku kerana kesan kerosakan hati akibat serangan virus COVID-19. 

Selain itu, perubahan kulit menjadi gelap atau hiperpigmentasi juga terjadi akibat penggunaan beberapa jenis ubatan untuk merawat penyakit yang berkaitan dengan komplikasi COVID-19 seperti ‘Polymyxin B’.

 

Dermatitis neglecta

Pada masa yang sama, terdapat juga keadaan kulit menjadi gelap yang tidak disebabkan oleh penyakit. Perkara ini digelar dermatitis neglecta dan terjadi apabila kulit tidak dicuci dengan bersih, seterusnya menyebabkan peluh, bakteria, sebum dan kotoran lain berkumpul.

Juga dikenali sebagai “unwashed dermatosis”, ia adalah keadaan yang jarang berlaku tetapi senang dirawat dengan cara menggosok kawasan berkenaan dengan sabun, air atau alkohol.

Dermatitis neglecta di jari. Kredit gambar: Syed Nurul Rasool Qadir, Amer Ejaz dan Naeem Raza

 

Perubahan kulit menjadi hitam boleh menjadi petanda penyakit

Jelas bahawa terdapat penyakit yang boleh menyebabkan kulit berubah menjadi hitam dalam satu keadaan yang digelar sebagai acanthosis nigricans. Walaupun kebiasaannya hanya berkaitan dengan kerintangan insulin dan diabetes, ia juga didapati berkait dengan penyakit berbahaya seperti kanser. 

Individu yang mendapati perubahan warna kulit yang ketara dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat doktor dan rawatan susulan jika perlu. 


Rujukan:

1. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/acanthosis-nigricans/symptoms-causes/syc-20368983
2. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6444334/
3. https://www.niddk.nih.gov/health-information/diabetes/overview/what-is-diabetes/prediabetes-insulin-resistance
4. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK431057/
5. https://healthmatch.io/liver-disease/liver-disease-and-skin-darkening
6. https://www.connecticutchildrens.org/wp-content/uploads/2017/06/Patient-Handout_NASH.pdf
7. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6063124/
8. https://www.hmetro.com.my/sihat/2021/05/711675/wajah-berubah-kehitaman
9. https://www.healthline.com/health/black-neck

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 11 months ago