Parlimen telah dibubarkan pada 10 Oktober 2022 untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan berlangsung pada 19 November 2022. Sehubungan dengan itu, kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran Barisan Nasional yang telah capai tempoh matang turut dibubarkan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), iaitu negeri Pahang, Perak dan Perlis.
Di sebalik itu, negeri-negeri di bawah Pakatan Harapan iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, serta negeri-negeri Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing. Memetik Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, gabungan politik yang enggan DUN masing-masing dilihat sebagai tamak kuasa dan akan menyebabkan pembaziran untuk mengadakan PRN berasingan dengan PRU. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Pakatan Harapan, berkata keputusan Pakatan Harapan tidak membubarkan DUN adalah untuk memastikan persiapan bagi menangani banjir.
PRU dan PRN berasingan menguntungkan rakyat
Sebuah rangkaian Twitter oleh BFM89.9 meringkaskan tentang kelebihan terhadap rakyat jika PRU dan PRN tidak diadakan serentak. Menurut penganalisis politik dari Sunway University, Wong Chin Huat, rakyat akan mendapat dua manfaat utama jika PRU dan PRN dijalankan secara berasingan.
DUN saya tak bubar. Jadi saya kena undi ke masa PRU15?”
“Ala, kena undi dua kali ke? Lecehnya… kenapa tak bubar sekaligus?”
Jangan risau. Pakar politik kata mengundi dua kali lebih menguntungkan rakyat.
Bebenang. 1/10 ⤵️ pic.twitter.com/lF7hV7uFNm
— BFM89.9 (@BFMradio) November 1, 2022
Pertama adalah kesan pertengahan penggal, yang mana pengundi boleh menilai kerja-kerja yang dilakukan oleh wakil rakyat. Parti yang memerintah perlu menjalankan khidmat sebaik mungkin demi memastikan mereka dilantik semula oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang. Jika PRU dan PRN diadakan serentak, mungkin wakil rakyat cuma akan memberikan khidmat terbaik pada dua tahun terakhir.
Manfaat kedua diterima oleh rakyat adalah dalam bentuk semak dan imbang antara parti dan mengelakkan kuasa mutlak bagi sesebuah parti. Pakatan yang tidak menang pada PRU mungkin akan berusaha memberikan khidmat terbaik supaya dipilih oleh rakyat dalam PRN akan datang. Malah, mekanisme semak dan imbang ini akan lebih kukuh jika kerajaan yang memerintah di peringkat persekutuan dan negeri adalah dari kalangan parti politik berlainan.
Setiausaha Agung Democratic Action Party (DAP), Anthony Loke, berkata rakyat Pulau Pinang dilihat cenderung untuk PRU dan PRN dijalankan serentak. Walau bagaimanapun, Chin Huat berkata kebanyakan pemilih tidak kisah untuk menghadiri PRN pada masa hadapan setelah penggal kerajaan negeri tamat. Pilihan calon di PRN boleh menjadi satu indikasi terhadap sokongan atau bantahan terhadap kerajaan persekutuan yang dilantik pada PRU. Chin Huat juga berkata rakyat tidak pernah merungut apabila Pilihan Raya Kecil diadakan.
Ada kebaikan PRU dan PRN dijalankan secara berasingan
Walaupun kos yang tinggi perlu dikeluarkan untuk mengadakan PRN pada tahun hadapan, namun jelas rakyat akan mendapat manfaat dari segi peluang untuk menilai kerja-kerja ahli Parlimen tidak kira parti. Perdana Menteri Sementara Ismail Sabri Yaakob berkata PRN diadakan serentak dengan PRU agar tidak menyusahkan rakyat dan dapat menjimatkan kos pilihan raya. Namun begitu, menurut pensyarah di National University of Singapore, Serina Rahman, masalah ini tidak akan wujud jika PRU15 tidak diadakan pada tahun ini.