Apabila di tempat kerja, selepas makan, pernah tak anda berasa berat mata dan mengantuk? Perkara ini sebenarnya merupakan fenomena yang disebut sebagai ‘afternoon crash’. Selain disebabkan oleh ritma sirkadian, ia juga berlaku akibat pemakanan yang menentukan turun naik kandungan gula dalam darah.
Berdasarkan satu tinjauan oleh Paychex, lebih 8 daripada 10 pekerja mengalami ‘afternoon crash’. Pekerja melaporkan keadaan ini berlaku purata 3.2 hari seminggu iaitu lebih separuh daripada waktu bekerja seminggu. ‘Afternoon crash’ menyebabkan pekerja hilang fokus, sekaligus mengurangkan produktiviti dan kecekapan mereka.
Tidur siang atau ‘napping’
Tidur siang telah dipraktikkan sejak zaman Rom yang digelar sebagai ‘sexta hora’, iaitu tidur pada jam keenam siang atau sekitar tengahari. Berdasarkan artikel oleh The Guardian, manusia sebelum ini mempunyai dwifasa tidur dan tidur dua kali dalam masa sehari. Namun begitu, manusia menjadi monofasa apabila lampu elektrik dicipta pada abad ke-19.
Kecenderungan manusia untuk tidur pada masa tertentu atau ‘chronotype’ sebenarnya dipengaruhi oleh genetik badan. Manusia boleh menjadi seorang ‘morning lark’ yang berjaga pada waktu siang, atau ‘night owl’ yang berjaga pada waktu malam. Seorang ‘night owl’ akan senang mengantuk pada waktu siang dan lebih mudah tidur siang.
Individu yang sihat akan mendapat kebaikan daripada tidur siang. Sebaliknya, mereka yang tidak sihat, mempunyai berat badan berlebihan atau mengalami masalah perubatan dinasihatkan supaya tidak tidur siang terlalu lama.
Kebaikan tidur siang
Pelbagai kajian telah dijalankan bagi mengenal pasti kebaikan tidur siang. Sekumpulan penyelidik dari Perancis telah menjalankan tinjauan sistematik ke atas 11 kajian lampau tentang kesan tidur siang. Tinjauan itu mendapati bahawa tidur siang dapat meningkatkan prestasi kerja seperti penaakulan logik, bagus untuk semua jenis memori serta memberi ketenangan dan meningkatkan mood.
Di samping itu, tidur siang didapati boleh meningkatkan kreativiti, produktiviti, dan prestasi fizikal. Ia juga bagus untuk menghilangkan kepenatan bagi yang kerja secara syif. Selain daripada kesan terhadap emosi dan otak, tidur siang juga dikenal pasti dapat memberi kebaikan kardiovaskular dalam bentuk pemulihan daripada tekanan psikologi.
National Aeronautics and Space Administration (NASA) turut melakukan kajian ke atas kesan tidur siang terhadap juruterbang. Kajian itu mendapati bahawa juruterbang yang tidur selama 26 minit mempunyai kepekaan yang meningkat sehingga 54% dan prestasi kerja sebanyak 34%. Perkara ini juga bermakna fungsi kognitif seseorang yang tidur siang pulih pada kadar sama ketika tidur malam.
Menurut Kimberly Cote, professor psikologi dan neurosains di Brock University, tidur siang dapat meningkatkan mood, kepekaan dan prestasi kerja seperti masa tindak balas, perhatian dan memori.
Namun begitu, tidur siang yang lebih lama boleh menyebabkan seseorang memasuki fasa tidur nyenyak yang akan menimbulkan perasaan bingung setelah bangun, juga dikenali sebagai ‘sleep inertia’. Ia juga boleh menyebabkan seseorang sukar tidur pada waktu malam. Oleh itu, Cote dan NASA mencadangkan tidur siang antara 10 hingga 20 minit sahaja.
Penyelidik dari National University of Singapore juga mendapati hasil yang sama dalam kajian mereka ke atas tidur siang. Menurut mereka, tidur siang selama 10 hingga 60 minit meningkatkan mood positif dan mengurangkan mengantuk sehingga empat jam setelah bangun. Sebaliknya, hanya tidur siang selama 30 minit yang memberi faedah terhadap pengekodan memori. Walaupun ‘sleep inertia’ berlaku bagi tidur siang 30 hingga 60 minit, namun kesannya terhenti setelah 30 minit selepas bangun.
Satu kajian lain telah dijalankan ke atas 11 orang individu lelaki yang sihat untuk mengenal pasti kebaikan tidur siang terhadap tekanan. Hormon stres norepinefrina dan Interleukin-6 akan meningkat apabila seseorang tidak mempunyai tidur yang mencukupi, seterusnya menyebabkan seseorang berasa penat keesokan harinya. Namun begitu, peningkatan tidak terjadi apabila individu tidur siang. Dapatan ini membuktikan bahawa tidur siang juga mempunyai kesan terhadap mengurangkan tekanan.
Para penyelidik dari Massachusetts Institute of Technology telah melakukan satu kajian ke atas 452 pekerja bergaji rendah di Chennai, India. Kesemua individu tersebut dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu mereka yang menerima rawatan untuk meningkatkan waktu tidur malam, mereka yang diizinkan tidur di tempat kerja, dan satu kumpulan kawalan.
Walaupun peserta dalam kumpulan tidur siang hanya tidur lebih kurang 13 minit, produktiviti mereka meningkat dalam 2.3% sehari. Mereka juga didapati lebih cerdas terhadap insentif gaji berdasarkan prestasi kerja.
Dalam masa yang sama, mereka telah menyimpan tambahan 16 rupee sehari yang bersamaan dengan peningkatan penyimpanan sebanyak 15%. Perkara ini menunjukkan bahawa tidur siang bukan sahaja bagus untuk emosi dan prestasi kerja, tetapi juga memberi kesan yang positif pada ekonomi diri.
Qailulah sunat Rasulullah
Tidur siang sebenarnya juga merupakan perkara sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan dikenali sebagai qailulah. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, Rasulullah bersabda:
قِيلُوا فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَا تَقِيلُ
Maksudnya: “Lakukanlah qailulah. Sesungguhnya syaitan tidak berehat.”
Riwayat Al-Tabarani (28)
Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud RA, Rasulullah bersabda:
مالي ولِلدُّنيا إنَّما مَثَلي ومَثَلُ الدُّنيا كمثل راكبٍ قالَ في ظلِّ شجرةٍ ثم راحَ وتركها
Maksudnya: “Apa dah jadi padaku dan pada dunia. Perumpamaan aku dan dunia seperti seorang penunggang yang mana dia berehat sebentar di bawah pokok, kemudian pergi meninggalkan pokok tersebut.”
Riwayat al-Tirmizi (2377), Ibnu Majah (4109)
Menurut Ibnu Manzur, seorang penyusun kamus bahasa Arab, qailulah bermaksud tidur pada pertengahan siang. Pada masa yang sama, Imam Al-San’ani menyatakan bahawa qailulah tidak semestinya membawa makna tidur, tetapi juga merangkumi rehat pada pertengahan siang.
Terdapat beberapa pandangan berbeza mengenai waktu qailulah iaitu sama ada sebelum atau selepas gelincir matahari, atau kedua-duanya sekali. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lebih cenderung kepada pandangan bahawa qailulah merangkumi berehat atau tidur sebelum gelincir matahari iaitu sebelum masuknya waktu zohor.
Tidur siang boleh meningkatkan produktiviti seseorang
Berdasarkan banyak kajian yang telah dijalankan, terbukti bahawa tidur siang memberikan banyak kebaikan bagi individu, bukan sahaja dari segi emosi, kesihatan dan kognitif, bahkan ekonomi diri.
Walau bagaimanapun, Sara Mednick, penyelidik di University of California mendapati bahawa tidur siang tidak sesuai diamalkan oleh semua individu. Kajian olehnya mendapati bahawa individu digelar ‘non-napper’ akan berasa lebih teruk dan tidak mendapat sebarang kebaikan kognitif setelah tidur siang. Walaupun individu ini diajar untuk tidur siang selama empat minggu, namun mereka masih gagal melakukannya.
Boleh disimpulkan daripada hasil kajian tersebut bahawa tidur siang adalah satu kemahiran yang tidak boleh diajar dan ia bersangkut-paut dengan genetik. Mednick menganggarkan sekitar separuh daripada jumlah populasi dunia mempunyai genetik yang membolehkan mereka untuk tidur siang.