Adakah Tong Gas Memasak Mudah Meletup?

Salah
Adakah Tong Gas Memasak Mudah Meletup?

Banyak kemalangan tong gas memasak meletup sering dilaporkan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 20/12/2022 - Disunting : 20/12/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Tong Gas Memasak Mudah Meletup?

Kejadian tong gas memasak ‘meletup’ telah beberapa kali dilaporkan. Baru-baru ini, kejadian tersebut telah menimpa Siti Hajar Hanis Muhamad apabila sebuah letupan berlaku ketika hendak menggunakan dapur masak. Selain daripada kecederaan yang serius ke atas dirinya, letupan itu turut memusnahkan rumah teres serta motosikal dan kereta mangsa. Persoalannya, benarkah sebuah tong gas memasak boleh meletup?

 

Petroleum cecair di dalam tong gas

Petroleum cecair atau liquefied petroleum gas (LPG) adalah campuran cecair propena hidrokarbon, propana, butena dan butana yang mudah meruap. LPG telah diperkenalkan sejak tahun 1860 sebagai sumber bahan bakar mudah alih bagi penggunaan domestik dan industri. Kebiasaannya, merkaptan akan ditambah ke LPG sebagai bau-bauan untuk langkah keselamatan. LPG mempunyai ketumpatan yang lebih tinggi daripada gas, tetapi kurang tumpat berbanding cecair.

 

Letupan gas memasak, bukan tong gas

Letupan tong gas itu sendiri sebenarnya sangat sukar dan jarang berlaku. Kebiasaannya, hanya gas memasak atau LPG yang meletus tanpa melibatkan letupan tong gas. Letupan tong gas dikenali sebagai Boiling Liquid Expanding Vapour Explosion (BLEVE). BLEVE berlaku apabila tong gas bertekanan tinggi pecah/rosak dengan suhu gas di dalam melebihi takat didihnya. 

Walau bagaimanapun, tong gas LPG jarang mengalami BLEVE kerana mempunyai injap pelepasan tekanan atau Pressure Relief Valve yang akan melepaskan tekanan yang berlebihan. Sebagai satu ciri keselamatan yang paling penting bagi sebuah tong gas, injap ini akan melepaskan sedikit tekanan untuk mengurangkan tekanan yang meningkat di dalam tong gas. Tekanan sebuah tong gas boleh meningkat apabila terdedah kepada api atau sumber haba yang tinggi. Dengan bantuan injap pelepasan tekanan, tekanan di dalam tong gas tidak akan melebihi tekanan maksimum. Tanpa tekanan yang tinggi, letupan tong gas tidak akan berlaku. 

Kredit gambar: Chuttersnap/ Unsplash

 

Faktor letupan gas memasak atau LPG

Letupan LPG tidak akan berlaku secara sendirinya, sebaliknya ia melibatkan faktor-faktor luar. Apabila terdapat kebocoran, gas akan keluar dari tong dan bercampur dengan udara untuk menghasilkan campuran mudah terbakar. Letupan LPG kemudiannya berlaku jika terdapat percikan atau sumber penyalaan.

Kredit gambar: Ilse Driessen/ Unsplash

Oleh yang demikian, penting untuk memastikan LPG tidak mengalir keluar dari tong gas melalui sebarang kebocoran seperti kebocoran paip gas. Tong gas juga seelok-eloknya diletakkan di tempat terbuka dengan pengudaraan yang mencukupi. Kepala gas perlu dipasang dengan ketat dan dicabut apabila gas memasak tidak digunakan. Malah, kedua-dua paip gas dan kepala gas perlu daripada sumber yang diiktiraf oleh SIRIM. 

 

Letupan tong gas memasak

Sudah tentu terdapat juga kes letupan tong gas yang sebenar, seperti yang dilaporkan di dalam jurnal ini (AMARAN! Pautan ini mengandungi gambar sebenar mayat mangsa letupan) akibat penyalahgunaan tong gas. Berdasarkan artikel tersebut, letupan tersebut berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang mengisi gas memasak ke dalam tong 5kg daripada tong 16kg. Pada masa yang sama, mereka juga sedang memasak di tempat berdekatan. Hal ini mengakibatkan sebuah tong gas disambar api sebelum meletup, menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan kebakaran maut. 

 

Amat jarang untuk tong gas memasak meletup

Tong gas memasak amat sukar untuk meletup. Kejadian ‘letupan tong gas’ yang sering dilaporkan lebih tepat disebut sebagai ‘letupan gas memasak’ atau ‘letupan LPG’. Menurut Elgas New Zealand, wartawan gemar melaporkan letupan PLG yang terkait dengan tong gas sebagai sebuah ‘letupan tong gas’. Hal ini adalah bagi menarik minat orang ramai untuk membaca hantaran mereka. 

Sesetengah negara seperti India dan Pakistan mempunyai masalah letupan tong gas tidak berkualiti yang tidak mencapai piawaian pembuatan dan ciri-ciri keselamatan. Oleh itu, penting untuk kita membeli tong gas memasak daripada pembekal yang bereputasi dan tidak menggunakan tong gas yang kelihatan pelik atau tidak berkualiti. 


Rujukan:

1. https://www.therakyatpost.com/trpbm/berita/2022/12/14/tong-gas-meletup-hingga-badan-bakal-pengantin-melecur-sofa-tercampak-keluar/
2. https://www.britannica.com/science/liquefied-petroleum-gas
3. https://www.elgas.co.nz/resources/elgas-blog/256-how-why-would-an-lpg-cylinder-explode-lpg-cylinder-blast-propane/
4. https://www.supergas.com/blog/lpg-cylinder-explosion

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago