Adakah Tradisi Duit Raya Berkait Dengan Tradisi Pemberian Angpau Ketika Tahun Baru Cina?

Benar
Adakah Tradisi Duit Raya Berkait Dengan Tradisi Pemberian Angpau Ketika Tahun Baru Cina?

Angpau atau duit raya sering diberikan ketika perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 28/04/2023 - Disunting : 28/04/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Tradisi Duit Raya Berkait Dengan Tradisi Pemberian Angpau Ketika Tahun Baru Cina?

Apabila musim raya tiba, ramai orang akan ke bank untuk membuat penukaran wang kertas baru yang kebiasaannya bernilai ratusan, malah ribuan Ringgit. Wang kertas baru tersebut akan diisi ke dalam sampul dan bertujuan untuk diberikan sebagai angpau atau duit raya kepada individu tertentu. Bukan sahaja menjadi budaya ketika perayaan Tahun Baru Cina, pemberian duit raya turut menjadi kebiasaan ketika Hari Raya Aidilfitri. 

Tradisi pemberian duit raya bukanlah sesuatu yang eksklusif di negara kita tetapi turut dipraktikkan di negara-negara Islam seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Sri Lanka, Bangladesh, Qatar, dan negara-negara di Timur Tengah. Apakah sejarah pemberian duit raya di Malaysia dan adakah ia berkaitan dengan budaya pemberian angpau ketika Tahun Baru Cina?

 

Sejarah pemberian duit raya ketika Hari Raya Aidilfitri

Walaupun tiada sejarah yang direkod secara rasmi mengenai permulaan pemberian duit raya, ramai yang percaya ia berasal daripada tradisi pemberian angpau ketika Tahun Baru Cina. Profesor Madya Dr Norazlina Mohd Kiram dari Universiti Putra Malaysia berkata bahawa tradisi meletakkan duit raya di dalam sampul raya kemungkinan telah diikuti daripada budaya Cina. 

Seorang guru, Norhasyikin Abdul Wahab, juga berpendapat bahawa budaya pemberian duit raya oleh orang Islam di Malaysia telah diadaptasi daripada masyarakat Cina. Namun begitu, ia tidaklah sehingga menjadi suatu kewajiban untuk menyediakan duit raya sewaktu perayaan Hari Raya Aidilfitri. 

 

Menurut sebuah artikel oleh pengkaji di National Taipei University of Technology, perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri pernah berlaku hampir serentak pada tahun 1996, 1997 dan 1998. Ketika itu, frasa ‘Kongsi Raya’ telah diperkenalkan sebagai menyambut kedua-dua perayaan tersebut bersama. Tradisi pemberian duit raya atau sampul raya hijau dipercayai bermula melalui iklan televisyen oleh Marlboro pada tahun 1996 dan Petronas pada tahun 1996 hingga 1998. 

Sebenarnya, selain daripada Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina, angpau turut diberi kepada golongan muda dan kanak-kanak ketika perayaan Deepavali. Tradisi pemberian duit raya kemudiannya diadaptasi oleh perayaan Deepavali apabila Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali hanya berjarak 2 hingga 3 hari pada tahun 2004 dan 2005. Frasa ‘Deepa Raya’ pula telah diperkenalkan dan kaum India mula mempraktikkan pemberian duit raya melalui sampul raya ungu. 

Walaupun tradisi pemberian duit raya mungkin diambil daripada tradisi angpau, tetapi syarat pemberiannya berbeza sedikit. Duit raya sering diberikan kepada kanak-kanak ataupun golongan muda yang masih belum bekerja. Namun begitu, masyarakat Cina memberikan angpau kepada golongan yang belum berkahwin tidak kira umur atau status pekerjaan. 

 

Pemberian duit raya menurut Islam

Berdasarkan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pemberian duit raya ketika Hari Raya Aidilfitri adalah bertepatan dengan ibadah sedekah di dalam Islam. Malah, pemberian duit raya kepada ibu bapa dan kaum kerabat akan menghasilkan beberapa bentuk pahala iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada dua ibubapa), mengeratkan silaturahim dan pahala bersedekah. 

Perkara ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abi Waqqas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‎إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ

Maksudnya: Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu.

Riwayat Al-Bukhari (56)

 

Terdapat individu yang mempersoalkan jika tradisi memberi duit raya mempunyai unsur tasyabbuh, iaitu menyerupai kaum lain, dengan budaya memberi angpau oleh masyarakat Cina. Namun begitu, pemberian duit raya mempunyai asas di sisi Islam iaitu sebagai sedekah yang sunat hukumnya. Bagi penggunaan sampul raya pula, ia mengikut hukum asal sesuatu perkara seperti yang dinyatakan dalam kaedah fekah:

‎الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَة

Maksudnya: Hukum asal bagi setiap sesuatu (yang bukan ibadah) adalah harus

 

Ustaz Umar Faruq Sudinta, Mudir Pusat Pengajian Tafaqquh dan Tahfiz Al Makki di Kuching, berkata pemberian duit raya bukan sahaja dianjurkan sebagai ibadah bersedekah, tetapi juga sebagai cara membawa kegembiraan kepada penerima. Penerima dapat menzahirkan rasa bersyukur apabila menerima duit raya. 

Umar turut memetik hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Umar Khattab RA, bahawa Nabi SAW pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, amal apakah yang paling utama?” Baginda menjawab: “Memberikan kegembiraan kepada hati seorang Mukmin, mengenyangkan rasa laparnya, memberi pakaian untuk menutup auratnya atau menunaikan keperluannya atau hajatnya.” (Riwayat Tabrani)

Pada masa yang sama, Umar berkata walaupun pemberian duit raya bersifat umum, ia seharusnya diutamakan kepada orang yang memerlukan bagi menepati ciri-ciri sedekah. Pemberian duit raya juga tidak sepatutnya sehingga menjadi beban bagi diri sendiri atau demi mendapatkan pujian daripada orang ramai.

 

Tradisi Pemberian Duit Raya Dikaitkan Dengan Pemberian Angpau

Walaupun tiada catatan rasmi berkenaan sejarah permulaan tradisi duit raya ketika Hari Raya Aidilfitri, ramai pihak percaya bahawa ia diadaptasi daripada pemberian angpau ketika Tahun Baru Cina. Malah, ia turut dikaitkan dengan pemberian angpau ketika Deepavali. Islam juga tidak menghalang malah menganjurkan pemberian duit raya sebagai salah satu cara bersedekah. 

Norhasyikin berpendapat budaya pemberian duit raya ketika perayaan sebagai salah satu cara untuk berkongsi rezeki dan memupuk budaya bersedekah. Tradisi ini boleh dikatakan telah menjadi satu adat yang dipraktikkan golongan Islam di Malaysia dan memberikan orang ramai, terutamanya kanak-kanak, semangat beraya. 

Namun begitu, ia juga boleh menjadi perkara negatif sekiranya kanak-kanak cuma mahu berkunjung ke rumah-rumah atas dasar mendapatkan duit raya berbanding merapatkan hubungan silaturahim. Norhasyikin merasa budaya duit raya lebih elok jika digantikan dengan pemberian barangan makanan atau cenderahati. 


Rujukan:

1. https://says.com/my/lifestyle/significance-of-duit-raya
2. https://www.hmetro.com.my/hati/2019/06/462665/budaya-duit-raya
3. http://design-cu.jp/iasdr2013/papers/1893-1b.pdf
4. https://www.kln.gov.my/web/srb_belgrade/home/-/blogs/324937/maximized
5. https://www.buletinfm.audio/5-adat-hari-raya-hasil-campuran-budaya-di-malaysia/
6. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/777-hukum-memberikan-duit-raya
7. https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/06/572879/pemberian-duit-raya-dituntut-dalam-islam

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 12 months ago