Adakah Ulat Mulung Atau Ulat Sagu Halal Dimakan?

Salah
Adakah Ulat Mulung Atau Ulat Sagu Halal Dimakan?

Memakan ulat sagu sering dijadikan sebagai kandungan media sosial oleh ramai individu

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 02/08/2023 - Disunting : 02/08/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Ulat Mulung Atau Ulat Sagu Halal Dimakan?

Bagi mereka yang pernah ke Sarawak, pasti pernah terjumpa satu makanan eksotik Borneo iaitu ulat mulong. Ia merupakan sejenis ulat yang boleh dijumpai dalam batang kayu balau atau sagu, menyebabkan ia juga digelar ulat sagu. Ulat ini mempunyai badan yang gempal dengan kepala berwarna perang gelap.

Ulat sagu sering digunakan sebagai hidangan untuk ‘mencabar’ seseorang memakannya. Malah, terdapat ramai juga pempengaruh yang membuat video memakan ulat sagu ini. Mungkin timbul persoalan sama ada ulat sagu ini halal dimakan memandangkan ia sejenis serangga. Sebelum anda cuba hidangan eksotik tersebut, mari baca artikel ini terlebih dahulu.

 

Hukum makan serangga

Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum memakan serangga adalah haram kerana serangga termasuk dalam kategori haiwan hasyarat, iaitu haiwan yang kotor dan menjijikkan.

Allah SWT berfirman:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan baginda (Rasulullah SAW) menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

Surah al-A`raf: 157

Walau bagaimanapun, belalang diharuskan untuk dimakan berdasarkan beberapa hadis yang menunjukkan Rasullah SAW mengizinkannya dan turut memakannya. Baca lebih lanjut lagi DI SINI.

 

Hukum makan ulat

Secara umumnya, ulat juga haram dimakan memandangkan ia sejenis serangga. Namun begitu, terdapat juga yang boleh dimakan seperti ulat buah atau kutu beras yang tidak kelihatan dan sukar diasingkan. Menurut Imam al-Nawawi, terdapat tiga pendapat berkenaan ulat yang berada di dalam makanan seperti buah, keju dan cuka dan telah mati. Pendapat yang paling sahih adalah halal memakannya bersama benda makanan itu dan bukan secara terasing. Terdapat juga pendapat yang menghalalkan memakannya secara mutlak dan mengharamkannya secara mutlak.

Imam al-Ramli bersetuju bahawa kacang ful atau kurma yang mempunyai kutu boleh dimakan sama ada kutunya masih hidup atau telah mati. Namun, lebih elok jika dibuang dahulu kutu yang berada di dalam kurma kerana kebiasaannya ia akan dimakan dengan cara mengupasnya terlebih dahulu.

Syeikh Abu Bakar al-Dimyati dalam kitab I`anah al-Tolibin (9/458-459) berkata, ulat yang berada dalam sesetengah makanan boleh dimakan kerana ia umpama sebahagian daripada makanan itu dan sukar mengasingkannya. Keberadaan ulat itu tidak akan mengubat tabiat dan rasa makanan.

Pada masa yang sama, Imam al-Khatib al-Syirbini berkata jika ulat itu kelihatan dan mampu diasingkan, maka haram memakan ulat itu bersama makanan tersebut.

 

Hukum makan ulat sagu

Memandangkan ulat sagu dimakan secara bersendirian dan jelas nampak rupa bentuknya, hukum memakannya adalah haram. Ini adalah kerana ia tidak dimakan bersama-sama dengan tempat ia dilahirkan. 

Mufti Negeri Sarawak Datuk Kipli Yassin berkata ulat sagu tidak boleh dimakan kerana semua ulat dilihat sebagai sesuatu yang jijik menurut Islam. Malah, fatwa mengenai ulat sagu telah dibuat sejak tahun 1985 lagi oleh Mufti Sarawak ketika itu, Allahyarham Datuk Abdul Kadir Hassan.

Menurut bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Allahyarham Datuk Daud Abdul Rahman, kajian mengenai pengharaman ulat sagu telah dilakukan di beberapa universiti serta Bahagian Kajian Pejabat Mufti Negeri. Katanya, pakar daripada beberapa universiti yang terlibat dengan kajian mendapati ulat ini mengandungi najis.

 

Umat Islam haram memakan ulat sagu

Maka jelaslah bawah ulat sagu dan apa-apa jenis ulat lain adalah haram dimakan secara mutlaknya kerana ia dilihat sebagai perkara yang menjijikkan dan najis. Namun harus diingat bahawa ulat yang ada di dalam makanan seperti buah-buahan boleh dimakan jika tidak kelihatan dan sukar diasingkan. 

Orang ramai harus beringat supaya mengkaji terlebih dahulu hukum sebelum memakan sesuatu hidangan, apatah lagi hidangan yang eksotik seperti ulat sagu.


Rujukan:

1. https://www.iloveborneo.my/benarkah-makanan-eksotik-borneo-ulat-mulong-haram-dimakan/
2. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4119-irsyad-al-fatwa-siri-ke-403-hukum-makan-kutu-beras-dan-kutu-tepung
3. https://maktabahalbakri.com/465-memakan-ulat-sagu-ulat-mulong/
4. https://www.theborneopost.com/2015/02/07/fatwa-larang-makan-ulat-mulong-sudah-lama-dibuat-kata-daud/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 9 months ago