Baru-baru ini, kecoh apabila terdapat cadangan agar garis panduan diwujudkan bagi umat Islam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam. Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zamri Zainal Abidin berkata garis panduan tersebut bertujuan untuk membantu umat Islam dalam membuat keputusan dan memahami batas syariah yang ditetapkan oleh badan berkuasa.
Dalam masa sama, perkara ini mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat majmuk sama ada umat Islam boleh menghadiri majlis perkahwinan dan kematian mereka yang tidak beragama Islam.
Sebelum itu, penting untuk memahami bahawa Allah SWT tidak melarang umatnya untuk berbuat baik dengan bukan Muslim, terutamanya mereka yang berakhlak baik dan tidak memusuhi umat Islam. Allah SWT berfirman:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Surah al-Mumtahanah: 8
Ini termasuklah memenuhi jemputan bukan Muslim untuk menghadiri majlis perkahwinan, rumah terbuka, pengebumian dan sebagainya yang tidak bertentangan dengan akidah.
Harus umat Islam hadiri majlis perkahwinan & pengebumian bukan Muslim
Merujuk kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali yang memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah, menghukumkan harus bagi umat Islam menghadiri majlis perkahwinan bukan Muslim.
Di samping itu, terdapat pandangan mazhab Syafie yang menyatakan sunat menghadiri jemputan tersebut jika mereka merupakan kaum keluarga dan jiran tetangga. Malah, ia juga disunatkan jika kehadiran seorang Islam dapat memberi manfaat kepada dakwah Islam.
Sebahagian ulama pula membolehkan umat Islam menghadiri perkahwinan bukan Muslim jika terdapat maslahah syarie, seperti dapat melembutkan hati mereka atau mendakwahkan Islam kepada mereka.
Namun dalam masa sama, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata umat Islam boleh menghadiri majlis perkahwinan dan pengebumian bukan Muslim jika ia tidak melibatkan perkara maksiat seperti minum arak, tarian yang menghairahkan, pendedahan aurat wanita dan sebagainya.
“Malah perlu diketahui bahawa agama Islam adalah agama tauhid yang mutlak berpaksikan atas kepercayaan kepada Allah secara tegas dan hanya Allah sahaja yang disembah dalam Islam,” ujarnya.
Dari segi menghadiri pengebumian bukan Muslim pula, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum ini berkata diharuskan bagi umat Islam menghadiri pengebumian mereka yang tidak memusuhi agama Allah SWT.
Tambahnya lagi, Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ telah menjelaskan bahawa umat Islam boleh mengiringi jenazah keluarganya yang kafir ketika pengebumian. Namun harus diingat bahawa orang Islam diharamkan menghadiri upacara berkaitan keagamaan.
Di samping itu, bekas Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Othman berkata menghadiri majlis pengebumian bukan Muslim seperti jiran dan rakan adalah tidak dihalang dengan tujuan untuk menzahirkan rasa simpati. Akan tetapi, tidak boleh mendoakan kesejahteraan bukan Muslim yang telah meninggal.
“Hukumnya haram untuk mendoakan si mati bukan Islam mendapat kesejahteraan dan syurga. Namun kehadiran sekadar memberi penghormatan tidak mengapa,” jelasnya.
Umat Islam boleh kebumikan jenazah bukan Muslim
Selain menghadiri majlis pengebumian bukan Muslim sebagai tanda simpati, mazhab Syafie juga membenarkan umat Islam untuk terlibat secara langsung dalam urusan pengebumian termasuk memandikan, mengkafankan dan mengebumikan jenazah, berdasarkan kepada beberapa hadis.
Dalam hadis riwayat Ali bin Abi Talid, beliau telah mengkhabarkan berita kematian Abu Talib kepada Nabi Muhammad SAW, yang bersabda:
Maksudnya: “Pergilah dan kebumikannya” Aku berkata: “Sesungguhnya dia mati dalam keadaan musyrik.” Nabi berkata: “Pergilah dan kebumikannya” Setelah mana aku mengebumikannya, aku kembali kepada Baginda. Maka Baginda berkata kepadaku, “Mandilah.”
Riwayat al-Nasa’ie: 190; Ahmad: 759
Malah, Rasulullah SAW sendiri juga telah memberi jubahnya untuk dijadikan kain kafan bagi seorang munafik bernama Abdullah bin Ubay ibn Salul. Daripada Jabir bin Abdullah RA berkata:
Maksudnya: “Ketika Perang Badar, tahanan perang dibawakan termasuk al-Abbas yang tidak berpakaian. Nabi SAW mencari-cari pakaian untuknya dan mendapati jubah Abdullah bin Ubay sesuai dengannya. Maka Nabi memberikan jubah itu kepada al-Abbas. Oleh itulah Nabi SAW melepaskan jubah yang dipakainya (untuk dijadikan kain kafan jenazah Abdullah bin Ubay). Ibn ‘Uyainah berkata: ‘Dia (Abdullah bin Ubai) telah melakukan sesuatu yang membuatkan Nabi SAW suka untuk memberikannya ganjaran.”
Riwayat al-Bukhari: 3008
Di samping itu, umat Islam bukan sahaja dibolehkan untuk menghadiri majlis pengebumian seorang bukan Muslim, tetapi juga menziarahi pusaranya. Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari berkata, “Adapun menziarahi kubur bukan Muslim dibolehkan.” Imam al-Nawawi pula berkata memandangkan kubur bukan Muslim boleh diziarah, ini bermakna lebih utama untuk menziarahi mereka sewaktu masih hidup juga.
Dalam pada itu, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menyatakan umat Islam tidak diperintahkan untuk berbeza tindakan terhadap bukan Muslim dalam upacara keagamaan yang bersifat luaran, yang duduk di negara yang memerangi Islam dan sebaliknya.
“Bahkan digalakkan atau diwajibkan baginya untuk kadang-kala menyertai upacara mereka sekiranya terdapat maslahah agama; untuk menyeru mereka kepada Islam, mendalamkan kefahaman terhadap upacara agama mereka untuk disampaikan kepada orang Islam atau mengelakkan berlaku kemudaratan kepada orang Islam dan sebab-sebab lain daripada tujuan-tujuan yang baik di sisi syarak,” jelasnya.
Hukum masuk rumah ibadat agama lain
Namun bagaimana pula dengan majlis perkahwinan dan pengebumian yang diadakan di rumah ibadah agama lain seperti tokong, kuil, gereja dan sebagainya? Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat pendapat berbeza tentang hukum memasuki rumah ibadat agama lain.
Beberapa ulama seperti Imam Syihabuddin ar-Ramli dan Imam Ibn Hajar al-Haitami mengharamkan umat Islam untuk memasuki rumah ibadat agama lain. Bagi mazhab Syafie, perkara itu diharamkan atas dasar kewujudan patung-patung atau berhala di dalam rumah ibadat tersebut.
Dalam masa sama, perbuatan menunaikan solat di dalam gereja juga dihukumkan berbeza mengikut ulama. Sebahagian ulama mazhab Hanafi berpandangan solat dalam gereja ialah makruh, atas dasar bahawa biara Yahudia dan gereja Nasrani merupakan tempat perkumpulan syaitan. Namun pandangan yang lebih tepat menurut Ibn Nujaim ialah makruh tahrimi, iaitu dituntut supaya ditinggalkan secara muktamad.
Bagi mazhab Syafie, perkara ini turut dimakruhkan malah diharamkan jika pihak rumah ibadat tersebut melarangnya. Imam al-Bahuti dari mazhab Hanbali pula menghukumkan makruh solat di dalam gereja yang mempunyai patung berdasarkan hadis bahawa malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang mempunyai patung. Walau bagaimanapun, beliau mengharuskan memasuki gereja yang tiada patung.
Oleh yang demikian, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan membuat kesimpulan bahawa seorang Muslim pada asalnya diharuskan memasuki rumah ibadat agama lain jika mempunyai tujuan yang diharuskan syarak, termasuk menjalankan dakwah dan memenuhi jemputan berdialog antara agama. Umat Islam bagaimanapun tidak dibenarkan untuk hadir ke rumah ibadat agama lain sewaktu hari perayaan keagamaan mereka.
Boleh ke rumah ibadat agama lain bagi majlis perkahwinan dan pengebumian, namun terdapat tiga syarat
Dari segi menghadiri majlis perkahwinan dan pengebumian, penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus berkata umat Islam boleh ke rumah ibadat agama lain bagi tujuan memenuhi undangan sedemikian. Katanya, larangan yang dikenakan bukanlah kehadiran ke rumah ibadat semata-mata, tetapi bagi melakukan ibadah seperti bersolat dan berzikir kerana ibadah setiap agama mempunyai tempatnya yang tersendiri.
“Perkahwinan orang Kristian memang di dalam gereja. Tak akan nak buat di masjid?” persoalnya.
Namun begitu, Ustaz Azhar menambah bahawa terdapat tiga syarat yang harus diikuti apabila memasuki tempat yang dikhaskan bagi melakukan ibadah bukan agama Islam iaitu:
- Haruslah lakukannya dengan mempunyai perasaan takut kepada Allah SWT.
- Tidak terlibat dengan upacara keagamaan yang dijalankan di dalam tempat ibadat tersebut.
- Beriktikad bahawa segala yang ada di tempat ibadah tersebut, sama ada patung berhala atau upacara yang dilakukan, adalah batil iaitu tidak benar.
Umat Islam Boleh Menghadiri Majlis Perkahwinan & Pengebumian Agama Lain
Berdasarkan rujukan terhadap beberapa sumber, didapati bahawa umat Islam tidak dilarang untuk menghadiri majlis perkahwinan dan pengebumian bukan Muslim secara umumnya. Malah, umat Islam turut dibenarkan terlibat secara langsung dalam urusan pengebumian jenazah.
Ustaz Azhar berkata majlis tersebut juga boleh dihadiri jika dijalankan di rumah ibadat agama lain. Namun dalam masa sama, terdapat syarat yang harus diikuti termasuk tidak terlibat dalam upacara keagamaan yang dijalankan ketika itu. Malah Dr Wan Salim berkata majlis sedemikian hanya boleh dihadiri jika tidak melibatkan perkara maksiat seperti minum arak