Adakah Umat Islam Boleh Menderma Organ?

Benar
Adakah Umat Islam Boleh Menderma Organ?

Pendermaan organ penting bagi membantu pesakit mendapatkan organ yang lebih elok bagi menggantikan miliknya yang tidak lagi berfungsi

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 24/12/2024 - Disunting : 24/12/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Umat Islam Boleh Menderma Organ?

Pendermaan organ merupakan proses memberi bahagian tubuh badan untuk tujuan transplantasi (pemindahan organ) selepas meninggal dunia.

Proses tersebut bertujuan untuk menukar organ atau tisu yang gagal berfungsi dalam pesakit dengan organ atau tisu yang lebih elok daripada penderma, sekaligus menjadikan kehidupan pesakit lebih selesa serta menyelamatkan nyawanya.

Di Malaysia, pendermaan organ bukanlah sesuatu yang asing lagi apabila jumlah pengikrar organ setakat 1997 sehingga tarikh artikel ini dikeluarkan telah mencecah 395,842.

Namun dalam masa sama, timbul persoalan sama ada umat Islam boleh menderma organ mereka selepas meninggal dunia. Malah, turut timbul kepercayaan bahawa proses mengambil organ akan menyebabkan mayat terseksa dengan kesakitan.

Oleh yang demikian, artikel kali ini akan menjelaskan tentang pendermaan organ menurut perspektif Islam.

 

Wujud pendapat haram menderma organ kerana ia hak milik Allah SWT

Mengenai hukum pendermaan organ dalam Islam, terdapat pendapat yang berbeza dalam kalangan para ulama.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, menyenaraikan Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi, Syeikh Ahmad bin Ahmad al-Khalili, Syeikh ‘Abd al-Salam Rahim al-Sukkari, Sayyid Muhammad Qutbuddin dan Syeikh Sharif Muhammad ‘Abd al-Qadir sebagai ulama yang mengharamkannya.

Berdasarkan kepada laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dalil pengharaman pendermaan organ adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Surah al-Baqarah (195)

Selain itu, turut didalilkan bahawa anggota dan seluruh bahagian badan diharamkan diambil kerana tidak mendapat izin daripada Allah SWT sebagai pemiliknya.

 

Harus menderma organ bagi membantu pesakit yang memerlukan

Sebaliknya, terdapat ulama dan institusi-institusi fatwa seluruh dunia seperti Majlis Ugama Islam Singapura, Majlis Ulama Besar Arab Saudi,  Majlis Fatwa Kuwait, Majma’ al-Fiqh al-Islami, Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Hind, The Islamic Shariah Council UK dan di Malaysia sendiri yang menghukumkan pendermaan organ sebagai harus.

Dalam pada itu, Dr Abd al-Jalil Shalabi berpandangan pendermaan organ adalah wajib, manakala Dr Rauf al-Shalabi mengharuskannya dengan syarat organ atau anggota tubuh diterima daripada penderma yang masih hidup.

Dalil keharusan seperti yang dikongsikan oleh laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

Surah al-Ma’idah (2)

Dalam masa sama, pendermaan organ yang diqiyaskan dengan jihad nyawa dianggap sebagai pengorbanan sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Ma’idah ayat 2 dan Surah al-Hasyr ayat 9. Malah, pengorbanan yang dilakukan bagi membantu orang sakit juga merupakan sebahagian daripada sunnah Rasulullah SAW.

Kredit gambar: Piron Guillaume/ Unsplash

Organ atau bahagian tubuh badan yang terpotong dikira sebagai najis

Di samping itu, sesetengah ulama yang mengharamkan pendermaan organ mengguna pakai kaedah “مَا أُبِينَ مِنْ حَيٍّ؛ فَهُوَ كَميْتَتِه” yang bermaksud:

“Semua yang terpisah/ terpotong dari yang hidup maka hukumnya sebagaimana bangkainya.” 

Oleh itu, sebarang organ atau bahagian tubuh badan yang terpotong dari yang hidup adalah dikira sebagai najis. Sesetengah ulama berpendapat pendermaan organ diharamkan memandangkan pendermaan najis adalah tidak dibenarkan mengikut mazhab Syafie.

Dalil di atas diqiyaskan dengan hukum haram mendermakan anggota tubuh badan untuk dimakan oleh individu lain dalam keadaan darurat berdasarkan pandangan Imam al-Nawawi.

Namun begitu, Imam al-Nawawi berpandangan bahawa rawatan dengan najis adalah dimaafkan dan sah solatnya. Ini termasuk juga bagi situasi transplantasi organ atau tubuh badan yang terpotong yang dihukumkan sebagai bangkai (najis).

Dalam masa yang sama, jumhur ulama berpandangan bahawa anak Adam (manusia) adalah suci samada hidup atau mati.

 

Hukum pendermaan organ di Malaysia

Di Malaysia, Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Pertama pada Jun 1970 memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang yang telah meninggal dunia kepada pesakit adalah diharuskan dalam Islam.

Akan tetapi, pertimbangan-pertimbangan berikut perlu diambil kira:

  • Di dalam keadaan yang mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
  • Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
  • Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya
  • Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari keluarga bagi kematian akibat kemalangan.

Menjadi salah satu daripada tuntutan maqasih al-Syariah, pemindahan organ dibenarkan bagi memenuhi tuntutan memelihara nyawa manusia. Salah satu sumber ialah firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

Surah al-Baqarah (185)

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pemindahan organ diharuskan dengan empat syarat:

  • Diizinkan oleh penderma yang berakal waras, sudah baligh dan tidak ada paksaan atau diizinkan oleh walinya sebelum kematiannya.
  • Hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya.
  • Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk berubat dan bukan untuk maksud dan tujuan lain.
  • Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.

Namun begitu, testis dan rahim haram didermakan kepada individu lain memandangkan ia berkait rapat dengan nasab keturunan.

Untuk rekod, fatwa keharusan pemindahan dan pendermaan organ telah dikeluarkan oleh Perlis (1965), Sarawak (1996), Selangor (2000), Johor (2001) dan Pulau Pinang (2010). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam pada itu menyimpulkan bahawa pendermaan organ adalah harus dan amat digalakkan.

Kredit gambar: National Cancer Institute

Derma organ disifatkan sebagai menyeksa mayat?

Dalam pada itu, timbul kepercayaan bahawa pembedahan organ ke atas individu yang telah meninggal dunia disifatkan sebagai menyeksa mayat. Ini adalah berdalilkan kepada hadis berikut:

إِنَّ كَسْرَ عَظْمِ الْمَيِّتِ مَيْتًا، كَمِثْلِ كَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya: “Sesungguhnya perbuatan mematahkan tulang si mati samalah seperti mematahkan tulangnya semasa ia hidup.”

Namun Dr Zulkifli berkata pemindahan organ dilakukan sebagai pilihan terakhir bagi menyelamatkan nyawa seseorang pesakit yang memerlukannya. Seperti yang dinyatakan tadi, memelihara nyawa ialah salah satu daripada maqasid syariah. 

Oleh itu, beliau berpendapat larangan dalam hadis tersebut tidak dikira dalam konteks wujudnya keperluan untuk menyelamatkan nyawa seseorang. Malah tambahnya, pemindahan organ merupakan alternatif terakhir bagi menyelamatkan nyawa pesakit.

 

Hukum beri dan terima organ milik bukan Islam

Di samping itu, mungkin terdapat sesetengah individu yang tertanya-tanya tentang hukum memberi kepada atau menerima organ daripada bukan Islam.

Berdasarkan kepada laman web Maktabah AlBakri, Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan bahawa hukum menderma anggota badan adalah sama seperti menderma harta benda. Ini bermaksud anggota badan boleh didermakan kepada orang Islam mahupun bukan Islam yang tidak memerangi kaum Muslimin.

Sebaliknya, anggota badan tidak boleh didermakan kepada kafir yang memerangi umat Islam sama ada menggunakan senjata, secara lisan, dalam bentuk pemikiran atau memesongkan fahamannya.

Dr Zulkifli berkata, dalam konteks negara dengan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam aman damai dan menghormati antara satu sama lain, tiada masalah bagi seorang Muslim untuk menderma organ kepada individu bukan Islam.

Malah, laman web Mufti Wilayah Persekutuan juga menyatakan tiada larangan untuk seorang Islam menerima organ atau anggota badan dari bukan Islam. Ini adalah berdasarkan kepada perbahasan bahawa anggota seseorang hanyalah alat bagi manusia melaksanakan tuntutan akidahnya dan tidak bersifat dengan Islam atau kufur.

 

Umat Islam Di Malaysia Diharuskan Untuk Menderma Organ

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa pendermaan organ di Malaysia adalah diharuskan dan amat digalakkan bagi umat Islam. Mereka yang menjadi pengikrar derma organ juga tidak perlu risau jika organ diserahkan kepada pesakit bukan Islam kerana ia tidak dilarang syariat.

Namun dalam masa sama, pendermaan organ perlulah mendapat persetujuan pemilik atau walinya terlebih dahulu. Malah organ reproduktif, yakni rahim dan testis, haram dipindahkan kepada individu lain kerana ia berkait rapat dengan isu nasab keturunan.

Jika anda berminat untuk berikrar sebagai penderma organ, daftar segera menerusi aplikasi MySejahtera.

Untuk info, organ yang boleh didermakan di Malaysia ialah jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang, manakala tisu pula merangkumi injap jantung, mata (kornea), tulang dan kulit.

Baca Artikel Berkaitan: Suami Meninggal Dunia Akibat Kematian Otak, Wanita Derma Organ Arwah


Rujukan:

1. https://infosihat.moh.gov.my/projek-khas/derma-organ.html
2. https://www.zulkiflialbakri.com/derma-organ-dan-tisu/
3. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/3314-bayan-linnas-siri-ke-176-fatwa-berkenaan-organ-dan-tisu
4. https://maktabahalbakri.com/2519-menderma-organ-kepada-orang-bukan-islam/
5. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1034-al-kafi-li-al-fatawi-ke-528-hukum-menerima-darah-dan-organ-daripada-non-muslim

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 week ago