Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan berlangsung tidak lama lagi membuahkan pelbagai persoalan dari orang ramai. Salah satu isu yang dibangkitkan adalah mengenai kerahsiaan kertas undi.
Sebuah gambar telah tular yang menunjukkan kertas undi dahulunya mengandungi bilangan daftar pemilih pilihan raya yang boleh dirujuk semula di dalam daftar untuk melihat nama dan nombor kad pengenalan pengundi. Ia bertindak sebagai tanda bahawa kertas undi dikeluarkan untuk pemilih yang berkenaan.
Semakin ramai penjawat awam yang ingin dan dahagakan perubahan. Mereka juga tertarik dengan tawaran Pakatan Harapan.
Tapi mereka juga risau kalau undi mereka boleh dikesan dan akan diambil tindakan. Jangan risau.
UNDI ANDA KEKAL RAHSIA! pic.twitter.com/VyXEiQojXQ
— Laga Cawan 🏴 (@LagaCawan) November 7, 2022
Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981
Pada masa yang sama, gambar tersebut menunjukkan bahawa nombor bilangan telah dikeluarkan daripada kertas undi apabila Peraturan 19(3) di dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 telah dipinda pada 2006. Melalui pindaan ini, tanda kertas undi dikeluarkan perlu dibuat mengikut subperaturan (5), iaitu tanda yang tidak akan dapat mengenal pasti seseorang pengundi.
Di dalam Peraturan Pilihan Raya 19(7), jelas dinyatakan bahawa pengundi perlu menandakan kertas undinya secara rahsia. Selepas pengundi memangkah calon yang dikehendaki, kertas undi tersebut perlu dilipat bagi menutup pilihan yang dibuatnya dan menjamin kerahsiaannya.
Di samping itu, orang yang bertugas di suatu tempat pembuangan undi perlu membuat sumpah kerahsiaan melalui Borang A dalam Jadual Pertama Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Melalui sumpah kerahsiaan tersebut, petugas-petugas tidak boleh mengeluarkan atau berkongsi sebarang maklumat daripada daftar pemilih, termasuk status undi pemilih. Malah, petugas tidak boleh cuba untuk mendapatkan maklumat daripada pemilih tentang calon yang hendak atau telah diundi.
Mengikut Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, bekas ketua pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) (2000-2008), jaminan diberikan bahawa undi adalah rahsia dan tidak dapat diketahui oleh mana-mana pihak. Jaminan kerahsiaan ini termasuk bagi undi awal. Walaupun prosedur terdahulu memerlukan nombor siri ditulis pada kaunterfoil atas tujuan mengenal pasti jika terdapat kes mahkamah yang memerlukan peti undi dibuka semula, tetapi prosedur ini telah dimansuhkan. Setakat tempoh khidmat Abdul Rashid selama 29 tahun, tiada sebarang pendedahan mengenai pengundi telah dibuat oleh SPR.
Nombor siri masih ada di kertas undi, tetapi ia tidak akan dapat mengenal pasti pengundi yang telah membuat undian pada kertas tersebut. Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada tahun 2018 menjelaskan bahawa nombor siri tersebut bertujuan untuk memudahkan petugas SPR membuat pengiraan bilangan kertas undi.
Kerahsiaan undi di Pilihan Raya Umum dijamin
Melalui peraturan dan akta berkaitan PRU yang sedia ada, pemilih tidak perlu risau pilihan calon mereka terdedah. Menurut Abdul Rashid, undi pemilih dijamin kerahsiaannya dan tidak akan dapat diketahui oleh mana-mana pihak, yakni pihak mahkamah sekalipun. Pemilih boleh membuat pilihan yang dirasakan bertepatan dengan kehendak mereka tanpa risau pilihan yang dibuat akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan.