Adakah Undi Rosak Merupakan Perkara Sia-sia?

Salah
Adakah Undi Rosak Merupakan Perkara Sia-sia?

Sebuah gerakan UndiRosak telah dijalankan pada Pilihan Raya Umum ke-14

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 15/11/2022 - Disunting : 15/11/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Undi Rosak Merupakan Perkara Sia-sia?

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), terdapat suatu gerakan UndiRosak yang menggalakkan orang ramai untuk membuat undi rosak di atas kertas undian mereka. Menurut Timbalan Pengarah Akademi Pilihan Raya, Norlinah Jamman, undi rosak sebenarnya merujuk kepada kertas undi yang tidak dimasukkan ke dalam peti undi sebelum waktu mengundi tamat. Gelaran yang betul bagi kertas undi yang dimasukkan ke dalam peti undi tetapi tidak ditanda dengan betul adalah undi ditolak.

Berdasarkan Peraturan 21 dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, kertas undi rosak adalah kertas undi yang telah rosak dan tidak boleh digunakan untuk memangkah calon. Pemilih perlu memulangkannya kepada tidak ketua tempat mengundi untuk mendapatkan kertas undi baru. 

Pada masa yang sama, kertas undi yang telah dipangkah dan diletakkan ke dalam peti undi boleh ditolak sewaktu pengiraan undi mengikut Peraturan 25(7). Undi boleh ditolak jika undi diberikan kepada lebih seorang calon, terdapat tanda atau tulisan yang boleh mengenal pasti pengundi, yang tidak ditanda atau salah ditanda dan yang tidak menunjukkan tujuan pengundi dengan jelas. 

 

Keengganan pemilih keluar mengundi

Mungkin ada pemilih yang enggan membuang undi atas sebab-sebab tertentu. Menurut video Youtube oleh Jay Foreman, salah satunya adalah kerana memikirkan calon yang digemarinya tidak akan menang walaupun pemilih mengundinya. Sebenarnya, dengan mengundi parti lain, walaupun parti tersebut tidak menang, pengundi dapat memberi tekanan kepada parti pemenang apabila mereka melihat jumlah undi yang diberikan kepada calon-calon lain.

Sebaliknya, ada juga individu yang tidak mengundi atas alasan calon kegemarannya tetap akan menang kerana pernah mendapat majoriti yang tinggi. Situasi demikian telah terjadi pada tahun 1997 di United Kingdom, di mana menteri Michael Portillo telah kalah di kerusi selamatnya. 

Satu lagi alasan yang paling popular adalah kerana pemilih tidak gemar dengan mana-mana calon dan enggan memilih mereka. Namun begitu, di sesetengah negara, pemilih diberi pilihan “None of the above” atau “Tiada seperti di atas”. Sama seperti di United Kingdom, perkara ini boleh dilakukan melalui tindakan menconteng kertas undi dalam PRU di Malaysia.

 

UndiRosak dalam Pilihan Raya Umum ke-14

Kewujudan gerakan UndiRosak dalam PRU ke-14 sebenarnya merupakan sebuah tanda protes terhadap parti-parti yang bertanding. UndiRosak khusus dijalankan terhadap Pakatan Harapan (PH) yang dilihat gagal menawarkan alternatif yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN). Ia berlaku kerana PH menawarkan Tun Dr Mahathir bin Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sekiranya memenangi PRU ke-14.

Walaupun dengan kewujudan gerakan UndiRosak pada PRU ke-14, peratus undi ditolak adalah antara terendah berbanding PRU lain sebelumnya. Berdasarkan sebuah analisis oleh Malaysiakini, hanya 1.76% (217,038) daripada 12,299,514 kertas undi Parlimen yang diterima merupakan undi rosak dan undi ditolak. Ia meningkat sedikit daripada 1.52% (171,556) dalam PRU ke-13, iaitu PRU dengan kadar undi rosak dan ditolak terendah. 

Di samping itu, Sabah mencatatkan jumlah undi ditolak tertinggi pada PRU ke-14, iaitu 1.72% daripada jumlah kertas undi diterima. Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan, tidak menolak kemungkinan bahawa undi-undi tersebut telah sengaja dirosakkan. Ahmad bersetuju bahawa pengundi mungkin merosakkan undi mereka jika tidak berpuas hati dengan calon yang dikemukakan. Malah, calon yang ramai di sesebuah konstituen juga mungkin menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi dan mungkin menyebabkan mereka membuat undi rosak. 

 

UndiRosak bukan perkara sia-sia

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata kempen UndiRosak dan pengundi tidak berdaftar menunjukkan rakyat letih dan muak dengan politiking yang berlaku dalam kalangan ahli politik dari blok kerajaan mahupun pembangkang. Ia merupakan rentetan daripada PRU ke-13 yang semakin memuncak menjelang PRU ke-14. Walaupun ia tidak bagus untuk sistem demokrasi negara, tetapi ia berlaku kerana wujud rasa benci rakyat terhadap ahli politik yang dilihat mementingkan diri sendiri.

Jay Foreman merasakan bahawa tindakan menanda kertas undi dengan salah adalah lebih baik berbanding tidak mengundi sama sekali. Walaupun undi itu tidak sah dan menjadi undi ditolak, ia tetap akan diambil kira dalam proses pengiraan kertas undi. Statistik ini penting untuk menunjukkan kepada wakil rakyat bahawa pemilih tidak berpuas hati dengan mana-mana parti, sekaligus membuatkan mereka ingin bekerja keras untuk memenangi hati pemilih.


Rujukan:

1. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/04/414737/tiada-istilah-undi-rosak-ketika-kira-undi
2. https://www.spr.gov.my/sites/default/files/perundangan/pua-386-1981-bm.pdf
3. https://www.youtube.com/watch?v=_gbDAvK42yA
4. https://www.malaysiakini.com/columns/408218
5. https://www.malaysiakini.com/news/425154
6. https://www.astroawani.com/berita-politik/undi-ditolak-di-sabah-tertinggi-pada-pru14-apa-makna-menjelang-pru15-388201
7. https://malaysiagazette.com/2018/01/31/muak-politiking-punca-undi-rosak-ramai-tak-daftar/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago