Adakah Vagina Boleh Menjadi Longgar Setelah Melakukan Hubungan Seksual?

Salah
Adakah Vagina Boleh Menjadi Longgar Setelah Melakukan Hubungan Seksual?

Wanita yang telah melakukan hubungan seksual disebut sebagai telah kehilangan dara

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 10/05/2023 - Disunting : 10/05/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Vagina Boleh Menjadi Longgar Setelah Melakukan Hubungan Seksual?

Di Malaysia, persoalan tentang status dara seorang wanita sering menjadi isu perdebatan yang hangat. Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter, telah berkongsi gambar seekor ayam mentah dan mengaitkannya dengan bahagian alat kelamin wanita. 

Rupa bentuk bahagian bawah ayam mentah tersebut seolah-olah menunjukkan bukaan alat kelamin wanita atau vagina yang kelihatan ‘terbuka’ akibat melakukan hubungan seksual. Walaupun banyak reaksi yang menyokong ciapan tersebut, tetapi ramai juga individu yang tidak bersetuju. Terdapat individu yang berkata bukaan vagina tidak akan menjadi longgar akibat melakukan hubungan seksual. Mari kita semak berkenaan perkara ini.

 

Selaput dara

Wanita yang masih belum melakukan hubungan seksual sering digelar sebagai anak dara dan dikatakan masih mempunyai selaput dara atau hymen. Selaput dara adalah sisa tisu lembut dan elastik di bukaan vagina yang terhasil daripada pembentukan vagina ketika perkembangan embrio. Saiz, bentuk dan ketebalan selaput dara adalah unik bagi setiap wanita dan boleh berubah disebabkan hormon. 

Selain daripada selaput dara yang normal, terdapat pelbagai jenis selaput dara lain-lain. Ramai menganggap bahawa selaput dara menutup bukaan vagina sepenuhnya. Namun begitu, digelar imperforate hymen, perkara ini sebenarnya merupakan keadaan yang sangat jarang berlaku dan boleh memudaratkan wanita yang dilahirkan dengannya. Malah, terdapat juga wanita yang kelihatan seperti tidak mempunyai selaput dara sama sekali.

Pelbagai jenis selaput dara. Sumber: Healthnews

Seorang wanita, atau kanak-kanak perempuan, boleh kehilangan selaput daranya secara semula jadi. Selaput dara boleh terkoyak apabila melakukan aktiviti harian atau bersenam, dan tidak tertakluk kepada hubungan seksual semata-mata. Malah, seseorang mungkin tidak perasan apabila selaput daranya terkoyak.

 

Vagina

Vagina adalah tiub otot elastik yang menyambungkan serviks dengan bukaan vagina. Vagina berfungsi dalam hubungan seksual dan ketika melahirkan anak. Selain daripada ketiadaan selaput dara, wanita yang telah melakukan hubungan seksual juga sering dianggap mempunyai vagina longgar. 

Sebenarnya, vagina akan merenggang apabila dalam keadaan rileks yang membolehkan sesuatu masuk, seperti alat kelamin lelaki atau spekulum. Vagina juga boleh meregang untuk mengeluarkan bayi ketika proses kelahiran. Apabila vagina tidak lagi dalam keadaan rileks, ia akan kembali ke bentuk asalnya. Oleh itu, vagina tidak akan menjadi longgar akibat hubungan seksual, walau sekerap manapun. 

Vagina yang merasa ‘ketat’ ketika hubungan seksual mungkin disebabkan oleh beberapa masalah. Ia boleh terjadi apabila tidak cukup pelincir untuk meningkatkan keanjalan vagina. Selain itu, ia juga boleh disebabkan oleh masalah kesihatan seperti vaginismus. Perkara ini boleh menyebabkan wanita merasa tidak selesa atau sakit ketika berhubungan seksual. 

 

Kelonggaran vagina

Walaupun sifat elastik vagina tidak akan terkesan daripada hubungan seksual, ia boleh menjadi longgar akibat melahirkan anak atau kesan penuaan, tetapi tidak secara terlalu drastik. Wanita mencapai umur 40-an dan memasuki fasa perimenopause akan mempunyai kadar estrogen yang berkurangan. Kadar estrogen rendah ini akan menyebabkan tisu vagina menjadi semakin nipis, kering dan kurang elastik. 

Vagina boleh terasa longgar kerana otot lantai pelvik di sekitar vagina menjadi lemah setelah melahirkan anak atau apabila semakin berumur. Otot yang lemah ini bukan sahaja menyebabkan vagina terasa longgar, tetapi juga masalah lain seperti tidak mampu menahan kencing. Seseorang boleh melakukan senaman lantai pelvik atau senaman Kegel untuk menguatkan kembali otot di sekitar vagina.

 

Bukaan vagina tidak menjadi longgar disebabkan oleh hubungan seksual

Memandangkan vagina adalah tiub otot yang elastik, ia tidak akan menjadi longgar hanya kerana melakukan hubungan seksual. Otot vagina akan kembali ke bentuk asal setelah beberapa ketika. Namun begitu, normal untuk vagina menjadi longgar setelah melahirkan anak atau apabila telah menginjak usia 40-an yang menyebabkan perubahan hormon.

Memetik Healthline, teori bahawa bukaan vagina menjadi longgar akibat melakukan hubungan seksual wujud kerana kekurangan pendidikan seksual, rasa tidak yakin dan sifat membenci wanita. 

Pada masa yang sama, harus diingat juga bahawa selaput dara tidak boleh menentukan sama ada seorang wanita telah melakukan hubungan seksual ataupun tidak.


Rujukan:

1. https://health.osu.edu/health/sexual-health/myths-and-facts-about-hymen
2. https://healthnews.com/womens-health/vaginal-health/breaking-the-myths-about-the-hymen/
3. https://www.plannedparenthood.org/learn/teens/sex/virginity
4. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/23453-imperforate-hymen
5. https://my.clevelandclinic.org/health/body/22718-hymen
6. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK547703/
7. https://www.healthline.com/health/healthy-sex/why-does-my-girlfriend-feel-loose-sometimes
8. https://www.intimaterose.com/blogs/womens-health/vaginal-tightening-loose-vagina
9. https://www.medicalnewstoday.com/articles/325890

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago