Adakah Wanita Di Malaysia Banyak Mengalami Bias Gender Atau Diskriminasi?

Benar
Adakah Wanita Di Malaysia Banyak Mengalami Bias Gender Atau Diskriminasi?

Sebilangan wanita mengadu bahawa mereka berhadapan dengan sikap bias gender

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 16/06/2023 - Disunting : 16/06/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Wanita Di Malaysia Banyak Mengalami Bias Gender Atau Diskriminasi?

Terdapat sebilangan wanita yang berkongsi pengalaman mereka melalui proses permohonan kerja. Beberapa individu berkata mereka ditanya mengenai status perkahwinan dan sama ada mereka mempunyai anak ketika proses temu duga. Bagi sesetengah wanita, apabila bakal majikan mengetahui tentang perkara ini, mereka tidak dihubungi semula atau lantas diberitahu bahawa permohonan kerja mereka ditolak.

Seorang pengguna Twitter turut berkongsi bahawa dia akan mengasingkan resume yang diterima daripada wanita berkahwin kerana yakin majikan akan menolak permohonan mereka. Persoalannya, adakah diskriminasi atau bias gender terjadi kepada kebanyakan wanita di Malaysia atau hanya sebilangan kecil daripada mereka?

 

Kajian oleh Women’s Aid Organisation

Women’s Aid Organisation (WAO) telah menjalankan sebuah tinjauan bersama-sama agensi penyelidikan Vase.ai berkenaan “Suara Wanita di Malaysia mengenai Diskriminasi & Gangguan di Tempat Kerja”. Hasil tinjauan mendapati lebih separuh (56%) wanita di Malaysia mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk diskriminasi di tempat kerja. 

Selain daripada sering dipersoalkan tentang status perkahwinan dan rancangan masa depan keluarga, wanita juga tidak diutamakan dalam kenaikan pangkat berbanding rakan sekerja yang kurang berkelayakan. Malah, mereka juga diminta melakukan tugas diluar skop kerja seperti membancuh kopi. 

Menurut Natasha Dandavati selaku Ketua Kempen WAO, 47% wanita ketika proses temu duga kerja ditanya tentang status perkahwinan mereka. Di samping itu, 22% wanita dipersoalkan kemampuan mereka melakukan sesetengah tugas sebagai seorang wanita. 

Wanita sering dikaitkan dengan kerja-kerja rumah berbanding lelaki. Kredit gambar: Annushka Ahuja

27% wanita yang mempunyai anak berkongsi bahawa mereka menerima komen atau ditanya mengenai kebolehan mereka melakukan tugasan tertentu ketika mengandung. Pada masa yang sama, 23% wanita yang masuk semula ke kerja setelah bersalin menerima komen negatif apabila mereka pulang tepat pada waktu untuk menguruskan anak. 13% wanita pula dinafikan projek dan peluang baharu selepas habis cuti bersalin. 

Tinjauan juga mendapati polisi sokongan tempat kerja pasangan yang tidak mencukupi menyebabkan wanita perlu mengendalikan semua perkara sendiri, kekurangan sokongan emosi dan fizikal, ibu perlu mengambil lebih cuti, dan lain-lain masalah hubungan. 

Malah, wanita di Malaysia turut mengalami gangguan seksual di tempat kerja. 39% wanita menghadapi jenaka atau isyarat seksual di tempat kerja. 

 

2023 Gender Social Norms Index (GSNI)

Baru-baru ini, United Nations Development Programme (UNDP) telah mengeluarkan 2023 Gender Social Norms Index (GSNI). GSNI atau indeks norma sosial jantina mengukur bias terhadap wanita dalam empat dimensi utama iaitu politik, pendidikan, ekonomi dan integriti fizikal. Terdapat tujuh kenyataan yang mengukur GSNI seperti dalam gambar rajah di bawah. 

Indeks tersebut meliputi 85% populasi global dan diukur menggunakan data terkini daripada World Values Survey di 80 buah negara. Berdasarkan laporan tersebut lebih kurang 9 daripada 10 orang bersikap bias terhadap wanita.

Separuh daripada seluruh populasi dunia percaya lelaki adalah pemimpin politik yang lebih baik berbanding wanita, manakala 40% percaya lelaki lebih bagus sebagai eksekutif perniagaan berbanding wanita. Malah, 25% berasa wajar untuk seorang lelaki memukul isterinya. 

Nilai GSNI di peringkat global yang diukur berdasarkan 38 buah negara. Sumber: UNDP

Nilai GSNI di peringkat global dapat dilihat menunjukkan pengurangan sebanyak 2.3% bagi tempoh 2017-2022, dengan pengurangan lebih tinggi dalam kalangan lelaki. Peratus populasi tanpa sebarang bias meningkat di 27 daripada 38 negara seperti Jerman, Singapura dan Jepun. 

Peratus populasi tanpa bias terhadap norma sosial jantina. Sumber: UNDP

 

Sebaliknya, Malaysia menjadi salah satu daripada 11 negara yang mengalami peningkatan dalam bias norma sosial jantina. Jadual di bawah menunjukkan pengurangan sebanyak 1% bagi populasi tanpa bias di Malaysia, manakala GSNI bagi sekurang-kurangnya satu bias meningkat 1%.

Tren GSNI di Malaysia bagi tempoh 2010-2014 dan 2017-2022. Sumber: UNDP

Di Malaysia, dimensi yang lebih banyak menyumbang kepada bias gender terhadap wanita adalah dimensi politik yang menunjukkan peningkatan lebih 10%. Contoh bias gender dalam politik telah berlaku ke atas Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail apabila dicadangkan sebagai Menteri Besar Selangor. Datuk Mohd Hafarizam Harun, Penasihat Undang-Undang UMNO, berkata Wan Azizah tidak sesuai menjadi Menteri Besar kerana dia mengalami kitaran haid. Katanya lagi, Wan Azizah selaku Menteri Besar tidak boleh menghadiri majlis keagamaan jika didatangi haid. 

Tren nilai GSNI di Malaysia mengikut jantina. Sumber: UNDP

Lebih memeranjatkan lagi apabila nilai GSNI di Malaysia dikategorikan mengikut jantina. Data bagi tahun 2017-2022 mendapati GSNI wanita dengan sekurang-kurangnya satu bias lebih tinggi berbanding lelaki, dan menunjukkan peningkatan daripada tempoh 2010-2014. GSNI lelaki menurun dengan peratus lelaki tanpa bias sedikit meningkat, manakala GSNI wanita meningkat. 

 

Wanita di Malaysia mengalami bias gender dalam kadar yang tinggi

Data daripada UNDP dan tinjauan yang dijalankan oleh WAO bersama Vase.ai membuktikan bahawa wanita di Malaysia sememangnya sering berhadapan dengan sikap bias gender. Tinjauan di Malaysia mendapati perkara ini menular di tempat kerja dan mengurangkan peluang wanita untuk mendapatkan pekerjaan. 

Berdasarkan data di dalam GSNI 2023, bias gender lebih teruk di Malaysia bagi tempoh 2017-2022 berbanding 2010-2014 sebelum ini. Menurut UNDP, laporan tersebut memberi amaran bahawa misi untuk mencapai kesamarataan gender di peringkat global menjelang 2030 sudah tersasar. 

Antara polisi tempat kerja yang diharapkan oleh wanita Malaysia adalah fleksibiliti cuti untuk menjaga anak, perlindungan terhadap gangguan seksual, cuti bersalin berbayar lebih panjang, kemudahan penjagaan anak di tempat kerja dan dipertimbangkan untuk menyertai latihan atau mendapat kenaikan pangkat. 


Rujukan:

1. https://www.therakyatpost.com/trpbm/2023/06/15/ada-plan-nak-mengandung-tak-ramai-wanita-tak-puas-hati-sering-alami-diskriminasi-ketika-mohon-kerja/
2. https://wao.org.my/lebih-dari-50-wanita-di-malaysia-mengalami-diskriminasi-gender-di-tempat-kerja/
3. https://www.vase.ai/resources/blogs/voices-of-malaysian-women-on-discrimination-harassment-in-the-workplace-data
4. https://hdr.undp.org/system/files/documents/hdp-document/gsni202303pdf.pdf
5. https://says.com/my/news/wan-azizah-can-t-be-selangor-mb-because-she-has-a-menstrual-cycle

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 11 months ago