Adakah Warga Asing Di Malaysia Banyak Melakukan Jenayah Berbanding Warganegara Malaysia?

Salah
Adakah Warga Asing Di Malaysia Banyak Melakukan Jenayah Berbanding Warganegara Malaysia?

Warga asing di Malaysia sering dikaitkan dengan salah laku atau kes jenayah

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 12/01/2023 - Disunting : 12/01/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Warga Asing Di Malaysia Banyak Melakukan Jenayah Berbanding Warganegara Malaysia?

Isu warga asing sering dimainkan oleh banyak pihak terutamanya mereka yang mempunyai xenophobia, iaitu tidak suka terhadap orang asing. Pada April 2020, Malaysia telah menghalang pendaratan sebuah bot yang membawa 200 orang pelarian Rohingya di Langkawi. Susulan dengan itu, kolumnis Malaysia Kini, Hishamuddin Rais, merasakan bahawa kejadian tersebut telah menunjukkan sifat xenophobia rakyat Malaysia.

Pada tahun 2022 Muhammad Akram, seorang peguam, berkata kerajaan perlu mempertimbangkan supaya warga asing yang melanggar undang-undang atau melakukan kesalahan jenayah boleh diusir melalui tindakan undang-undang. Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata berdasarkan Seksyen 9 Akta Imigresen 1959/63, “tindakan boleh diambil terhadap majikan atau warga asing sekiranya didapati melakukan kesalahan bertentangan dengan perundangan sedia ada”. Malah, warga asing yang ‘tidak dikehendaki’ di Malaysia boleh diusir pulang ke negara asal. Perkara ini menimbulkan persoalan jika warga asing banyak melakukan jenayah berbanding warga tempatan, sehingga membolehkan mereka diusir keluar negara.

 

Statistik warga asing di Malaysia

Jumlah warga asing di Malaysia telah menurun sejak pandemik COVID-19 melanda. Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, terdapat seramai 2.4 juta (7.4% daripada jumlah penduduk Malaysia) warga asing pada tahun 2022 berbanding 2.6 juta (7.9%) pada 2021 dan 2.7 juta (8.3%) pada 2020. Pengurangan 300,000 orang warga asing adalah disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang memaksa mereka untuk pulang ke negara masing-masing. 

Daripada jumlah tersebut, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan 2.1 juta (87.5%) warga asing yang bekerja di Malaysia setakat Jun 2022. Di samping itu, Mustapa berkata pada tahun 2021 terdapat seramai 1.9 juta pekerja asing, manakala jumlah tersebut adalah 2.1 juta (77.8%) bagi tahun 2020. Hal ini membuktikan bahawa majoriti warga asing berhijrah ke Malaysia atas dasar peluang pekerjaan. Tambah Mustapa, dasar Malaysia memerlukan 15% pekerja asing daripada jumlah tenaga kerja dan negara makin menghampiri angka tersebut.

 

Kes jenayah di Malaysia

Kadar jenayah di Malaysia menunjukkan penurunan sejak 2016 hingga 2021. Bagi tahun 2021, jumlah jenayah indeks, iaitu jenayah yang membabitkan kekerasan dan harta benda, adalah  sebanyak 52,974 kes, turun 19.3% berbanding tahun 2020. Berdasarkan data oleh DOSM, jenayah kekerasan turun 13.4%, manakala jenayah harta benda turun 20.8% bagi tahun 2021. Menurut Pejabat Ketua Perangkawan DOSM, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyekat aktiviti sosial dan rentas sempadan daerah serta negeri, menyumbang kepada penurunan kes jenayah indeks. 

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)

 

Kes jenayah oleh warga asing

Data terkini berkenaan kes jenayah yang dilakukan oleh warga asing di Malaysia tidak ditemui. Namun begitu, Kementerian Dalam Negeri (KDN), terdapat sebanyak 42,451 kes jenayah oleh warga asing yang dicatatkan dari tahun 2016 hingga Ogos 2019. Antara kes terbabit adalah kes kecurian (12,647 kes), kes pecah rumah dan curi (11,862 kes) serta pencurian motosikal (4,882 kes). Pecahan kes jenayah mengikut tahun adalah seperti gambar rajah di bawah.

Sumber: Kementerian Dalam Negeri (KDN)

KDN, di dalam laman web Parlimen menyatakan bahawa jenayah indeks oleh warga asing menurun setiap tahun hasil usaha pihak Polis Diraja Malaysia.

Apabila dibandingkan dengan keseluruhan kes jenayah di Malaysia, kes jenayah yang membabitkan warga asing bagi tahun 2016 hingga 2019 adalah sebanyak anggaran 11% daripada jumlah kes. 

Sumber: DOSM dan KDN

 

Kajian ke atas kes jenayah oleh warga asing

Sebuah kajian telah dijalankan oleh World Bank Economic Review terhadap data kes jenayah oleh warga asing di Malaysia bagi tahun 2003 hingga 2010, untuk mengkaji impak imigrasi bagi tujuan ekonomi terhadap jenayah. Pengkaji mendakwa persepsi bahawa imigrasi meningkatkan jenayah adalah sumber penting bagi sentimen tidak gemar terhadap warga asing. 

Hasil kajian mendapati bahawa imigrasi bagi ekonomi sebenarnya mengurangkan kedua-dua jenayah kekerasan dan jenayah harta benda di Malaysia. Tambahan pula, jenayah harta benda berkurang disebabkan imigrasi mengubah keadaan ekonomi bagi penduduk setempat. Warga asing di Malaysia juga dilihat kurang melakukan jenayah kerana rata-rata mereka berhijrah ke Malaysia atas dasar ekonomi dan pekerjaan. Akses terhadap pasaran buruh mengurangkan faedah serta meningkatkan kos kelakuan aktiviti-aktiviti jenayah. 

 

Warga asing di Malaysia tidak melakukan jenayah pada kadar lebih tinggi berbanding orang tempatan

Ternyata bahawa dalam tempoh masa antara 2016 hingga Ogos 2019, hanya kira-kira 11% kes jenayah yang dilakukan oleh warga asing berbanding keseluruhan kes. Walaupun terdapat sedikit peningkatan peratus kes jenayah warga asing berbanding keseluruhan kes bagi tahun 2018, jumlah mutlak kes jenayah yang dilakukan oleh warga asing semakin menurun. World Bank Economic Review turut membuktikan bahawa kedatangan pekerja asing ke Malaysia sebenarnya mengurangkan lagi jenayah, terutamanya bagi jenayah harta benda.


Rujukan:

1. https://www.malaysiakini.com/columns/528816
2. https://malaysiagazette.com/2022/04/14/tegas-tangani-jenayah-warga-asing/
3. https://origin.bharian.com.my/berita/nasional/2022/10/1014588/jumlah-warga-asing-di-malaysia-menurun-dosm
4. https://malaysiagazette.com/2022/07/29/jumlah-penduduk-negara-32-7-juta-tahun-ini/
5. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1033102/jenayah-indeks-malaysia-menurun-193-peratus
6. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lebih-42000-kes-jenayah-melibatkan-warga-asing-direkod-sejak-2016-220154
7. https://documents1.worldbank.org/curated/es/771551568147949497/pdf/How-and-Why-Does-Immigration-Affect-Crime-Evidence-from-Malaysia.pdf

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago