Adakah Yang di-Pertuan Agong Berkuasa Penuh Ke Atas Pembubaran Parlimen?

Benar
Adakah Yang di-Pertuan Agong Berkuasa Penuh Ke Atas Pembubaran Parlimen?

Parlimen ke-14 telah dibubarkan pada 10 Oktober 2022

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 11/10/2022 - Disunting : 11/10/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Yang di-Pertuan Agong Berkuasa Penuh Ke Atas Pembubaran Parlimen?

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober 2022. Sejajar dengan pengumuman tersebut, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran. Parlimen ke-14 sepatutnya akan terbubar selepas 5 tahun dari tarikh pertama persidangan parlimen, iaitu pada 16 Julai 2023. Walau bagaimanapun, pembubaran lebih awal boleh terjadi dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA). 

Ismail Sabri telah bertemu dengan YDPA pada 6 Oktober 2022 bagi sesi pra-Kabinet sebelum mesyuarat Kabinet pada keesokan harinya. Malah, sehari sebelum pengumuman pembubaran Parlimen, Ismail Sabri sekali lagi telah bertemu dengan YDPA. Perjumpaan tersebut menimbulkan tanda tanya bahawa perbincangan tentang pembubaran parlimen diadakan. Persoalannya, adakah pembubaran parlimen hanya perlu mendapat persetujuan YDPA?

 

Pembubaran Parlimen

Walaupun Parlimen terdiri daripada tiga komponen iaitu YDPA, Dewan Negara dan Dewan Rakyat, pembubaran Parlimen sebenarnya hanya merujuk kepada pembubaran Dewan Rakyat. Selain daripada pembubaran akibat tamat tempoh 5 tahun, Dewan Rakyat juga boleh terbubar apabila YDPA memperkenan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen atas sebab kehilangan sokongan ahli dewan atau apabila hendak mengadakan PRU

Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan kuasa YDPA untuk memprorog atau membubarkan Parlimen. Oleh itu, perkenan YDPA wajib didapatkan untuk tujuan pembubaran Parlimen. Pada masa yang sama, YDPA berhak untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen mengikut Perkara 40(2)(b). 

 

Permintaan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri

Menurut Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Muhamad Fathi Yusof, permintaan kepada YDPA untuk membubarkan parlimen bukanlah keputusan individu Perdana Menteri tetapi adalah keputusan Kabinet secara kolektif. Hal ini bermaksud, apabila Ismail Sabri bertemu dengan YDPA untuk meminta perkenan pembubaran Parlimen, perihal pembubaran tersebut sepatutnya telah dibincangkan di dalam mesyuarat Kabinet yang lepas.

Presiden Bersatu dan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah berkata Perdana Menteri perlu mendapatkan persetujuan Kabinet untuk membubarkan Parlimen. Perdana Menteri cuma boleh meminta perkenan YDPA untuk membubarkan Parlimen secara individu sekiranya dia kehilangan sokongan di Dewan Rakyat. 

 

YDPA Mempunyai Kuasa Mutlak Untuk Membubarkan Parlimen

Menurut Perlembagaan Persekutuan, jelas bahawa YDPA mempunyai kuasa untuk membubarkan parlimen lebih awal berbanding tempoh masa 5 tahun yang ditetapkan. Ketika pembubaran diumumkan, Ismail Sabri berkata ia adalah demi mengadakan PRU untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat yang mengatakan kerajaan ketika ini adalah kerajaan yang tidak sah. Dia juga berkata Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk mencadangkan pembubaran Parlimen dan YDPA akan memberi kata putus. Istana Negara telah mengeluarkan sebuah kenyataan media yang mengatakan YDPA memperkenan permintaan Perdana Menteri kerana kecewa dengan perkembangan politik semasa. 


Rujukan:

1. https://www.parlimen.gov.my/yda-maklumat-umum.html?uweb=yg&
2. https://www.utusan.com.my/nasional/2022/10/ismail-sabri-tiba-di-istana-negara/
3. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pm-selesai-menghadap-agong-adakah-parlimen-bubar-dalam-tempoh-48-jam-ini-385084
4. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pembubaran-parlimen-kuasa-budi-bicara-yang-dipertuan-agong-383749
5. https://legal.usm.my/v3/phocadownload/laws/Perlembagaan_Persekutuan.pdf
6. https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/06/961632/kuasa-bubar-parlimen-ditentukan-kabinet
7. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/10/04/hak-pm-cadang-bubar-parlimen-kata-ismail/
8. https://umno-online.my/2022/10/10/pm-umum-parlimen-bubar-hari-ini-bagi-beri-laluan-pru15/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago