Adakah Zakat Fitrah Hanya Boleh Dibayar Oleh Pemberi Nafkah?

Salah
Adakah Zakat Fitrah Hanya Boleh Dibayar Oleh Pemberi Nafkah?

Setiap umat Islam yang mampu wajib membuat pembayaran zakat fitrah

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 19/04/2023 - Disunting : 19/04/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Zakat Fitrah Hanya Boleh Dibayar Oleh Pemberi Nafkah?

Bermula dari bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri, rata-rata umat Islam akan mula membuat bayaran zakat fitrah. Namun begitu, tahukah anda siapakah yang bertanggungjawab ke atas pembayaran zakat fitrah? Adakah zakat fitrah wajib dilakukan oleh individu untuk dirinya sendiri atau dilakukan oleh ketua keluarga? Mari kita teliti lebih lanjut mengenai isu ini. 

 

Kewajiban mengeluarkan zakat fitrah

Umat Islam secara umumnya wajib membuat bayaran zakat fitrah setiap tahun Islam. Sejarah pembayaran zakat fitrah bermula sejak tahun kedua Hijrah apabila puasa di bulan Ramadan telah diwajibkan. Ia bertujuan untuk mensucikan diri sendiri di samping memberi makanan dan mencukupkan keperluan orang miskin bagi Hari Raya Aidilfitri. 

Zakat fitrah adalah wajib ke atas individu beragama Islam, mampu mengeluarkan zakat fitrah dan apabila telah masuk waktu membayar zakat. Ia adalah ibadah badaniyyah iaitu ibadah yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap individu beragama Islam. Menurut Imam Syihabuddin al-Ramli (al-Ramli al-Kabir) di dalam catatannya:

وَقَالَ الْبُلْقِينِيُّ لِأَنَّ الزَّكَاةَ عِبَادَةٌ بَدَنِيَّةٌ

Maksudnya: “al-Bulqini berkata, ini kerana zakat (fitrah) merupakan ibadah badaniyyah”

 

Tanggungjawab mengeluarkan zakat fitrah

Walaupun zakat fitrah merupakan ibadah badaniyyah dan diwajibkan ke atas seluruh orang Islam yang mampu, zakat fitrah afdal dikeluarkan oleh individu yang wajib memberi nafkah, seperti suami ke atas isteri, bapa ke atas anak-anak atau datuk ke atas cucu yang dijaga dan dibesarkannya. 

 

Ayah ke atas anak

Seorang ayah wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi anaknya selagi mana anaknya masih di bawah tanggungannya. Bagi anak perempuan yang masih belum berkahwin, dia masih di bawah tanggungan bapanya dan zakat fitrah wajib dikeluarkan oleh bapa bagi pihaknya. Kewajiban ke atas bapanya untuk mengeluarkan zakat fitrahnya akan beralih kepada suaminya setelah dia berkahwin. 

Pada masa yang sama, sekiranya seorang anak telah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri tidak kira umur, bapa tidak lagi boleh membayar zakat fitrah untuknya melainkan setelah mendapat keizinannya. 

Menurut Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Asna al-Matalib:

أَمَّا مَنْ ‌لَا ‌تَجِبُ عَلَيْهِ نَفَقَتُهُ فَلَا تَجِبُ عَلَيْهِ فِطْرَتُهُ

Maksudnya: “Bagi sesiapa yang tidak diwajibkan nafkah ke atasnya maka tidak wajib zakat fitrah untuk anaknya itu”

Malah, seorang anak boleh meminta izin jika mahu mengeluarkan zakat fitrah bagi pihak ibu bapanya. Selain itu, jika seorang anak perempuan yang bekerja membayar zakatnya sendiri dan turut dibayar oleh bapanya, ia dianggap sebagai sedekah dan anak perempuan akan mendapat pahala. 

 

Suami ke atas isteri

Memandangkan seorang suami menanggung nafkah isteri, maka wajib baginya untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi isterinya. Syeikh Alawi Al-Maliki menulis di dalam kitab Ibanatul Ahkam Syarah Bulughul Maram:

قال الجمهور تجب الزكاة على الزوج لزوجته إلحاقا بالنفقة

Maksudnya: “Telah berkata majoriti ulama wajib zakat fitrah isteri itu atas suami kerana dihubungkan dengan kewajipan nafaqah.”

Namun begitu, perkara ini juga tertakluk kepada kemampuan suami. Jika suami hanya mempunyai lebihan perbelanjaan dalam kadar sedikit, dia perlu mengutamakan dirinya dahulu sebelum isteri dan anak-anak. Malah, walaupun isteri mampu mengeluarkan zakat fitrah di saat suaminya tidak mampu, zakat fitrah tidak diwajibkan ke atas isteri. 

Pasa masa yang sama, sunat bagi isteri mengeluarkan zakat fitrah ke atas dirinya sendiri setelah mendapat keizinan daripada suaminya. Jika isteri berkemampuan, dia boleh menyumbang wang kepada suami untuk membantunya membuat pembayaran zakat fitrah. 

 

Isteri kematian suami/ ibu tunggal 

Bagi isteri kematian suami dan mencukupi syarat wajib membayar zakat fitrah, wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya sendiri. Sekiranya terdapat abang atau saudaranya yang ingin membayar zakat fitrah baginya, perlulah mendapatkan keizinannya dahulu. 

Jika isteri tadi mempunyai anak dan telah menjadi ibu tunggal setelah suaminya meninggal dunia, zakat fitrah anak-anak perlu dikeluarkan oleh ibu. Hal ini adalah kerana anak-anaknya telah menjadi tanggungan buatnya. 

Perkara ini telah diperjelaskan oleh Imam Ibnu Qudamah:

“Diwajibkan ke atas ibu untuk menafkahi anaknya jika mereka tidak berbapa. Inilah yang menjadi pandangan Imam Abu Hanifah dan as-Syafiie (serta Imam Ahmad)….(Begitu juga) jika bapa susah/ miskin, nafkah mereka wajib ditaggung ibu” (al-Mughni, 8/212)

 

Bayaran zakat fitrah oleh ajnabi

Selain daripada pembayaran zakat fitrah oleh pemberi nafkah, zakat fitrah juga boleh dikeluarkan oleh atau untuk sesiapa (ajnabi) sekiranya mendapat keizinan individu terbabit. Tanpa kebenaran, zakat fitrah tadi menjadi tidak sah memandangkan ia adalah suatu ibadah badaniyyah.

Walaupun begitu, seseorang digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah bagi dirinya sendiri dan tanggungannya dahulu. Ia adalah seperti saranan Rasulullah SAW:

خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى، وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Maksudnya: “Sebaik-baik sedekah adalah selepas mencukupi keperluan, dan mulailah daripada orang-orang yang berada dibawah tanggunganmu” (Riwayat Imam Bukhari)

 

Zakat fitrah boleh dibayar oleh diri sendiri, pemberi nafkah atau ajnabi sekalipun

Memandangkan zakat fitrah adalah ibadah badaniyyah, ia wajib dikeluarkan oleh individu masing-masing. Namun begitu, ia juga mengikut keadaan individu tersebut. Jika dia di bawah tanggungan pemberi nafkah, lebih afdal jika pemberi nafkah mengeluarkan zakat fitrah baginya. 

Pada masa yang sama, individu yang telah berkerja dan mampu, walaupun di bawah tanggungan pemberi nafkah, boleh mengeluarkan nafkah untuk dirinya sendiri. Di samping itu, individu juga boleh mengeluarkan zakat fitrah untuk seseorang tanpa sebarang pertalian keluarga dengan keizinannya.


Rujukan:

1. https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-fitrah/
2. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/benarkah-zakat-fitrah-sunat-dibayar-sebelum-solat-sunat-aidilfitri-di-pagi-raya/
3. https://zakatfitrah.my/soalan-lazim/siapakah-yang-wajib-membayar-zakat-fitrah/
4. Youtube Ustaz Azhar Idrus Official
5. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4956-irsyad-al-fatwa-siri-ke-607-adakah-bapa-wajib-membayar-zakat-fitrah-untuk-anak-yang-masih-bersekolah-tetapi-mempunyai-sumber-pendapatan-sendiri
6. https://siraplimau.com/perempuan-bayar-zakat/
7. https://akuislam.com/blog/fiqh/zakat-fitrah-isteri/
8. https://sinarplus.sinarharian.com.my/agama/suami-menganggur-perlu-ke-bayar-zakat-fitrah/
9. https://siakapkeli.my/2023/04/17/apa-hukum-isteri-bayarkan-zakat-fitrah-untuk-suami-yang-tak-bekerja-ini-penjelasan-mufti-selangor/
10. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-khas-ramadhan-cat/4800-irsyad-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-185-tanggung-jawab-ibu-tunggal-membayar-zakat-fitrah
11. https://ilmudanulamak.blogspot.com/2017/06/anak-anak-yang-kematian-bapa-adakah-ibu.html
12. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/3452-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-149-hukum-tolong-membayar-zakat-fitrah-untuk-tunang

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago