Dalam membesarkan bayi, terdapat banyak peralatan yang boleh digunakan untuk memudahkan urusan menjaga mereka.
Salah satu peralatan yang banyak digunakan ialah walker bayi. Namun begitu, ia dikatakan dapat membawa bahaya kepada bayi malah sehingga diharamkan di Kanada.
Ibu bapa guna walker bayi agar lebih mudah
Walker bayi digunakan bagi bayi yang masih belum boleh berjalan. Mereka akan diletakkan di dalam walker tersebut dan menggerakkan diri dengan menolak kaki pada lantai. Tempat duduk walker kebiasaannya akan dikelilingi oleh permainan dan ruang kosong seperti meja di bahagian hadapan.
Untuk info, walker bayi berbeza dengan push walker yang selalunya digunakan oleh bayi yang sedang belajar atau sudah boleh berjalan.
Baby walker dikatakan bagus untuk mengawal pergerakan anak-anak kerana mereka terkongkong di dalam peralatan tersebut. Namun begitu, ia boleh mendatangkan bahaya jika kanak-kanak tidak diperhatikan oleh ibu bapa atau penjaga.
Banyak bayi cedera apabila terjatuh tangga ketika dalam walker
Berdasarkan kajian dalam jurnal Pediatrics, lebih 230,000 bayi kurang 15 bulan diberi rawatan di jabatan kecemasan bagi kecederaan membabitkan penggunaan walker di Amerika Syarikat (AS) antara 1990 dan 2014. Kebanyakan kecederaan terjadi apabila kanak-kanak terjatuh tangga ketika di dalam walker dan menyebabkan kecederaan kepala atau leher.
Antara 1990 dan 2003, kecederaan membabitkan walker bayi di AS telah berkurangan sebanyak 84.5% setelah piawaian keselamatan sukarela ditetapkan. Pengurangan ini juga berlaku apabila keluarga memilih ‘stander’ bayi yang tidak bergerak berbanding walker.
Pada tahun 2010, standard keselamatan persekutuan mandatori telah ditetapkan yang merangkumi langkah untuk mengelak walker bayi terjatuh tangga atau terbalik, serta memastikan bayi yang menggunakannya mendapat sokongan yang baik dan tidak tersekat.
Undang-undang itu juga termasuk brek (parking brake) agar walker tidak banyak bergerak serta menetapkan roda standard untuk keselamatan walker.
Kami tidak menemui statistik rasmi bagi kecederaan melibatkan penggunaan walker bayi di Malaysia. Namun satu jurnal artikel pada tahun 1995 mendapati sebanyak empat daripada kes melecur kanak-kanak di Hospital Universiti Kuala Lumpur (sekarang Pusat Perubatan Universiti Malaya) disebabkan oleh penggunaan walker bayi. Dua kes membabitkan bayi menarik cerek atau bekas berisi air panas, manakala dua lagi bayi telah menarik periuk nasi.
Bayi mudah terdedah pada bahaya apabila menggunakan walker
Menurut pakar pediatrik Leah Alexander, terdapat beberapa bahaya khusus yang membimbangkan berkenaan penggunaan walker bayi dengan roda.
Seperti yang dinyatakan di atas, terjatuh tangga merupakan sebab utama bagi kecederaan melibatkan walker bayi di AS yang merangkumi 74% daripada keseluruh kes 230,600 dicatatkan. Perlu diingat juga bayi boleh terdedah kepada bahaya lain bagi rumah yang tidak mempunyai tangga, seperti keluar ke jalan raya apabila pintu dibiarkan buka atau terjatuh ke dalam kolam ikan atau kolam mandi jika ada.
Di samping itu, kanak-kanak dapat mencapai benda berbahaya yang diletakkan lebih tinggi seperti pisau dan cerek air yang diletakkan di atas meja seperti kes dilaporkan di Malaysia.
Alexander berkata penggunaan walker bayi juga boleh menyebabkan mereka bergerak terlalu laju. Keadaan ini dapat menyukarkan ibu bapa atau penjaga mengejar mereka untuk mengelak terjerumus dalam bahaya.
Timbul dakwaan walker bayi ganggu perkembangan
Selain itu, Alexander turut menjelaskan bahawa penggunaan walker bayi boleh menyebabkan kaki bayi tidak berkembang dengan betul. Jelasnya, kedudukan bayi dalam walker boleh meletakkan tekanan pada sendi, seterusnya mewujudkan corak berjalan yang tidak normal dan memberi kesan kepada perkembangan otot.
Namun begitu, daripada banyak kertas kajian yang diterbitkan, hanya sembilan artikel yang memenuhi kriteria ditetapkan. Kajian klinikal menunjukkan tiada sebarang kelewatan perkembangan bayi yang diakibatkan oleh penggunaan walker bayi.
Penggunaan walker bayi diharamkan di Kanada
Carian kami mendapati Kanada menjadi satu-satunya negara yang mengharamkan penjualan walker bayi sejak April 2004. Sebelum itu, terdapat larangan sukarela (voluntary ban) yang ditetapkan sejak 1989.
Pengharaman sedemikian dilakukan apabila Health Canada’s Consumer Product Safety Bureau menjalankan siasatan ke atas beberapa laporan kecederaan kepala serius kerana terjatuh ketika menggunakan walker.
Pengharaman ini melibatkan import atau mengiklankan penjualan walker bayi di Kanada. Malah, ia juga tidak boleh dijual di jualan garaj atau pasar lambak walaupun secara ‘preloved’.
American Academy of Pediatrics (AAP) di AS juga telah meminta agar walker bayi diharamkan di negara itu.
Pengguna walker bayi sememangnya membahayakan dan telah diharamkan di Kanada
Walaupun walker bayi dilihat berguna, namun ia sebenarnya dapat mendatangkan banyak bahaya kepada anak-anak, terutamanya jika tidak diperhatikan oleh ibu bapa atau penjaga. Malah, Kanada telah mengharamkan penggunaan walker bayi secara sukarela sejak 1989 lagi.
Untuk memudahkan urusan ibu bapa atau penjaga, bayi sebaliknya boleh diletakkan di dalam playpen atau ruangan yang ditutup dengan pagar untuk menghalang mereka daripada bergerak ke kawasan berbahaya. Pastikan untuk ‘baby proof’ kawasan tersebut sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.