Benarkah Banyak Kes Buli Siber Berlaku di Malaysia?

Benar
Benarkah Banyak Kes Buli Siber Berlaku di Malaysia?

Beberapa kejadian bunuh diri akibat buli siber telah berlaku di Malaysia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 07/09/2022 - Disunting : 07/09/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Banyak Kes Buli Siber Berlaku di Malaysia?

Pada awal bulan lepas, kita dikejutkan dengan kematian seorang pengguna TikTok, Sashikala Nadarajah yang telah mengambil nyawanya sendiri selepas menghadapi kecaman di TikTok. Dia baru sahaja aktif dalam media sosial TikTok selama 8 bulan sebelum kejadian itu berlaku. Mangsa merupakan seorang penghidap kemurungan dan keadaannya menjadi lebih teruk selepas kejadian berkenaan. Sebelum ini, R.Thivya Nayagi turut menjadi mangsa buli siber apabila difitnah dan dikecam melalui sebuah video yang dikongsi di media sosial. Dia telah mengambil nyawanya sendiri pada 19 Mei 2020.  

Tidak dapat disangkal lagi bahawa buli siber bukan sahaja mengganggu emosi seseorang, tetapi juga boleh mendatangkan maut. Namun, adakah kedua-dua kes ini kes terpencil, atau sememangnya banyak kejadian buli siber berlaku di Malaysia?

 

Buli siber di Malaysia 

United Nations Children’s Fund (UNICEF) melaporkan bahawa Malaysia berada di kedudukan kedua di Asia bagi buli siber dalam kalangan golongan muda. Sebuah tinjauan yang dijalankan oleh UNICEF melalui U Report pada 2019 melaporkan bahawa tiga daripada 10 remaja di Malaysia pernah menjadi mangsa buli siber. Malah, 1 daripada 5 peserta tinjauan memilih untuk tidak hadir ke sekolah akibat mengalami buli siber. Rata-rata mereka menyatakan bahawa keganasan dalam talian sering berlaku melalui media sosial, terutamanya Facebook (TikTok masih belum popular di Malaysia ketika itu). Mengejutkan lagi, 8% daripada 6,441 peserta tinjauan mengaku bahawa mereka pernah mengganggu dan membuli individu lain melalui platform digital. 

Kredit gambar: Porapak Apichodilok/ Pexels

 

Dari 2020 hingga Julai 2021, sebanyak 6,598 aduan awam berkenaan gangguan dalam talian telah diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Pada masa yang sama, seorang pakar jenayah, Shankar Durairaja berkata akses kepada telefon pintar dan komputer juga telah meningkat hampir dua kali ganda pada tahun 2020. Penggunaan media sosial seterusnya meningkat dan menjadi tempat untuk melakukan buli siber dan tingkah laku toksik. 

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) mendedahkan lebih kurang 500 panggilan mengenai buli siber telah diterima setiap bulan, terutamanya daripada golongan muda. Perkara ini seterusnya membuatkan pihak MMHA merasa betapa pentingnya untuk mewujudkan sebuah talian khas bagi mengendalikan kes buli siber ini. Berdasarkan sebuah tinjauan oleh UCSI Poll Research Centre, lebih separuh peserta tinjuan bersetuju bahawa buli siber adalah suatu masalah sosial. 45% daripada mereka berasa buli siber bukan perkara yang biasa dalam dunia dalam talian dan ia boleh dihentikan. 

 

Malaysia mempunyai kes buli siber yang tinggi

Banyak aduan mengenai kes buli siber telah dilakukan oleh individu di Malaysia. Buli siber tiada bezanya dengan ‘buli tradisional’, kedua-duanya boleh membawa maut kepada mangsa. Menurut Cyber Bullying Research Centre, kebanyakan kes bunuh diri berprofil tinggi adalah berpunca daripada buli siber. Bagi kes buli siber di Malaysia, pemangsa boleh dikenakan tindakan berdasarkan Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. Walau bagaimanapun, penguatkuasaannya setakat ini belum dijalankan secara sepenuhnya. KKMM juga sedang menyediakan sebuah kertas kabinet khas berkenaan undang-undang anti buli siber. 

 


Rujukan:

1. https://www.thesundaily.my/home/cyberbullying-proved-too-much-for-tiktoker-with-history-of-depression-YA9561670
2. https://www.nst.com.my/news/nation/2020/05/594223/cyberbullying-victim-found-dead-after-viral-tik-tok-video
3. https://malaysia.ureport.in/opinion/3444/
4. https://www.utusan.com.my/rencana/2021/08/buli-siber-sudah-menular-dalam-masyarakat/
5. https://www.nst.com.my/news/nation/2019/09/519070/1-5-young-people-skip-school-because-cyberbullying-unicef-poll
6. https://www.sinarharian.com.my/article/181984/berita/nasional/500-panggilan-kes-buli-siber-diterima-setiap-bulan-mmha
7. https://www.ucsipoll.org.my/poll-finding/545-agree-cyberbullying-social-issue
8. https://www.thesundaily.my/local/p5-lead-jan-19-cyber-bullying-BC8774131
9. https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/akta588bm.pdf
10. https://www.mcmc.gov.my/ms/media/press-clippings/kkmm-preparing-cabinet-paper-on-anti-cyberbullying

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago