Benarkah Bayi Baru Lahir Bawah Enam Bulan Tidak Boleh Minum Air Kosong?

Benar
Benarkah Bayi Baru Lahir Bawah Enam Bulan Tidak Boleh Minum Air Kosong?

Bayi dikatakan tidak boleh meminum air masak sebelum mencecah umur enam bulan dan hanya bergantung kepada susu

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 08/09/2023 - Disunting : 08/09/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Bayi Baru Lahir Bawah Enam Bulan Tidak Boleh Minum Air Kosong?

Air merupakan komponen yang penting bagi hidupan termasuklah manusia. Ia merupakan komposisi utama dalam tubuh badan manusia, iaitu sekitar 60% bagi orang dewasa dan lebih tinggi bagi kanak-kanak. Bayi baru lahir pula kebiasaannya mempunyai sekitar 78% air di dalam tubuh badan. 

Apabila seseorang berasa dahaga, ia bermakna badan memberi isyarat kepada otak supaya meminum air. Namun begitu, bagaimana pula dengan bayi yang baru dilahirkan? Hantaran kali ini akan meneliti perkara ini secara mendalam.

 

Susu badan dan susu formula

Bayi yang baru dilahirkan hanya boleh diberikan susu sama ada susu badan atau formula sehingga berumur enam bulan. Susu mempunyai nutrisi dan kadar hidrasi yang mencukupi bagi bayi. 

Selepas enam bulan, bayi boleh diberi makanan pejal dan air kosong, tetapi susu masih merupakan cecair yang lebih penting berbanding air. Antara enam hingga 12 bulan, bayi hanya memerlukan antara 120 hingga 235 mililiter air kosong. Memberi air kosong secara berlebihan kepada bayi boleh mendedahkannya kepada risiko keracunan air.

Susu badan diberi secara terus kepada bayi dalam bentuk semula jadinya. Sebaliknya, bagi susu formula, ibu bapa harus membancuhnya mengikut sukatan yang ditetapkan. Membancuh susu formula dengan air terlalu sikit boleh menyebabkan masalah sembelit atau dehidrasi, tetapi jika terlalu banyak air pula bayi akan berisiko mengalami malnutrisi atau keracunan air. 

Susu formula perlu dibancuh dengan sukatan yang betul. Kredit gambar: Lucy Wolski/ Unsplash

Susu badan dan formula mengandungi jumlah kalori tinggi dan akan kekal di dalam badan buat tempoh yang lebih lama. Perkara ini mengelak buah pinggang daripada perlu bekerja terlalu keras. Ia juga berkesan dalam memberikan hidrasi yang diperlukan oleh bayi tanpa meminum air kosong.

Ketika cuaca panas, penting untuk lebihkan penyusuan bagi bayi dan dilarang untuk memberikan air kecuali jika disarankan oleh doktor kesihatan. Bayi mendapat hidrasi yang secukupnya jika mereka menghasilkan enam hingga lapan lampin basah.

 

Perut bayi kecil

Salah satu sebab air kosong tidak boleh diberi kepada bayi kurang enam bulan adalah kerana perutnya yang kecil. Perut bayi yang baru dilahirkan hanya boleh menampung 5 hingga 10 mililiter susu iaitu bersamaan satu hingga dua sudu teh. 

Oleh itu, sudah pasti perut yang kecil itu perlu diisi dengan susu yang mempunyai banyak khasiat berbanding air kosong untuk perkembangan dan tumbesaran bayi. Penting untuk ingat juga, walaupun perut bayi kecil tetapi susu akan segera dihadam menyebabkan bayi perlu sentiasa disusukan setiap dua hingga empat jam.

Perut bayi akan membesar dalam tempoh enam bulan pertama secara perlahan-lahan. Menjelang satu bulan, perut bayi boleh menerima susu dari 80 hingga 150 miliiter dan kapasiti ini akan meningkat ke lebih 200 mililiter pada umur enam bulan.

 

Keracunan air

Seperti yang telah dinyatakan, bayi yang belum mencapai umur enam bulan akan berisiko mengalami keracunan air jika diberikan air masak. Sebenarnya, keracunan air boleh dialami oleh sesiapa sahaja yang mengambil air dalam jumlah yang terlalu banyak. Seorang dewasa berisiko terhadap keracunan air jika meminum beberapa liter air dalam tempoh masa singkat.

Apabila seseorang meminum air terlalu banyak, ia akan menyebabkan buah pinggang sukar untuk menapisnya dan lebihan air akan masuk ke dalam salur darah. Keadaan ini menyebabkan cecair dalam salur darah menjadi cair sekaligus mengurangkan kepekatan elektrolit penting seperti natrium (sodium). Air yang terlalu banyak akan mendedahkan seseorang kepada risiko hiponatremia iaitu kandungan garam dalam darah terlalu rendah, serta boleh mengakibatkan pelbagai simptom seperti tidak bertenaga, lemah otot dan sawan.

Bagi bayi pula, keadaan ini adalah lebih berbahaya memandangkan buah pinggang mereka belum cukup berkembang untuk mengendali air dalam jumlah yang banyak dalam satu-satu masa. Keadaan hiponatremia dalam bayi boleh menyebabkan bengkak otak (serebral edema) malah kematian. 

Jika terberi bayi air, antara simptom-simptom keracunan air yang harus diperhatikan pada bayi adalah:

  • Kebingungan
  • Mengantuk
  • Kejang atau sentak otot
  • Loya dan muntah
  • Sukar bernafas
  • Kelihatan lemah
  • Tangisan yang tidak dapat ditenangkan
  • Sawan

 

Bayi berusia bawah enam bulan tidak boleh diberi minum air masak

Walaupun air penting bagi mengekalkan hidrasi seseorang, bayi kurang daripada enam bulan tidak sepatutnya diberi air masak kecuali dengan saranan doktor kesihatan. Bayi hanya boleh diberi susu badan atau susu formula dibancuh berdasarkan sukatan yang tepat. Bagi bayi antara enam hingga 12 bulan, mereka boleh diberi minum air dalam kadar yang berpatutan tetapi masih perlu diberi lebih susu.

Bukan sahaja air masak, bayi juga tidak boleh diberi minuman lain seperti jus buah dan minuman ringan. Bagi kanak-kanak, minuman yang paling penting adalah air masak dan perlu dilebihkan berbanding minuman manis lain.


Rujukan:

1. https://www.usgs.gov/special-topics/water-science-school/science/water-you-water-and-human-body
2. https://www.webmd.com/parenting/baby/what-you-need-to-know-water-infants
3. https://www.healthline.com/health/baby/why-cant-babies-have-water
4. https://www.pregnancybirthbaby.org.au/when-can-babies-drink-water
5. https://www.cdc.gov/nutrition/infantandtoddlernutrition/breastfeeding/how-much-and-how-often.html
6. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/hyponatremia/symptoms-causes/syc-20373711

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 8 months ago