Benarkah Bayi Baru Lahir Seeloknya Tidak Didedahkan Kepada Haiwan Peliharaan?

Salah
Benarkah Bayi Baru Lahir Seeloknya Tidak Didedahkan Kepada Haiwan Peliharaan?

Orang ramai beranggapan bahawa kanak-kanak, terutamanya bayi baru lahir, tidak boleh berada berhampiran haiwan peliharaan kerana boleh dijangkiti kuman

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 15/03/2024 - Disunting : 15/03/2024

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Bayi Baru Lahir Seeloknya Tidak Didedahkan Kepada Haiwan Peliharaan?

Satu hantaran di laman X menimbulkan persoalan jika bayi baru lahir ataupun kanak-kanak tidak seharusnya didedahkan kepada haiwan peliharaan. Di dalam hantaran tersebut, seorang individu memaklumkan bahawa dia terpaksa tidur berasingan dengan kucing kesayangannya kerana akan melahirkan cahaya mata tidak lama lagi.

Orang ramai sering beranggapan bahawa binatang, termasuk haiwan peliharaan, membawa banyak penyakit serta parasit yang boleh menjangkiti bayi dengan sistem imun yang masih belum berkembang sepenuhnya. Persoalannya, adakah perkara ini benar? 

 

Jangkitan kuman pada kanak-kanak

Kanak-kanak sememangnya suka memasukkan bendasing dan tangan ke dalam mulut mereka. Malah, sesetengah ibu bapa mungkin terlepas pandang dan jarang mencuci tangan anak-anak, menyebabkan banyak kuman terkumpul padanya.

Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), kanak-kanak kurang lima tahun lebih senang dijangkiti kuman yang dibawa haiwan kerana mereka mungkin tersentuh permukaan yang tercemar dengan najis haiwan. 

 

Penyakit yang dibawa haiwan

Kuman daripada haiwan boleh merebak kepada manusia menerusi cakaran dan gigitan walaupun sedikit. Jika kawasan luka dijangkiti kuman, bakteria berbahaya boleh dihantar ke bahagian tubuh badan lain. Kawasan luka lebih mudah dijangkiti kuman jika cakaran atau gigitan menembusi kulit.

Perkara ini termasuklah cakaran atau gigitan daripada haiwan peliharaan. Sebagai contoh, cakaran kucing termasuk anak kucing boleh menyebabkan ‘penyakit cakar kucing’. Menurut Hello Doktor, 80% kes penyakit ini berlaku terhadap individu berusia 21 tahun ke bawah, dengan majoritinya berumur antara 3 dan 12 tahun. 

 

Kesan kanak-kanak didedahkan kepada haiwan

Beberapa kajian telah dijalankan bagi mengenal pasti kesan kanak-kanak yang terdedah kepada haiwan di rumah.

Hopkins Medicine menerangkan bahawa kanak-kanak yang membesar di rumah yang tercemar dengan bulu tikus, bulu kucing dan najis lipas pada tahun pertama hanya berisiko rendah mengalami nafas berdehit (wheezing) pada umur tiga tahun berbanding mereka yang tidak terdedah. Kesan perlindungan ini berganda apabila kanak-kanak terdedah dengan ketiga-tiga alergen tersebut berbanding hanya satu atau dua.

Kajian itu menegaskan bahawa kanak-kanak yang tidak terdedah mengalami masalah berdehit tiga kali ganda (51%) berbanding yang terdedah dengan ketiga-tiga alergen pada tahun pertama (17%). Malah, didapati juga bahawa kanak-kanak yang membesar dalam rumah dengan pelbagai jenis bakteria kurang berisiko menghidapi alahan persekitaran dan berdehit pada usia tiga tahun.

Berdasarkan kepada Healthline, satu kajian di Finland mendapati bayi yang membesar dengan haiwan peliharaan mempunyai 44% kurang kebarangkalian mengalami jangkitan kuman di telinga dan 29% kurang menerima antibiotik berbanding bayi tanpa haiwan peliharaan di rumah. 

Malah, kanak-kanak yang hidup dengan anjing adalah 31% lebih sihat dalam tahun pertama, dan dengan kucing 6%, berbanding mereka tanpa haiwan peliharaan.

 

Kesan pendedahan terhadap alahan makanan

Satu kajian lain mendapati bahawa kewujudan anjing atau kucing di rumah ketika seorang wanita sedang hamil akan menghasilkan kadar mikrob perut Ruminococcus dan Oscillospira lebih tinggi dalam bayi setelah dilahirkan. Ruminococcus dikaitkan dengan kebarangkalian rendah menghidapi masalah atopi yang termasuk rinitis alahan, dermatitis atopik dan alahan makanan, manakala Oscillospira dengan kebarangkalian rendah obesiti. 

Malah, perkara ini disokong oleh dapatan kajian bahawa bayi yang tinggal bersama-sama anjing mempunyai 90% kurang kebarangkalian mengalami alahan makanan. Bayi yang tinggal dengan sekurang-kurangnya dua ekor anjing pula tidak mengalami masalah alahan makanan.

Di Jepun, kajian ke atas lebih 65,000 kanak-kanak membuktikan bahawa mereka yang terdedah kepada kucing atau anjing yang duduk di dalam rumah (indoor dogs) mempunyai 13% hingga 16% risiko lebih rendah mengalami sebarang alahan makanan berbanding mereka yang tidak mempunyai haiwan peliharaan.

Kanak-kanak yang terdedah kepada kucing lebih kurang berkemungkinan mengalami alahan terhadap telur, gandum dan kacang soya, manakala dengan anjing kurang risiko mendapat alahan telur, susu dan kacang. Namun begitu, mereka yang terdedah kepada hamster sewaktu tempoh perkembangan janin dikaitkan dengan risiko dua kali ganda alahan kacang. Penyelidik merasakan perkara ini berlaku kerana kacang yang diberi kepada hamster menyebabkan kanak-kanak menjadi sensitif.

 

Haiwan peliharaan bagus untuk perkembangan kanak-kanak

Di samping itu, kajian turut meneliti hubungan antara perkembangan kanak-kanak pada usia 12 bulan dengan pemilikan kucing atau anjing. Kanak-kanak yang memelihara anjing menunjukkan peratus lulus lebih tinggi dalam kelima-lima domain komunikasi, motor kasar, motor halus, penyelesaian masalah dan peribadi-sosial, berbanding mereka tanpa anjing. Dapatan ini dilihat boleh mengurangkan risiko kelewatan perkembangan kanak-kanak.

Menurut BBC, dua kajian berbeza berkenaan kognitif mendapati kanak-kanak melakukan kurang kesalahan dalam ujian pengkategorian objek dan memerlukan kurang bantuan dalam ujian memori apabila berada dalam satu bilik bersama seekor anjing. Perkara ini menyangkal tanggapan bahawa keberadaan anjing akan mengganggu fokus kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, memelihara haiwan dapat dikaitkan dengan kurang masalah dengan rakan sebaya dan lebih banyak tingkah laku prososial seperti membantu dan berkongsi dengan seseorang. Ini dipercayai kerana haiwan peliharaan dapat melindungi kanak-kanak daripada mengalami masalah sosio-emosi.

Pendek kata, tanggapan bahawa bayi baru lahir dengan sistem imun yang belum berkembang lebih berisiko dijangkiti kuman daripada haiwan peliharaan adalah salah sama sekali. Sebaliknya, kajian-kajian di atas membuktikan bahawa ia bukan sahaja bagus untuk kesihatan, tetapi juga perkembangan jika kanak-kanak didedahkan kepada haiwan peliharaan sejak usia muda.

 

Jaga anak ketika berhampiran haiwan peliharaan

Jika anda mempunyai haiwan peliharaan, pastikan sentiasa memerhatikan kanak-kanak ketika berhampiran mereka. CDC menggariskan beberapa perkara seperti berikut:

  • Jangan biarkan kanak-kanak mencium haiwan atau memasukkan tangan atau barang lain di dalam mulut setelah menyentuh haiwan.
  • Sentiasa bersihkan tangan kanak-kanak dengan air dan sabun setelah menyentuh, memberi makan atau menjaga haiwan, atau membersihkan tempat tinggal mereka. Orang dewasa harus mengawasi pembersihan tangan bagi kanak-kanak yang masih kecil.
  • Bagi wanita, basuh tangan sebelum menyusukan bayi atau menyiapkan botol susu.
  • Jauhkan kanak-kanak daripada haiwan ketika mereka sedang makan untuk mengelak daripada digigit atau kecederaan lain.

Di samping itu, CDC juga memberi saranan agar kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah dijauhkan daripada haiwan berikut:

  • Reptilia (cicak, ular, penyu)
  • Amfibia (katak, kodok, newt, salamander)
  • Unggas yang dipelihara, termasuk anak ayam dan anak itik
  • Roden (tikus, hamster, gerbil, tikus belanda)

Malah, kanak-kanak di bawah umur lima tahun harus diawasi sepanjang masa ketika melawat ke kawasan yang mempunyai atau didiami haiwan.


Rujukan:

1. https://www.cdc.gov/healthypets/specific-groups/high-risk/children.html
2. https://hellodoktor.com/berjangkit/jangkitan-lain/penyakit-cakar-kucing/
3. https://www.hopkinsmedicine.org/news/media/releases/newborns_exposed_to_dirt_dander_and_germs_may_have_lower_allergy_and_asthma_risk
4. https://healthland.time.com/2012/07/09/study-why-dogs-and-cats-make-babies-healthier/
5. https://microbiomejournal.biomedcentral.com/articles/10.1186/s40168-017-0254-x
6. https://onlinelibrary.wiley.com/doi/abs/10.1111/all.13868
7. https://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0282725
8. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6981655/
9. https://www.tandfonline.com/doi/abs/10.2752/175303710X12750451258896
10. https://www.tandfonline.com/doi/abs/10.2752/175303710X12682332910051
11. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/32093933/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 month ago