Baru-baru ini telah tular sebuah ciapan Twitter berkenaan haiwan yang boleh dimakan dan haram dimakan mengikut empat mazhab Islam. Serangga diharamkan untuk dimakan oleh kesemua mazhab kecuali mazhab Maliki. Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum memakan serangga adalah haram kerana serangga termasuk dalam kategori haiwan hasyarat, iaitu haiwan yang kotor dan menjijikkan.
Allah ﷻ berfirman:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan baginda (Rasulullah ﷺ) menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
Surah al-A`raf: 157
Walau bagaimanapun, rajah yang dikongsikan menunjukkan bahawa locust atau belalang adalah dihalalkan untuk dimakan oleh semua mazhab.
The madhabs and which foods are halal, makruh, and haram pic.twitter.com/5HWEDYBuEn
— TM™ (@BodnaSoor) January 31, 2023
Belalang sejenis serangga
Belalang merupakan sejenis serangga yang melompat di bawah sub-bahagian Caelifera. Seperti mana-mana serangga, belalang tidak mempunyai darah di dalam tubuhnya, tetapi ia mempunyai haemolymph yang bertanggungjawab menyebarkan nutrisi dan zat makanan ke seluruh tubuh. Cairan haemolymph berubah warna mengikut kandungan oksigen dan akan menyebabkan warna serangga berubah. Perkara ini menyebabkan terdapat pelbagai warna belalang seperti hijau dan kuning.
Di beberapa tempat di dunia, sesetengah budaya memakan belalang dalam pelbagai bentuk seperti belalang kering, belalang bakar serta dijadikan tepung.
Hukum makan belalang
Secara umumnya, hukum makan belalang adalah harus. Terdapat beberapa hadis yang mengesahkan perkara ini. Malah, Rasulullah SAW turut pernah memakan dan mengizinkan memakan belalang.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ya’fur R.A berkata:
سَأَلْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى عَنْ قَتْلِ الْجَرَادِ، فَقَالَ غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم سِتَّ غَزَوَاتٍ نَأْكُلُ الْجَرَادَ
Maksudnya: Aku bertanya ‘Abdullah bin Abi Aufa tentang membunuh belalang, dia menjawab, “Aku pernah pergi berperang bersama Rasulullah SAW sebanyak enam kali, dan kami memakan belalang”
Dalam sebuah riwayat lain oleh Abu Hurairah R.A, ketika Rasulullah SAW dan para sahabat dalam perjalanan untuk mengerjakan haji dan umrah, mereka telah menemui dan membunuh sekelompok belalang. Rasulullah SAW bersabda:
كُلُوهُ فَإِنَّهُ مِنْ صَيْدِ الْبَحْرِ
Maksudnya: “Makanlah ia, kerana ia sama jenisnya dengan binatang buruan di laut (yang halal dimakan)”
Seperti makanan laut, belalang tidak perlu disembelih terlebih dahulu memandangkan ia mustahil untuk disembelih. Daripada Ibn ‘Umar R.’Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ
Maksudnya: “Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa”
Imam al-Nawawi berkata belalang yang telah mati boleh dimakan, sama ada ia mati bersebab atau dengan sendiri. Tiada sebarang syarat supaya kepalanya dipotong atau dicabut terlebih dahulu. Menurut Ibnu Qudamah, Ibnu Umar menceritakan dia pernah dihidangkan belalang goreng. Sayapnya dipatahkan dahulu sebelum digoreng di dalam minyak ketika masih hidup.
Hukum makan belalang adalah harus
Walaupun serangga diharamkan untuk dimakan, namun ulama menghalalkan belalang dimakan berdasarkan hadis dan riwayat yang diceritakan. Mungkin ramai yang melihat belalang sebagai haiwan yang kotor dan tidak sesuai dimakan, tetapi ia tidaklah kotor menurut Islam. Di samping itu, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata memakan belalang sewaktu ia masih hidup adalah makruh kerana ia akan menyeksanya.