Benarkah Buah Kurma Mempunyai Banyak Khasiat?

Benar
Benarkah Buah Kurma Mempunyai Banyak Khasiat?

Buah kurma sering dimakan ketika sahur dan berbuka puasa di bulan Ramadan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 13/04/2023 - Disunting : 13/04/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Buah Kurma Mempunyai Banyak Khasiat?

Kurma adalah sejenis buah yang sering dikaitkan dengan puasa di bulan Ramadan. Selain daripada berbuka puasa dengan kurma, orang ramai juga mengambil kurma ketika waktu sahur. Seorang pemengaruh makanan, Ceddy, mengambil kurma yang dikisar dengan susu dan diminum untuk mengekalkan tenaga hingga berbuka kelak. 

Dua kategori kurma yang kebiasaannya dimakan adalah tamar dan rutab. Buah tamar adalah kurma yang telah dikeringkan, manakala rutab adalah kurma basah atau kurma segar. Rata-rata kurma yang sering dijual di pasaran Malaysia adalah dalam bentuk buah tamar. 

 

Buah kurma dan Rasulullah SAW

Berbuka puasa dengan kurma sebenarnya adalah sunah Rasulullah SAW berdasarkan sebuah hadis kepada Anas RA. Rasulullah SAW berbuka puasa dengan rutab, jika tiada akan diambil tamar, dan jika tiada juga berbuka dengan sekadar air kosong.

Buah kurma juga sesuai diambil ketika sahur. Terdapat sebuah hadis yang menyebut tentang sahur dengan kurma.

“Sebaik-baik makanan sahur seorang mukmin ialah kurma”. (Hadis, Sunan Abu Daud 2338)

Buah kurma adalah kegemaran Rasulullah SAW sehinggakan Baginda dan Saidina Aishah RA pernah memakan kurma sahaja selama dua bulan berturut-turut. Rasulullah SAW bersabda:

“Sebuah keluarga yang mempunyai kurma tidak akan lapar”. (Hadis, Sahih Muslim, 5078)

 

Khasiat buah kurma

Menurut laman web WebMD, dua biji buah tamar mempunyai 110 kandungan kalori yang kebanyakannya datang daripada karbohidrat. Tamar juga mempunyai kandungan gula yang tinggi, serta sedikit serat dan protein. 

Di samping itu, buah tamar adalah sumber yang bagus untuk mendapatkan magnesium, kalsium, zat besi dan potasium. Ia juga mengandungi kadar polifenol tertinggi berbanding buah-buahan kering lain. Polifenol mempunyai pelbagai manfaat kesihatan seperti membantu penghadaman, mengawal kadar diabetes dan mengelakkan kanser. 

Kurma juga mempunyai indeks glisemik yang rendah. Serat di dalam kurma memperlahankan penghadaman dan mengawal kadar gula dalam darah daripada meningkat terlalu banyak setelah makan.

 

Salah satu kompaun penting yang boleh dijumpai di dalam kurma adalah bahan antioksida. Antioksida membantu untuk mencegah penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, kanser, diabetes dan Alzheimer. Bahan antioksida yang paling tinggi di dalam kurma adalah flavonoid, karotenoid dan asid fenolat. Flavonoid dan asid fenolat membantu mengurangkan keradangan dan berpotensi mengurangkan risiko diabetes, Alzheimer dan kanser tertentu. Karotenoid menggalakkan kesihatan jantung dan mengurangkan risiko penyakit mata.

 

Selain itu, kurma bagus untuk wanita mengandung kerana mengandungi kandungan potasium 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding buah-buahan lain. Potasium mengekalkan rentak pengecutan otot badan dan jantung, serta membantu mengawal tekanan darah. Kurma juga tinggi kandungan kalsium yang penting untuk pertumbuhan gigi dan tulang bayi dalam rahim. 

Di samping itu, ia boleh mempercepatkan proses bersalin wanita mengandung. Sebuah kajian mendapati wanita mengandung yang makan kurma mempunyai risiko perlu dicetuskan (induce) lebih kurang berbanding mereka yang tidak makan kurma. Malah, wanita yang makan 70-76 gram kurma bermula minggu ke-37 kehamilan berada dalam pelahiran aktif (active labor) kurang 4 jam berbanding jika tidak makan kurma. 

 

Keburukan buah kurma

Walaupun buah kurma terdapat banyak khasiat dan bagus untuk kesihatan, terdapat juga keburukannya. Memandangkan kurma yang telah dikeringkan mempunyai kandungan gula yang lebih tinggi, ia mungkin tidak sesuai diambil oleh mereka yang bimbang dengan tahap gula dalam darah. Sebaliknya, kurma segar lebih sesuai kerana impaknya terhadap kadar glukosa rendah. 

Tambahan pula, kadar kalori kurma yang tinggi tidak sesuai untuk individu yang ingin mengurangkan berat badan. Terdapat juga individu yang alergi terhadap kurma. Antara gejalanya adalah kegatalan pada kulit, mata menjadi sensitif, berair, gatal atau merah, dan hidung berair. 

Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah melarang Saidina Ali RA daripada makan kurma sewaktu baru sembuh daripada penyakit mata. 

 

Kurma mengandungi banyak khasiat

Memandangkan kurma mengandungi banyak khasiat dengan kalori yang tinggi, ia sesuai dimakan ketika sahur dan boleh mengekalkan kenyang sehingga berbuka. Kurma juga elok diambil oleh wanita mengandung. Namun begitu, ia perlu diambil dalam kuantiti yang berpatutan dan bersesuaian dengan kesihatan tubuh badan seseorang. 


Rujukan:

1. https://www.facebook.com/DrMAZA/posts/sunnah-buka-puasa-dengan-rutabnabi-saw-berbuka-puasa-dengan-rutab-atau-tamar-ata/10152588708207990/
2. https://www.usim.edu.my/ms/berita/in-our-words-ms/kurma-bukan-sekadar-juadah-berbuka-puasa-di-bulan-ramadan/
3. https://www.webmd.com/diet/dried-dates-are-they-good-for-you
4. Youtube Mahabbah Rasul TV

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago