Benarkah Dubuk (Hyena) Boleh Dimakan Menurut Mazhab Syafie?

Benar
Benarkah Dubuk (Hyena) Boleh Dimakan Menurut Mazhab Syafie?

Umat Islam dilarang memakan haiwan bertaring

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 09/02/2023 - Disunting : 09/02/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Dubuk (Hyena) Boleh Dimakan Menurut Mazhab Syafie?

Baru-baru ini telah tular sebuah ciapan Twitter berkenaan haiwan yang boleh dimakan dan haram dimakan mengikut empat mazhab Islam. Umum sedia maklum bahawa mazhab Syafie mengharamkan memakan haiwan pemangsa yang mempunyai taring seperti kucing, monyet dan serigala. Namun begitu, apa yang mengejutkan adalah jadual di bawah menunjukkan bahawa mazhab Syafie menghalalkan dubuk (hyena) untuk dimakan.

 

Dubuk haiwan pemangsa

Dubuk berasal daripada subbahagian (suborder) feliformia iaitu haiwan karnivor berupa kucing. Secara umumnya, ia merupakan seekor haiwan karnivor yang mempunyai taring. Walaupun dubuk sering dikenali sebagai pemakan bangkai, ia sebenarnya turut memburu haiwan hidup.

Terdapat empat spesies dubuk di dalam dunia iaitu dubuk berbintik (spotted hyena), dubuk aardwolf, dubuk belang (striped hyena) dan dubuk perang (brown hyena). Dubuk berbintik adalah spesies dubuk yang paling dikenali dan terkenal dengan bunyinya yang mengilai sehingga digelar laughing hyena. Tidak seperti dubuk berbintik yang sering ditemui, spesies dubuk lain sukar ditemui kerana ia hanya biasa keluar pada waktu malam dan hidup bersendirian. 

 

Dubuk berbintik

Dubuk yang paling dikenali ramai ini boleh ditemui di selatan Sahara, Afrika. Merupakan seekor haiwan karnivor, ia mempunyai rahang dan gigi yang kuat sehingga boleh memecahkan tulang-belulang. Ia sering memakan bangkai haiwan hasil buruan pemangsa lain, tetapi turut memburu mangsa sendiri. Malah, dubuk berbintik turut memburu dan memakan haiwan pemangsa lain yang telah lemah seperti singa dan anjing liar. Tidak diketahui jika dubuk berbintik memakan tumbuh-tumbuhan. 

 

Dubuk perang

Dubuk perang tinggal di selatan Sungai Zambezi, di selatan Afrika. Ia mampu berjalan sejauh 25 sehingga 40 kilometer setiap malam untuk mencari makanan. Kebanyakan mereka adalah pemakan bangkai, tetapi turut memburu dan memakan sejenis anjing laut berbulu di sepanjang pinggir pantai Namibia. Di kawasan yang lebih tandus, mereka juga memakan tumbuh-tumbuhan seperti Tsama (Citrullus lanatus) dan gemsbok cucumbers (Acathosicyos naudinianus).

 

Aardwolf

Aardwolf adalah dubuk yang paling kecil antara semua spesies serta mempunyai gigi yang kecil dan lemah. Ia digelar aardwolf yang bermaksud serigala tanah di dalam bahasa Afrika kerana tinggal di dalam lubang tanah. Menggunakan lidahnya yang unik, makanan utama aardwolf adalah anai-anai dan larvanya. Hal ini menyebabkan ia telah berevolusi dengan gigi kecil yang sukar untuk mengunyah daging. Ia turut memakan haiwan kecil lain seperti tikus, bangkai dan telur. 

 

Dubuk belang

Dubuk belang boleh ditemui di sepanjang Timur Tengah dari Turki hingga ke India. Kebanyakan dubuk belang memakan bangkai, tetapi turut memakan serangga. Ia juga memburu haiwan kecil seperti tikus dan burung dan haiwan yang lebih besar seperti arnab Cape (Lepuscapensis) dan rubah bertelinga kelawar (Otocyonmegalotis). Dubuk Belang turut memakan buah-buahan, khususnya buah daripada pohon kertau (Balanites sp.).

 

Hukum makan dubuk

Berdasarkan laman web Mufti Wiliayah Persekutuan, hukum memakan daging dubuk menerima dua pendapat dalam kalangan para ulama. Abu Hanifah, Said bin al-Musayyib dan al-Thauri berpendapat dubuk haram dimakan kerana mempunyai taring. Ia adalah bertepatan dengan ajaran Islam yang mengharam memakan haiwan dengan taring. Menurut Al-Zaila’ie al-Hanafi, dubuk tidak boleh dimakan kerana ia memakan bangkai yang boleh menjadikan dagingnya busuk. 

 

Sebaliknya, Imam al-Nawawi menghukum dubuk sebagai boleh dimakan dan dagingnya dijual beli. Imam Syafie menyebut:

وَلُحُومُ الضِّبَاعِ تُبَاعُ عِنْدَنَا بِمَكَّةَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ، لَا أَحْفَظُ عَنْ أَحَدٍ مِنْ أَصْحَابِنَا خِلَافًا فِي إحْلَالِهَا

Maksudnya: “Daging-daging dubuk dijual antara Bukit Safa dan Marwah semasa kami di Makkah. Dan aku tidak ketahui seorang pun daripada kalangan ashab kami, yang khilaf dalam menghalalkannya” (Lihat al-Umm, 2/273)

 

Mereka berdalilkan dengan riwayat Ibn Abi Ammar bahawa :

قُلْتُ لِجَابِرٍ : الضَّبُعُ صَيْدٌ هِيَ؟ قَالَ : «نَعَمْ»، قَالَ : قُلْتُ : آكُلُهَا؟ قَالَ : «نَعَمْ»، قَالَ : قُلْتُ لَهُ : أَقَالَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ : «نَعَمْ»

Maksudnya: Aku pernah bertanya kepada Jabir: “Adakah dubuk termasuk haiwan buruan?” Dia menjawab: “Ya.” Aku bertanya lagi: “Bolehkah aku memakannya?” Dia menjawab: “Ya.” Aku bertanya lagi: “Apakah Rasulullah SAW pernah mengatakannya?” Dia menjawab: “Ya.” HR al-Tirmizi (1791)

Hadis di atas telah disahkan sebagai hadis hasan sahih oleh Imam al-Tirmizi. Berdasarkan hadis tersebut, sebahagian sarjana telah berpendapat boleh memakan daging dubuk. Terdapat juga riwayat hadis yang menyatakan makruh memakan daging dubuk, tetapi ia tidak mempunyai sanad kuat. 

 

Di samping itu, hadis Jabir bin Abdullah ada menyatakan:

سألْتُ رسولَ اللهِ ﷺ عنِ الضَّبُعِ، فقال : هو صيدٌ، ويجعلُ فيه كَبشٌ إذا صادَهُ المُحرمُ

Maksudnya: Aku telah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai dubuk. Lalu Baginda SAW menjawab: “Ia adalah haiwan buruan dan dijadikan padanya denda (dam) seekor kambing, sekiranya orang yang berihram memburunya.” HR Abu Daud (3801)

Haiwan buruan merujuk kepada haiwan yang boleh diburu untuk dijadikan makanan. Oleh yang demikian, hadis di atas jelas menunjukkan bahawa daging dubuk adalah halal dimakan kerana ia merupakan haiwan buruan. Sebagai tambahan, dubuk yang dimaksudkan adalah daripada jenis yang bertaring tetapi tabiat semulajadinya tidak memburu binatang lain sebagai makanan utama.

Menurut Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, spesies yang dimaksudkan sebagai boleh dimakan mungkin adalah dubuk aardwolf dengan giginya yang kecil dan lemah. Dubuk belang dan dubuk perang pula boleh dikelaskan sebagai haiwan omnivor kerana turut memakan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Berkemungkinan jenis dubuk yang boleh dimakan daripada dua spesies ini hanyalah yang memakan bangkai. Dubuk berbintik tidak termasuk sebagai dubuk yang boleh dimakan kerana mempunyai taring yang kuat dan tabiat semulajadi memburu. 

 

Hukum memakan dubuk harus menurut mazhab Syafie

Jelas bahawa mazhab Syafie menghalalkan daging dubuk untuk dimakan. Namun begitu, jenis dubuk yang dimaksudkan adalah dubuk yang tidak sering memburu dan boleh memakan makanan lain seperti serangga dan tumbuh-tumbuhan. 


Rujukan:

1. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2210-al-kafi-687-haiwan-haiwan-yang-haram-untuk-dimakan-di-dalam-islam
2. https://en.wikipedia.org/wiki/Hyena
3. https://a-z-animals.com/blog/what-do-hyenas-eat/
4. https://maktabahalbakri.com/368-memakan-daging-dubuk-hyena/
5. https://www.krugerpark.co.za/africa_aardwolf.html#
6. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4006-irsyad-al-fatwa-ke-372-hukum-memakan-daging-dubuk-hyena
7. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/3233-irsyad-al-hadith-siri-ke-358-hadith-hasan

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago