Sejak pandemik COVID-19 bermula, Majlis Pemulihan Negara (MPN) mendapati tenaga kerja asing dalam negara telah berkurang sebanyak 20%. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata jumlah pekerja asing berkurang dari 1.7 juta pada awal tahun 2020 kepada 1.2 juta ketika COVID-19 kerana ramai yang pulang ke negara masing-masing.
Menurut bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, jumlah tenaga kerja di Malaysia adalah rendah sehingga banyak sektor seperti peladangan, industri pembuatan malah restoran mamak mengalami kerugian. Ini adalah kerana sebahagian besar sektor tersebut telah diusahakan oleh pekerja asing sebelum ini. Persoalannya, benarkah kekurangan tenaga kerja asing ini menjejaskan ekonomi negara?
Kerugian dalam sektor tertentu negara
Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati bahawa negara kerugian RM1 bilion setiap hari daripada industri minyak kelapa sawit. Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menegaskan ia terjadi disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja dari Bangladesh menyebabkan buah kelapa sawit tidak dapat dituai. Laporan oleh Reuters mendapati syarikat ladang minyak sawit terpaksa menolak tempahan akibat kekurangan pekerja ini.
Kredit gambar: Fitri Agung/ Flickr
Dalam sektor pembuatan, Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, menjelaskan bahawa tenaga kerja di Malaysia berada pada tahap yang kritikal. Seluruh industri pembuatan telah mengalami kekurangan pengeluaran sehingga menjejaskan pemulihan ekonomi negara. Kekurangan tenaga kerja dalam industri pembuatan automotif kemungkinan akan menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara hilang sebanyak 4.5% sekiranya tidak diselesaikan segera. Menurut Presiden Persatuan Penjual Proton, Datuk Dr Wan Mohamed Wan Embong, perkara ini akan dapat ditangani dengan kemasukan pekerja asing.
Di samping itu, kekurangan pekerja di restoran mamak menyebabkan 75% daripada ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) tidak dapat beroperasi selama 24 jam seperti dahulu. Penutupan restoran mamak pada waktu yang lebih awal menyebabkan pemilik mengalami kerugian yang berganda. Hal ini terjadi kerana ramai pekerja asing telah dihantar pulang sewaktu pandemik, dan masih belum dapat kembali.
Negara Sedang Kekurangan Tenaga Kerja Asing
Syarikat-syarikat merasa kesal apabila kerajaan tidak membenarkan kemasukan tenaga kerja asing yang mengakibatkan mereka kerugian. Pada 25 Jun 2022, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri, telah mengarahkan supaya permohonan pekerja asing segera diluluskan bagi mengatasi kerugian ekonomi negara. Kementerian Sumber Manusia telah menerima lebih 200,000 permohonan pekerja asing yang membabitkan pekerja dari Indonesia, Bangladesh dan Kemboja. Kerajaan sedang dalam usaha untuk mendapatkan pekerja asing segera akibat negara kekurangan tenaga kerja tempatan.
Kredit gambar: Yury Kim/ Pexels
Tambahan pula, beberapa usaha telah dilaksanakan untuk menarik minat pekerja tempatan. Kerajaan telah mempromosikan industri kotor, berbahaya dan sukar (3D) namun tidak mendapat sebarang sambutan. PRESMA juga pernah menganjurkan program bersama kerajaan untuk menarik minat rakyat tempatan bekerja di restoran mamak tetapi gagal.