Benarkah Folik Asid Penting Untuk Wanita Mengandung?

Benar
Benarkah Folik Asid Penting Untuk Wanita Mengandung?

Wanita disarankan mengambil folik asid sebelum dan sewaktu mengandung

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 15/11/2023 - Disunting : 15/11/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Folik Asid Penting Untuk Wanita Mengandung?

Folik asid merupakan salah satu makanan tambahan yang diberikan kepada wanita mengandung. Ia dikatakan penting untuk pertumbuhan dan perkembangan janin dalam kandungan.

Dalam masa yang sama, terdapat sesetengah pihak yang mencadangkan supaya folik asid diambil dalam bentuk semula jadi folat yang lebih mudah diserap. Hantaran kali ini akan meneliti berkenaan folik asid dan kepentingannya bagi wanita mengandung dengan lebih mendalam.

 

Folat

Folat merujuk kepada pelbagai bentuk vitamin B9 seperti folik asid, dihydrofolate (DHF), dan tetrahydrofolate (THF). Ia boleh ditemui dalam kebanyakan makanan seperti sayur-sayuran berdaun hijau, buah-buahan sitrus, kekacang, telur dan ikan, serta membantu tubuh badan untuk mencipta sel-sel baru seperti sel darah.

Pengambilan vitamin yang berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan. Namun, folat amat sukar diambil secara berlebihan kerana ia vitamin larut dalam air. Perkara ini menyebabkan lebihan folat mudah dikumuh oleh badan. 

Folat diserap melalui sistem penghadaman dan memasuki saluran darah melalui perut. Ia kemudiannya dihantar ke hati untuk diproses dan sebarang lebihan folat dihantar ke buah pinggang untuk dikumuh dalam bentuk urin. Sebaliknya, kekurangan folat lebih mudah terjadi.

 

Anemia kerana kekurangan folat

Kekurangan folat boleh menyebabkan anemia, iaitu keadaan sel darah merah dalam badan tidak mencukupi. Sel darah merah yang kurang boleh menyebabkan organ-organ badan tidak mendapat oksigen yang mencukupi, seterusnya menghalang tubuh badan daripada berfungsi dengan efisien. 

Anemia yang disebabkan oleh kekurangan folat terjadi kerana tidak mengambil makanan tinggi folat dengan mencukupi. Ia juga boleh disebabkan oleh masalah lain yang menghalang penyerapan vitamin oleh badan seperti penyakit seliak atau radang usus.

Wanita mengandung juga lebih mudah mengalami anemia termasuk yang disebabkan oleh kekurangan folat. Hal ini berlaku kerana apabila mengandung, tubuh badan memerlukan lebih banyak folat untuk pertumbuhan dan perkembangan janin, termasuk bagi penghasilan DNA dan RNA. 

Di samping itu, pengambilan sesetengah ubat-ubatan juga boleh mengganggu penyerapan folat atau menurunkan kadar folat dalam badan. Malah, terdapat juga individu dengan genetik methylenetetrahydrofolate reduktase (MTHFR) yang mengurangkan keupayaan badan untuk mengubah folat kepada bentuk aktifnya, 5-methyltetrahydrofolate (5-MTHF).

 

Folik asid

Folik asid merupakan satu jenis folat sintetik yang digunakan dalam makanan tambahan (supplement) dan makanan diperkuat seperti beras, roti dan bijirin sarapan. Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC) di Amerika Syarikat, pengambilan folik asik yang mencukupi bagi wanita hamil penting untuk mengelakkan kecacatan tiub saraf terhadap janin seperti spina bifida dan anensefali (kecacatan otak). 

Folik asid boleh didapati dengan mudah dalam multivitamin, vitamin pranatal, vitamin mengandungi kompleks-B lain, dan suplemen khas folik asid. Kebiasaannya, suplemen orang dewasa mengandungi 400 hingga 800 mcs folik asid, manakala hanya 200 hingga 400 mcg folik asid terdapat dalam multivitamin kanak-kanak.

Walaupun folat dapat ditemui dalam makanan semula jadi, namun sukar untuk wanita, terutamanya yang sedang hamil dan menyusu badan, mendapatkan jumlah folat yang mencukupi melalui pemakanan semata-mata. Jadual di bawah menunjukkan jumlah folat yang disarankan setiap hari bagi lelaki dan wanita mengikut kohort umur. 

Sumber: National Institutes of Health (NIH)

 

Penyerapan folat dan folik asid

Sesetengah pihak berpendapat bahawa folat lebih elok diambil dalam bentuk asalnya oleh wanita mengandung berbanding secara tambahan dalam bentuk folik asid. 

Menurut NIH di Amerika Syarikat, suplemen folik asid apabila diambil bersama makanan, mempunyai 85% bioketersediaan, iaitu nisbah ubat diserap oleh badan yang memasuki kitaran sistemik. Manakala, jika diambil tanpa makanan, hampir 100% suplemen folik asid boleh diserap ke dalam kitaran sistemik badan. 

Sebaliknya, School of Public Health Harvard University menyatakan folat yang mudah larut di dalam air hanya diserap sebanyak 50% oleh tubuh badan. Hal ini bermakna folik asid lebih mudah benar-benar diserap oleh salur darah berbanding folat dalam bentuk aslinya.

Kajian berkenaan penyerapan folik asid menyatakan bahawa ia diserap dua kali ganda lebih bagus oleh badan berbanding folat. Hal ini adalah kerana folat wujud sebagai poliglutamat dan perlu dijubah menjadi monoglutamat sebelum diserap. Folat di dalam makanan semula jadi tidak stabil seperti folik asid, oleh itu aktiviti vitaminnya boleh hilang ketika makanan diproses atau dimasak. Sebagai contoh, sehingga 40% folat dalam sayur-sayuran dan 70% dalam bijirin yang boleh musnah apabila dimasak.

Selain daripada suplemen dalam bentuk folik asid, terdapat juga makanan tambahan yang mengandungi 5-MHFT, iaitu bentuk aktif folat. Bagi sesetengah individu, suplemen ini lebih sesuai berbanding folik asid. Ia mempunyai bioketersediaan sama atau lebih daripada folik asid. Namun begitu, CDC berkata keberkesanan suplemen folate, dalam bentuk selain folik asid, dalam mencegah kecacatan tiub saraf bayi dalam kandungan masih belum dikaji.

Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa jumlah folik asid dalam suplemen tidak mendatangkan sebarang mudarat kepada kesihatan, sebaliknya ia dapat membantu mencegah sesetengah penyakit terutamanya bagi individu yang tidak mendapat folat yang mencukupi melalui pemakanan. 

 

Folik asid penting untuk wanita mengandung dan tidak mencukupi jika hanya mengambil folat melalui pemakanan

Rujukan terhadap laman web perubatan dan kesihatan mendapati bahawa penting bagi wanita mengambil folik asid ketika mengandung. Memandangkan wanita mengandung memerlukan folat yang lebih dan folat daripada makanan tidak diserap sepenuhnya, pakar kesihatan mencadangkan suplemen folik asid bagi mereka. Folik asid perlu diambil satu bulan sebelum mengandung dan ketika hamil.

Malah, beberapa kajian yang dijalankan juga menunjukkan bahawa folik asid merupakan suplemen yang penting dalam mencegah kecacatan tiub saraf pada janin, di samping mempunyai bioketersediaan yang lebih tinggi berbanding folat. Wanita yang pernah mempunyai kandungan dengan kecacatan tiub saraf disarankan jumlah folik asid lebih tinggi iaitu 4,000 mcg.

Selain daripada kepentingan folat dalam wanita mengandung, kajian juga mendapati bahawa ia dapat mengelakkan penyakit jantung dan serangan strok. Hal ini adalah kerana folat, bersama-sama dengan vitamin B-6 dan B-12, berfungsi dalam mengawal kadar homosisteina dalam darah. Kadar homosisteina yang tinggi dapat meningkatkan risiko penyakit jantung dan saluran darah. 


Rujukan:

1. https://www.medicalnewstoday.com/articles/327290
2. https://www.medicalnewstoday.com/articles/325310
3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3218540/
4. https://www.cdc.gov/ncbddd/folicacid/faqs/faqs-general-info.html
5. https://ods.od.nih.gov/factsheets/Folate-HealthProfessional/
6. https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/folic-acid/
7. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3573592/
8. https://www.webmd.com/diet/health-benefits-folate
9. https://www.cdc.gov/ncbddd/folicacid/recommendations.html
10. https://www.mayoclinic.org/drugs-supplements-folate/art-20364625

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 5 months ago