Benarkah Golongan Kaya Tidak Banyak Dicukai Di Malaysia?

Benar
Benarkah Golongan Kaya Tidak Banyak Dicukai Di Malaysia?

Terdapat pelbagai jenis sumber kekayaan lain yang rata-rata dimiliki oleh golongan kaya di Malaysia.

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 27/02/2023 - Disunting : 27/02/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Golongan Kaya Tidak Banyak Dicukai Di Malaysia?

Individu bekerja di Malaysia boleh mula membuat isian e-filing bagi pendapatan tahun taksiran 2022 bermula 1 Mac 2023. Ia adalah bagi menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negara bagi tujuan pemfailan cukai pendapatan. Tahukah anda bahawa terdapat pelbagai jenis sumber kekayaan lain yang tidak dikenakan cukai?

Seorang pengguna Twitter, Saladin, telah membuat kenyataan bahawa golongan kaya lebih beruntung berbanding golongan pekerja di Malaysia dalam isu cukai. Dia turut berkongsi sebuah infografik yang ditambah kadar cukai bagi beberapa jenis sumber kekayaan di Malaysia. 

Menurutnya, kebanyakan pendapatan yang sering dimiliki oleh golongan kaya super-rich tidak dikenakan sebarang cukai. Sebaliknya, golongan pekerja boleh dikenakan cukai pendapatan sehingga 30% dan cukai penggunaan sebanyak 16%.

 


Cukai pendapatan 

Cukai pendapatan individu adalah cukai yang dikenakan ke atas gaji dan sebarang pendapatan lain yang diterima oleh individu. Ia adalah sumber pendapatan utama kerajaan bagi kebanyakan negara. 

Di Malaysia, individu yang pendapatannya mencecah RM34,000 setahun selepas potongan bayaran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu membuat pembayaran cukai. Malaysia menggunakan sistem pencukaian progresif, iaitu kadar cukai berbeza mengikut banjaran pendapatan layak dicukai. Kadar cukai boleh berubah mengikut tahun taksiran.

Pada masa yang sama, individu juga layak mendapatkan pelepasan cukai berdasarkan jumlah ditetapkan oleh LHDN yang akan mengurangkan pendapatan layak dicukai. Sebagai contoh setiap individu layak mendapat pelepasan cukai individu sebanyak RM9,000. Selain itu terdapat banyak lagi pelepasan cukai termasuk untuk tanggungan dan lain-lain.

 

Cukai penggunaan

Turut dikenali sebagai consumption tax, cukai penggunaan di Malaysia merangkumi cukai jualan dan cukai perkhidmatan atau sales and services tax (SST). Menurut Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai) 2022, cukai jualan tertakluk kepada 5% hingga 10% daripada harga barang atau mengikut kadar spesifik bagi benzena, petroleum dan gas asli. 

Manakala Akta Cukai Perkhidmatan 1975 pula menetapkan 6% cukai ke atas harga perkhidmatan bercukai yang disediakan. Antara contoh perkhidmatan yang dikenakan cukai adalah penginapan, telekomunikasi, elektrik dan insurans. Memandangkan bahawa kebanyakan barang dan perkhidmatan bercukai ini digunakan oleh hampir setiap individu, jelas bahawa individu perlu membayar cukai penggunaan tanpa mengambil kira status pendapatan mereka.

Sebelum ini, Malaysia telah menggunakan sistem cukai barang dan perkhidmatan (CBP) atau goods and services tax (GST) yang diperkenalkan pada 1 April 2015. Cukai ini dikenakan kepada pengguna bagi semua jenis barangan dan perkhidmatan, selain sebahagian kecil yang diberikan pengecualian. Selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2018, GST dimansuhkan dan SST diperkenalkan semula.

 


Selain daripada cukai pendapatan dan cukai penggunaan, terdapat beberapa jenis cukai lain yang dikenakan ke atas sumber kewangan yang rata-rata dimiliki oleh golongan kaya. Namun begitu, Saladin mendakwa bahawa hampir kesemua cukai ini tidak dipraktikkan di Malaysia. 

 

Cukai dividen

Memandangkan Malaysia mengamalkan sistem cukai satu peringkat, dividen yang diterima oleh pemegang saham daripada keuntungan syarikat tidak dikenakan cukai. Hal ini adalah kerana cukai telah dikenakan terhadap keuntungan syarikat dalam bentuk cukai pendapatan korporat. Antara contoh dividen yang dikecualikan daripada dikenakan cukai adalah dividen dari Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

 

Cukai keuntungan modal (capital gains)/ hartanah

Cukai keuntungan modal adalah cukai ke atas keuntungan yang diperoleh semasa penjualan aset bukan inventori, seperti rumah, tanah, dan saham. Di Malaysia, keuntungan modal tidak dikenakan sebarang cukai melainkan keuntungan yang diterima daripada penjualan hartanah dalam negara. Ia adalah tertakluk di bawah Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dan termasuk penjualan rumah, hartanah komersil, tanah dan ladang yang mempunyai harga jual semula lebih tinggi berbanding harga belian. 

Kadar CKHT boleh dibahagikan mengikut hartanah milik warga tempatan dan penduduk tetap, bukan warga negara, serta syarikat seperti dalam jadual berikut. Sejak tahun 2022, CKHT telah dikecualikan bagi warganegara yang membuat penjualan hartanah lebih 6 tahun setelah pembelian.

Kadar CKHT Warganegara Malaysia &

Pemastautin Tetap (PR)

Bukan warganegara Malaysia

atau pemastautin tetap

Syarikat 
Tahun pertama 30% 30% 30%
Tahun kedua  30% 30% 30%
Tahun ketiga 30% 30% 30%
Tahun keempat 20% 30% 20%
Tahun kelima  15% 30% 15%
Tahun keenam dan seterusnya 0%  10% 10%

 

Cukai warisan

Inheritance tax atau cukai warisan dikenakan terhadap harta yang diwariskan daripada seorang pemegang aset yang telah meninggal dunia. Cukai warisan pernah dilaksanakan di Malaysia sebelum dibatalkan pada November 1991. Ketika itu, aset kepunyaan seseorang yang telah meninggal dunia dikenakan cukai 5% bagi aset melebihi RM2 juta dan 10% bagi aset RM4 juta ke atas. Cukai warisan tersebut dikutip dengan tujuan utama untuk merapatkan jurang ketidaksamaan di dalam sesebuah masyarakat.

Purata cukai warisan yang dikenakan oleh negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) adalah 15%, dengan Jepun mempunyai cukai tertinggi sebanyak 55%.

 

Cukai kekayaan

Cukai turut boleh dikenakan ke atas kekayaan iaitu aset terkumpul atau aset kewangan yang dimiliki oleh seseorang. Kekayaan tersebut tidak hanya tertakluk kepada hartana tetapi termasuk rumah percutian, koleksi seni, saham, bon dan deposit tetap. Hanya sebilangan kecil negara yang melaksanakan cukai ini.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mencadangkan supaya cukai kekayaan diperkenalkan untuk meraih cukai daripada golongan billionair Malaysia. Menurut PSM, pengenalan cukai itu boleh memberikan hasil cukai sehingga RM20.52 bilion kepada kerajaan.

 

Banyak sumber kekayaan yang dimiliki oleh golongan kaya tidak dicukai

Ternyata bahawa banyak sumber kekayaan yang rata-rata dimiliki oleh golongan kaya super-rich di Malaysia tidak dikenakan sebarang cukai, atau boleh mendapat pengecualian dengan syarat tertentu. 

Pada Pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa cukai barangan mewah akan diperkenalkan semula pada tahun ini. Ia bertujuan untuk mengenakan cukai terhadap barangan mewah seperti jam tangan mewah dan barangan fesyen tinggi. Selain itu, kerajaan juga akan mengkaji pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat pada tahun 2024. 


Rujukan:

1. https://www.policystreet.com/ms/artikel/pemahaman-asas-tentang-cukai-pendapatan-di-malaysia
2. https://www.hasil.gov.my/individu/kitaran-cukai-individu/lapor-pendapatan/kadar-cukai/
3. https://www.hasil.gov.my/individu/kitaran-cukai-individu/lapor-pendapatan/pelepasan-cukai/
4. http://www.customs.gov.my/ms/faq/Pages/faq_stx.aspx
5. http://www.customs.gov.my/ms/faq/Pages/faq_srv.aspx
6. https://mysst.customs.gov.my/assets/document/SST%20Orders/order/Sales%20Tax%20(Rates%20Of%20Tax)%20Order%202022_PUA176.pdf
7. https://taxsummaries.pwc.com/malaysia/corporate/income-determination
8. https://www.lawofficemalaysia.com/dividend-tax-in-malaysia
9. https://www.amacc.com.my/2021/02/26/dah-layak-bayar-cukai-ketahui-jenis-pendapatan-yang-dikenakan-cukai/
10. https://www.malaysiakini.com/news/593746
11. https://www.iproperty.com.my/bm/panduan-hartanah/ckht-cukai-keuntungan-harta-tanah-rpgt-kiraannya-24272
12. https://www.iproperty.com.my/guides/property-inheritance-malaysia-law-letters-of-administration-81306
13. https://ekonomirakyat.com.my/keluarga-pemilik-samsung-setuju-bayar-cukai-warisan-rm44-bilion
14. https://taxfoundation.org/estate-and-inheritance-taxes-around-world/
15. https://www.malaysiakini.com/letters/495199
16. https://www.malaysianow.com/my/news/2022/06/03/psm-jelaskan-bagaimana-kenakan-cukai-terhadap-lelaki-terkaya-malaysia-boleh-tampung-kelompongan-hasil-gst
17. https://www.therakyatpost.com/trpbm/berita/2023/02/24/bajet-2023-kerajaan-akan-perkenal-cukai-barang-mewah/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago