Benarkah Harimau Malaya Berisiko Pupus Tidak Lama Lagi?

Benar
Benarkah Harimau Malaya Berisiko Pupus Tidak Lama Lagi?

Harimau Malaya menghadapi pelbagai ancaman yang mengurangkan jumlah populasinya

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 24/08/2022 - Disunting : 24/08/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Harimau Malaya Berisiko Pupus Tidak Lama Lagi?

Tahun 2022 merupakan tahun Harimau mengikut kalendar zodiak Cina. Kita juga baru sahaja menyambut Hari Harimau Sedunia pada 29 Julai yang lalu. Oleh yang demikian, hantaran hari ini akan memberi fokus kepada harimau kebanggaan negara kita iaitu Harimau Malaya. Ciapan oleh Rimau, sebuah NGO yang berdedikasi dalam menyelamatkan Harimau Malaya dan habitatnya, menyatakan bahawa harimau itu dijangka akan pupus menjelang tahun 2030. Mari kita semak lebih mendalam berkenaan hal ini.

Harimau merupakan salah satu daripada spesies kucing besar. 100 tahun yang lepas, dianggarkan sejumlah 100,000 ekor harimau boleh ditemui di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, jumlah ini telah menurun mendadak kepada lebih kurang 3,500 ekor sahaja kini. Saintis telah menemui sembilan jenis sub-spesies harimau, dengan tiga daripadanya telah pupus dalam masa 70 tahun yang lepas iaitu sup-spesies Bali, Jawa dan Caspian. Sub-spesies Harimau Malaya (panthera tigris jacksoni) telah ditemui pada tahun 2004 apabila kajian genetik membezakannya daripada harimau Indochina. Ia merupakan sub-spesies harimau yang hanya boleh didapati di Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand

 

Jumlah Harimau Malaya

1st National Tiger Survey yang telah dijalankan di habitat harimau antara tahun 2016 dan 2018 mendapati bahawa bilangan harimau ketika itu adalah kurang daripada 200 ekor. Kini, jumlah harimau liar di Malaysia dianggarkan kurang daripada 150 ekor sehingga International Union for Conservation of Nature and Natural Resources (IUCN) menempatkannya di bawah Senarai Merah bagi Spesies Terancam di bawah kategori spesies terancam genting (critically endangered). Di Malaysia, Harimau Malaya dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Kredit: Rimau/ Twitter

Menurut World Wildlife Foundation (WWF) Malaysia, Malaysia mempunyai anggaran 3,000 ekor harimau pada 1950-an, tetapi jumlah tersebut telah menurun dengan mendadak. Perkara ini disebabkan oleh perburuan, kehilangan habitat dan perluasan tanah bagi penanaman agrikultur. Ahli biologi hidupan liar di Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT) Kae Kawanishi berkata Malaysia telah kehilangan 90% habitat harimau dalam masa 70 tahun yang lepas

Pada tahun 2008, Malaysia telah mewujudkan sebuah Pelan Tindakan Pemuliharan Harimau Kebangsaan (NTCAP) dengan matlamat utama untuk menggandakan jumlah populasi Harimau Malaya kepada 1,000 menjelang 2020. Namun begitu, jelas bahawa ia bukan sahaja gagal meningkatkan jumlah harimau, tetapi juga gagal mengelakkan jumlah itu daripada terus menurun. 

 

Harimau Malaya berisiko pupus

Menurut Kawanishi, berdasarkan tren populasi Harimau Malaya bagi 100 tahun yang lepas, ia dijangka tidak akan hidup sehingga 100 tahun akan datang. Malah, timbalan ketua pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Fakhrul Hatta Musa berkata Harimau Malaya bakal pupus dalam 5 hingga 10 tahun lagi jika tindakan drastik tidak diambil. Kerajaan telah mengambil tindakan dengan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) bagi memastikan pelaksanaan Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya dalam tempoh 10 tahun (2021-2030). MyTTF menggariskan enam pendekatan iaitu “rondaan dan pengawalan; pengukuhan habitat; meningkatkan kawasan berhutan sedia ada; memperkasa urus tadbir; pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya; dan Kempen Selamatkan Harimau Malaya”. 

Kredit gambar: Mehmet Turgut Kirkgoz/ Pexels

Pada hujung tahun 2021, parlimen telah meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], sekaligus meningkatkan denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun berkenaan jenayah ke atas hidupan liar. Kerajaan juga telah menetapkan larangan ke atas pemburuan rusa sambar, iaitu sumber makanan utama harimau, sejak 2009 lagi. Di dalam sesi parlimen 11 November 2021, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kerajaan bercadang untuk memperbaharui tempoh larangan tersebut yang telah tamat pada November 2021.

 


Rujukan:

1. https://undp-biodiversity.exposure.co/crouching-tiger-hidden-treasure
2. https://www.inverse.com/science/why-is-the-malayan-tiger-endangered
3. https://www.zoo.org/tigers
4. https://harimau.my/
5. https://www.wwf.org.my/tiger_facts/status_of_malayan_tigers/
6. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/02/05/its-the-year-of-the-tiger-but-its-doom-for-the-malayan-tiger/
7. https://www.wildlife.gov.my/images/stories/penerbitan/pelan/NTCAP.pdf
8. https://www.nst.com.my/news/nation/2022/01/763053/malayan-tiger-could-go-extinct-five-10-years-if-no-drastic-action-taken
9. https://www.pmo.gov.my/2022/01/penguatkuasaan-dilipatganda-bagi-menyelamatkan-harimau-malaya/
10. https://www.wwf.org.my/?16424/Totally-protect-the-sambar-deer-or-lose-it-forever
11. https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/11/12/malayan-tiger-rapidly-becoming-extinct

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago