Benarkah Hukuman Mati Kurangkan Kadar Jenayah di Malaysia?

Salah
Benarkah Hukuman Mati Kurangkan Kadar Jenayah di Malaysia?

Kerajaan Malaysia telah memansuhkan hukuman mati mandatori pada 10 Jun 2022 yang lalu.

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 14/06/2022 - Disunting : 14/06/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Hukuman Mati Kurangkan Kadar Jenayah di Malaysia?

Kerajaan Malaysia telah bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori pada 10 Jun 2022 setelah pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dilakukan sewaktu Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun yang lalu. Jemaah Menteri akan turut mengkaji cadangan hukuman gantian bagi menggantikan hukuman mati bagi beberapa jenis kesalahan. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai reaksi negatif yang diberikan oleh orang ramai berkenaan keputusan ini. Ada yang percaya pemansuhan ini akan menyebabkan penjenayah terlepas dari hukuman yang berat dan lebih banyak jenayah berat akan dilakukan pada masa hadapan.

Kajian ke atas hubung kait antara hukuman mati dan pencegahan jenayah banyak dilakukan di Amerika Syarikat (AS). Beberapa kajian mendapati bahawa hukuman mati dapat mengurangkan kadar jenayah di AS. Kajian di AS bagi tahun 1933 hingga 1969 mendapati bahawa satu hukuman bunuh setiap tahun dapat mengurangkan sebanyak tujuh hingga lapan kes pembunuhan. Malah, penurunan kadar hukuman mati telah meningkatkan kadar bunuh sebanyak 25% dari 1960 hingga 1967. Kajian lain ke atas tahun 1977 hingga 1997 mendapati hukuman mati di AS dapat mengelakkan lima kejadian pembunuhan, dan sebaliknya pengurangan hukuman berat meningkatkan kadar bunuh sebanyak lima kes.

Walau bagaimanapun, Amnesty International berkongsi sebuah kajian di AS pada tahun 2004 yang mendapati kadar jenayah bunuh adalah lebih tinggi di negeri-negeri yang mempunyai hukuman mati berbanding di negeri-negeri tanpa hukuman tersebut. Kajian di Kanada pula mendapati kadar jenayah bunuh menurun sebanyak 44% pada 2003 berbanding 1975 selepas hukuman mati dimansuhkan. Amnesty International juga percaya bahawa penjenayah cuma akan takut terhadap hukuman mati jika mereka mengkaji dahulu akibat daripada jenayah yang dilakukannya. Malah, apabila melakukan sesuatu jenayah, seringkali individu beranggapan bahawa mereka tidak akan ditangkap, menyebabkan hukuman mati itu tidak mempengaruhi jenayah yang dirancang.

 

Hukuman mati di Malaysia

Di Malaysia, sehingga 2011, terdapat seramai 696 pesalah yang menunggu giliran hukuman mati, dan 67% daripadanya disabit kesalahan di atas jenayah dadah. Pada 2013, jumlah menunggu giliran hukuman mati meningkat ke 964 orang dengan majoritinya masih didakwa atas kesalahan berkaitan dadah. Walaupun terdapat hukuman mati di atas kesalahan mengedar dadah, Malaysia telah menunjukkan peningkatan dalam jumlah tangkapan berkaitan pengedaran dadah dari 2014 hingga 2018. Setakat 11 Ogos 2020, seramai 918 orang daripada 1,324 banduan telah dikenakan hukuman gantung mandatori bagi kesalahan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Sumber: Agensi Anti Dadah Kebangsaan Malaysia (2018)

 

Hukuman mati tidak mengurangkan kadar jenayah di Malaysia

Perkara di atas menunjukkan yang walaupun hukuman mati diteruskan, jenayah tetap akan berterusan sekiranya tiada tindakan diambil untuk menghalang jenayah tersebut dari peringkat awal. Terdapat juga beberapa kes yang mana ‘penjenayah’ yang telah dihukum mati kemudiannya didapati tidak bersalah. Perkara sebegini amat disesali dan keputusan memansuh hukuman mati mandatori dapat mengurangkan kebarangkalian ia berulang.

Keputusan kerajaan Malaysia untuk memansuhkan hukuman mati mandatori merupakan langkah yang penting dalam menegakkan hak asasi kemanusiaan. Pada masa yang sama, Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz, pensyarah undang-undang di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia, menyatakan bahawa pengalaman setiap negara memainkan peranan yang penting dalam keputusan untuk mengekal atau memansuhkan hukuman mati. Oleh itu, penting untuk kerajaan melakukan kajian dalam konteks Malaysia dan berkongsikan dapatan dengan orang ramai supaya orang ramai lebih memahami keputusan yang dilakukan oleh kerajaan.


Rujukan:

1. https://www.buzzkini.com/news/2022/06/10/terkini-hukuman-mati-mandatori-sah-dimansuhkan-di-malaysia/
2. https://www.buzzkini.com/news/2022/06/13/bimbang-kes-jenayah-berat-meningkat-bapa-zulfarhan-tak-setuju-mansuh-hukuman-mati-mandatori/
3. https://www.researchgate.net/publication/341538939_Death_Penalty_in_Malaysia_To_Abolish_or_Not_to_Abolish
4. https://www.amnesty.org/en/wp-content/uploads/2021/06/act500062008en.pdf
5. https://liewchintong.com/2014/10/09/reforming-the-death-penalty/
6. https://www.sinarharian.com.my/article/96439/BERITA/Nasional/918-banduan-dadah-telah-dihukum-mati
7. https://www.aclu.org/other/death-penalty-questions-and-answers#:~:text=States%20that%20have%20death%20penalty,penalty%20has%20no%20deterrent%20effect.
8. https://journals.iium.edu.my/iiumlj/index.php/iiumlj/article/view/156

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago