Benarkah Hutan Amazon Menerima Debu Daripada Gurun Sahara?

Benar
Benarkah Hutan Amazon Menerima Debu Daripada Gurun Sahara?

Tumbuh-tumbuhan memerlukan khasiat fosforus untuk tumbuh dengan sihat

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 29/07/2022 - Disunting : 29/07/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Hutan Amazon Menerima Debu Daripada Gurun Sahara?

Hutan Amazon di Selatan Amerika merupakan hutan hujan yang terbesar di dunia. Amazon memerlukan sumber fosforus yang mencukupi untuk menampung 390 juta pokok-pokok. Fosforus diserap oleh tanah daripada dedaun gugur mereput dan bahan organik, yang kemudiannya  diserap semula oleh tumbuhan. Walau bagaimanapun, 90% tanah di Amazon tidak mempunyai fosforus yang mencukupi kerana hutan itu sering dilanda hujan lebat dan banjir, menyebabkan fosforus masuk ke dalam sungai-sungai. Ekoran itu, seorang pengguna Twitter telah berkongsi rentetan berkenaan hutan Amazon menerima sumber fosforus daripada debu gurun Sahara.

 

Debu di Gurun Sahara

Gurun Sahara adalah padang pasir terbesar di dunia yang terletak 3,000 batu daripada hutan Amazon di Afrika Utara. Setiap tahun, 180 juta tan debu dari gurun Sahara ditiup ke seluruh dunia. Sumber utama debu ini datang dari Bodélé Depression yang mungkin menghasilkan separuh daripada aerosol mineral di Sahara. Bodélé Depression terhasil apabila Tasik Chad mengering dan mengecil sehingga 5% saiz asalnya. Mendapan yang dahulunya berada di dasar tasik kemudiannya mengering menjadi padang pasir. Fosforus wujud di dalam mineral batu di dasar tasik ini yang mengandungi mikroorganisma mati.

Kredit gambar: Andrzej Kryszpiniuk/ Unsplash

Imej satelit oleh National Aeronautics and Space Administration (NASA) membuktikan bahawa debu dari gurun Sahara tersebar melintasi Laut Atlantik ke hutan Amazon. Secara puratanya, 182 juta tan debu disebar daripada Sahara dan hanya 27 juta tan (anggaran 15%) debu tiba di Amazon. Dianggarkan debu yang tiba di Amazon ini mengandungi 22,000 tan fosforus, jumlah yang hampir sama dengan fosforus yang hilang akibat hujan dan banjir.

Kredit gambar: NASA Goddard’s Scientific Visualization Studio

Penyebaran debu dari Sahara ke Amazon berubah setiap tahun, dengan perbezaan sebanyak 86% di antara jumlah debu tertinggi (2007) dan terkurang (2011). Pengkaji membuat hipotesis bahawa jumlah ini bergantung kepada jumlah taburan hujan di Sahel yang berada di antara kawasan padang pasir dan kawasan tanah subur. Keadaan kering di Sahel akan menyebabkan penyebaran debu yang lebih banyak dan sebaliknya.

 

Sumber debu yang tiba di Amazon

Walaupun Bodélé Depression merupakan sumber utama debu di Sahara, tetapi ia mungkin bukan sumber utama debu di Amazon. Hal ini adalah kerana angin meniup debu ini ke arah jalur hujan bermusim Intertropical Convergence Zone (ITCZ) yang boleh menjatuhkan debu-debu ke bawah semasa dalam perjalanannya. El Djouf yang terletak di antara Mauritania dan Mali di Sahara mungkin merupakan sumber utama debu di Amazon kerana kedudukannya lebih dekat. 

Kajian telah dilakukan ke atas sumber debu yang tiba di Amazon dalam tempoh 7,500 tahun lepas. Menggunakan sampel daripada Tasik Pata di Amazon, ia didapati bahawa di antara pertengahan dan akhir zaman Holocene, kebanyakan debu adalah dari pergunungan Andes di Amerika Selatan dan dari Afrika Selatan, serta merangkumi tanah loes di Argentina. Namun, debu dari Sahara telah meningkat lima kali ganda di selatan Amazon selepas tamatnya era lembap di Afrika (African Humid Period) sekitar 5, 500 tahun dahulu. Penting untuk difahami bahawa bahagian timur Amazon yang paling dekat dengan Afrika menerima paling banyak debu dari Afrika berbanding bahagian lain.

 

Hutan Amazon menerima debu daripada gurun Sahara

Secara umumnya, hutan Amazon ada menerima debu daripada gurun Sahara yang membekalkan khasiat fosforus untuk tumbuhannya. Namun begitu, sumber asal debu Sahara yang tiba di Amazon tidak dapat disahkan dengan tepat. Bahagian lain Amazon juga menerima debu daripada tempat-tempat lain di dunia. Juliana de Nogueira, seorang penyelidik di Jabatan Ekologi Hutan, Czech University of Life Sciences, berkata dinamik di Amazon harus dikaji dan difahami berdasarkan kawasan-kawasan berlainan di Amazon. Hongbin Yu dari NASA berkata jika debu tidak lagi ditiup ke Amazon, hutan itu akan makin kehilangan sumber fosforus dan boleh mengubah biodiversiti setempat. Walaupun begitu, tumbuhan juga mungkin akan melakukan mekanisme penyesuaian untuk menghadapi kekurangan zat fosforus ini.


Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago