Benarkah Individu Islam Boleh Membuat Saman Ganti Rugi Jika Suami Atau Isteri Curang?

Salah
Benarkah Individu Islam Boleh Membuat Saman Ganti Rugi Jika Suami Atau Isteri Curang?

Sesetengah pihak memberi cadangan supaya individu menyaman pasangan mereka yang berkelakuan curang

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 29/12/2023 - Disunting : 29/12/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Individu Islam Boleh Membuat Saman Ganti Rugi Jika Suami Atau Isteri Curang?

Kes pasangan berkahwin yang curang bukan sesuatu yang jarang berlaku pada masa kini. Apatah lagi dengan beberapa kes viral yang mana suami curang dengan isterinya dan berkahwin baharu tanpa pengetahuan isteri.

Kini, apabila seseorang berhadapan dengan curang, orang sekeliling akan memberi cadangan supaya menyaman pihak terbabit. Saman juga dikatakan boleh dilakukan apabila pasangan tidak jadi berkahwin setelah pelbagai persediaan dilakukan dan telah mengeluarkan kos belanja yang tinggi.

 

Kesalahan mengganggu rumah tangga boleh dibawa ke mahkamah

Mungkin ramai yang tidak tahu, tetapi sebenarnya mengganggu rumah tangga orang lain adalah satu kesalahan berdasarkan kedua-dua undang-undang sivil dan syariah. Menurut Majlis Agama Islam Selangor, terdapat undang-undang syariah bagi pengganggu atau orang ketiga dalam suatu rumah tangga. 

Di bawah Enakmen 11 Tahun 2023 – Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 (Bahagian V- Kesalahan Pelbagai), individu yang didapati bersalah melakukan gangguan terhadap rumah tangga pasangan lain, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda tidak melebihi RM 5,000 atau kedua-duanya sekali oleh Mahkamah Syariah.

Untuk membuat aduan, individu boleh merujuk kepada Unit Penguatkuasaan dan Pendakwaan, jabatan agama Islam negeri serta mahkamah Syariah negeri masing-masing.

 

Harus diingat bahawa undang-undang syariah tertakluk kepada negeri masing-masing. Sebagai contoh di Selangor, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 digunakan. Terdapat tiga seksyen di bawah enakmen ini berkenaan gangguan pihak ketiga dalam rumah tangga. 

  • Seksyen 32 – Memujuk lari atau membawanya pergi atau mempengaruhinya supaya meninggalkan rumahtangga. Denda tidak lebih RM5000, penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah perintah isteri kembali kepada suami.
  • Seksyen 33 – Menghalang pasangan suami isteri yang sah daripada hidup sebagai suami isteri. Denda tidak lebih RM3000, penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah perintah suami isteri hidup bersama.
  • Seksyen 34 – Menghasut, memaksa, memujuk suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan tanggungjawab. Denda tidak lebih RM5000, penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya.

Sebagai makluman, pihak ketiga bukan sahaja merujuk kepada kekasih kepada pasangan yang curang. Ia boleh dikategorikan kepada golongan dalaman dan luaran. Kategori dalaman merujuk kepada ahli keluarga seperti ibu bapa dan adik-beradik, manakala kategori luaran adalah rakan sekerja, kekasih gelap dan sebagainya.

 

Pembuktian yang kukuh penting bagi pendakwaan

Peguam Nor Zabetha Muhammad Nor berkata dalam kes pasangan curang, penting untuk pengadu mengemukakan bukti dan maklumat seperti gambar, dokumen atau perbualan di WhatsApp ketika membuat laporan kepada pejabat agama. Dengan bukti yang cukup, pegawai pejabat agama boleh membuka kertas siasatan terhadap pasangan yang curang.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, bukti dan keterangan yang tidak kuat akan menyukarkan siasatan ke atas kes gangguan rumah tangga oleh pihak ketiga. Perkara ini boleh menyebabkan pendakwaan tidak dapat dijalankan walaupun terdapat undang-undang syariah yang diperuntukkan bagi kesalahan tersebut. 

Malah, Peguam Syarie, Amirul Akmal Ismail berkata kebanyakan kes bagi aduan pasangan curang atau gangguan pihak ketiga berakhir dengan notis Tiada Tindakan Lanjut (NFA). Keadaan ini selalunya berlaku akibat pembuktian yang tidak memenuhi permintaan pihak Mahkamah. 

 

Tiada tuntutan ganti rugi di bawah undang-undang syariah terhadap pasangan yang curang atau pihak ketiga

Walaupun orang ramai sering berkata seseorang boleh mengenakan tindakan saman ganti rugi terhadap isteri atau suaminya yang curang, perkara ini sebenarnya tidak benar. Sebaliknya, tuduhan atau saman dilakukan ke atas pihak ketiga yang mengganggu suatu rumah tangga.

Namun begitu, peguam Nurul Hafidzah Hassan berkata hanya pasangan bukan Islam yang boleh menyaman pihak ketiga untuk mendapatkan ganti rugi seperti yang tertakluk di bawah Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Bagi pasangan beragama Islam, tiada peruntukan sedemikian yang diwujudkan di bawah undang-undang syariah. Nurul berkata perkara ini menyebabkan lambakan kes sedemikian kerana seseorang individu tidak takut untuk berlaku curang terhadap pasangannya. 

Di samping itu, Peguam Syarie Mohd Ridhwan Husin, memaklumkan bahawa tiada undang-undang yang dapat dikenakan terhadap pasangan yang curang di bawah Mahkamah Syariah, apatah lagi undang-undang saman untuk menuntut ganti rugi terutamanya jika perceraian berlaku.

Berdasarkan maklumat oleh Atikah Rashid, seorang Peguam Syarie, kedua-dua suami dan isteri boleh memfailkan kes di Mahkamah Syariah jika didapati pasangan mereka curang. Isteri boleh mendapatkan mut’ah, nafkah iddah dan nafkah tertunggak terhadap suami yang curang. Malah, penceraian secara fasakh boleh dipohon oleh isteri atas alasan suami curang. Pada masa yang sama, suami boleh memfailkan kes nusyuz terhadap isteri yang curang supaya tidak perlu diberikan nafkah lagi. 

Malah, wanita yang diceraikan atau dipoligamikan atas sebab curang mahupun tidak, boleh melakukan tuntutan harta sepencarian daripada pihak lelaki.

 

Perkahwinan dibatalkan setelah segala perbelanjaan dilakukan

Walaupun pasangan berkahwin tidak boleh dikenakan tindakan akibat curang, tetapi saman boleh dilakukan ke atas pihak yang membatalkan perkahwinan. Berdasarkan video yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok (@lawyergandhi), dia berkata saman boleh dilakukan terhadap individu yang membatalkan perkahwinan tanpa persetujuan.

Akan tetapi, perlu terdapat perjanjian yang jelas untuk berkahwin, seperti sudah menghantar kad jemputan kahwin. Melalui saman ini, individu boleh membuat tuntutan ke atas semua perbelanjaan pertunangan dan segala persiapan perkahwinan, yang termasuk pemulangan mas kahwin dan hantaran. 

Tuntutan ini boleh dilakukan oleh individu sama ada Islam mahupun bukan Islam, dan boleh dibuat di Mahkamah Syariah atau sivil mengikut kepada agama seseorang.

@lawyergandhi Bolehkah anda saman tunang yang membatalkan perkahwinan pada saat-saat akhir? #tiktokguru #lawyergandhi #tunangan #saman #tiktokawardsmy #roadtotiktokawardsmy #ex #bekastunang #weddingcancelled ♬ Jiwa Yang Bersedih (Sped Up Version) – Ghea Indrawari

Antara contoh undang-undang syariah yang mempunyai peruntukan bagi individu menuntut ganti rugi daripada pihak yang enggan meneruskan perkahwinan adalah Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Di bawah enakmen ini, pihak yang membatalkan perkahwinan wajib memulangkan pemberian pertunangan jika masih ada, atau nilainya dalam bentuk wang, serta membayar semula segala perbelanjaan yang dibuat oleh pihak satu lagi bagi persediaan perkahwinan. 

Berdasarkan kepada undang-undang syariah, kes tuntutan ganti rugi pertunangan didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah bagi nilai kurang daripada RM100,000. Namun begitu, jika nilai tuntutan melebih RM100,000, kes hendaklah didaftarkan di bawah Mahkamah Tinggi Syariah.

 

Pasangan yang curang tidak boleh diambil tindakan mahupun disaman di bawah undang-undang syariah

Ternyata bahawa tindakan undang-undang tidak dikenakan terhadap pasangan yang curang, tetapi hanya terhadap pihak ketiga. Malah, saman ganti rugi hanya boleh dikenakan terhadap pihak ketiga menurut undang-undang sivil dan tidak di bawah hukum syariah.

Menurut Amirul Akmal, Alienation Of Affection Law yang dikuatkuasakan di negara-negara Barat membolehkan individu mendapat bayaran ganti rugi sekiranya dicurangi oleh pasangan mereka. Malah, sesetengah negara menjadikan kelakuan curang sebagai kesalahan jenayah di dalam penal code atau hudud mereka.

Amirul Akmal mencadangkan supaya isteri atau suami yang teraniaya akibat pihak ketiga diizinkan memohon pampasan daripada pasangannya yang curang ketika melakukan tuntutan fasakh atau perceraian. 

Selain itu, Mohd Ridhwan turut memberi cadangan supaya tindakan curang dijadikan sebagai jenayah syariah kerana tujuh daripada 10 kes perceraian disebabkan oleh hubungan sulit dengan pihak ketiga.


Rujukan:

1. https://siakapkeli.my/2023/01/07/penjara-3-tahun-denda-ini-antara-hukuman-dikenakan-sekiranya-ganggu-rumah-tangga-orang
2. http://fsu.kuis.edu.my/images/krc/buletin/artikel-krc-mei-2019.pdf
3. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/05/21/pasangan-curang-ini-cara-lawan-perosak-rumah-tangga/
4. https://www.kosmo.com.my/2021/12/21/pasangan-curang-boleh-dikenakan-tindakan-saman-peguam/
5. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1052624/kurang-bukti-punca-sukar-dakwa-orang-ketiga-ganggu-perkahwinan
6. https://www.utusan.com.my/gaya/keluarga-wanita/2023/02/tambah-baik-akta-hukum-orang-ketiga/
7. https://www.utusan.com.my/gaya/2022/03/tiada-undang-undang-saman-pasangan-curang/
8. https://peguamsyariefas.com.my/tuntutan-ganti-rugi-pertunangan/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 4 months ago