Benarkah Kebanyakan Serangga Kurang Tertarik Kepada Lampu Kuning?

Benar
Benarkah Kebanyakan Serangga Kurang Tertarik Kepada Lampu Kuning?

Serangga gemar menghampiri sumber cahaya dan sering hinggap di lampu

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 25/09/2023 - Disunting : 25/09/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Kebanyakan Serangga Kurang Tertarik Kepada Lampu Kuning?

Cuaca panas dan lembap di Malaysia menjadi persekitaran yang sesuai untuk banyak serangga membiak seperti nyamuk. Oleh itu, kebanyakan rumah terutamanya yang dibina di atas tanah, sering kali dihingap serangga-serangga tersebut yang kemudiannya menarik kehadiran cicak. 

Dalam pada itu, ada pihak yang mendakwa bahawa serangga menjadi tertarik kepada sesuatu tempat berdasarkan kepada jenis cahaya pencahayaan yang digunakan. Dikatakan bahawa serangga lebih tertarik kepada cahaya putih berbanding kuning. Mari kita semak perkara ini.

 

Jarak gelombang cahaya

Cahaya boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sinaran UV, sinaran boleh lihat (VIS) dan sinaran infrared (IR) berdasarkan kepada jarak gelombang cahaya. Secara umumnya, mata manusia boleh melihat jarak gelombang cahaya 380nm hingga 700nm

Sumber: Gigahertz-Optik

Walaupun kita sering menganggap warna biru sebagai ‘warna sejuk’, ia sebenarnya mempunyai suhu yang tinggi. Menurut National Aeronautics and Space Administration (NASA), objek yang panas memancarkan tenaga dengan jarak gelombang yang pendek. 

Kebanyakan serangga mempunyai dua jenis organ fotoreseptor atau penerimaan cahaya iaitu mata majmuk dan oselus (mata ringkas). Kepekaan spektrum fotoreseptor serangga menentukan jarak gelombang cahaya boleh lihat, kebiasaannya berkembang hingga ke bahagian ultraviolet (UV) yang tidak kelihatan oleh mata manusia. Mata majmuk biasanya mempunyai tiga sel fotoreseptor dengan kepekaan spektrum tertinggi bagi jarak gelombang cahaya UV, biru dan hijau, seperti yang dimiliki oleh lebah madu.

Spektrum visual yang sensitif bagi serangga adalah tertumpuk dalam julat jarak gelombang antara 253nm hingga 700nm. Beberapa kajian mendapati serangga dalam kumpulan taksonomi sama mempunyai tindak balas dan kecenderungan terhadap julat jarak gelombang yang serupa. Sebaliknya, kumpulan serangga berlainan mempunyai kecenderungan yang amat berbeza terhadap jarak gelombang cahaya pelbagai.

 

Jenis lampu dan tarikan serangga

Satu kajian telah dijalankan bagi mengkaji tindak balas serangga terhadap jenis pencahayaan utama bagi kawasan kediaman. Paling banyak serangga tertarik kepada lampu pijar diikuti lampu pendarfluor padat (CFL), lampu halogen dan lampu diod pemancar cahaya (LED). Kajian mendapati jenis lampu yang paling kurang menarik kehadiran serangga adalah lampu LED jenis ‘warm light’ yang menghasilkan warna kuning atau jingga berbanding warna putih.

Kajian lain mendapati lebih lima kali ganda serangga lebih tertarik kepada lampu halida logam (HL) putih berbanding lampu LED putih (4,250K) dan lampu natrium bertekanan tinggi (HPS). Walaupun jumlah serangga yang ditangkap apabila memasang lampu LED dan HPS tidak banyak beza, namun lebih banyak jenis serangga yang hinggap di lampu LED. Lampu HPS atau lampu wap natrium menggunakan natrium dalam bentuk gas untuk menghasilkan cahaya berwarna jingga dengan jarak gelombang sekitar 589nm.

Sekumpulan pengkaji telah menjalankan ujikaji di kawasan hutan Amazon di Peru untuk mengenal pasti kesan tiga jenis lampu dengan spektrum cahaya berbeza terhadap serangga. Hasil mendapati bahawa lebih banyak serangga tertarik kepada lampu putih (3,200K) berbanding lampu bercahaya kuning (2,700) dan kuning jingga (2,200K)

Pada masa yang sama lampu kuning jingga juga merupakan cahaya yang paling menarik bagi sesetengah kumpulan serangga seperti kumbang kertik dan lalat mycetophilidae.

 

Kebanyakan serangga lebih tertarik kepada cahaya putih

Beberapa kajian yang telah dijalankan membuktikan bahawa kebanyakan serangga sememangnya lebih tertarik kepada lampu berwarna putih. Lampu LED putih mempunyai jarak gelombang antara 365nm hingga 450nm, yang jatuh di dalam julat jarak gelombang yang sensitif bagi serangga (253nm-700nm). Namun begitu, harus diingat bahawa lampu dengan jarak gelombang lebih tinggi juga tetap menarik serangga dalam jumlah yang sedikit.

Menurut para saintis, dapatan kajian tentang efek jenis lampu terhadap serangga dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian terutamanya dalam pertanian sebagai kaedah kawalan serangga ‘bersih’. Penggunaan lampu yang bersesuaian bukan sahaja dapat mengurangkan jumlah serangga yang hadir, tetapi juga menurunkan kadar kematian serangga yang penting terhadap ekosistem.

Di samping itu, pengurangan kehadiran serangga juga secara tidak langsung akan mengurangkan kehadiran haiwan perosak lain seperti cicak dan mengkarung. Perkara ini sekaligus dapat mengekalkan persekitaran dalam keadaan yang bersih.


Rujukan:

1. https://science.nasa.gov/ems/09_visiblelight
2. https://link.springer.com/article/10.1007/s13355-013-0219-x
3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC8151050/
4. https://aaas.confex.com/aaas/2016/webprogram/Paper17736.html?_ga=1.113591172.2084989710.1452005787
5. https://besjournals.onlinelibrary.wiley.com/doi/10.1111/1365-2664.13004
6. https://resjournals.onlinelibrary.wiley.com/doi/full/10.1111/icad.12479

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 7 months ago