Benarkah Keganasan Rumah Tangga Lebih Tinggi Dalam Golongan Dengan Tahap Ekonomi Rendah Atau Miskin?

Benar
Benarkah Keganasan Rumah Tangga Lebih Tinggi Dalam Golongan Dengan Tahap Ekonomi Rendah Atau Miskin?

Keganasan rumah tangga sering dialami oleh golongan wanita berbanding lelaki

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 04/07/2023 - Disunting : 04/07/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Keganasan Rumah Tangga Lebih Tinggi Dalam Golongan Dengan Tahap Ekonomi Rendah Atau Miskin?

Seorang pengguna Twitter berkongsi dapatan kajian yang menyatakan masyarakat yang lebih kaya kurang menerima keganasan rumah tangga ke atas isteri. Katanya lagi, wanita yang mengahwini lelaki kaya kurang risiko dipukul. Hantaran kali ini akan meneliti isu keganasan rumah tangga dan kaitannya dengan latar belakang ekonomi keluarga. 

Menurut All Women’s Action Society (AWAM), keganasan rumah tangga adalah sebarang keganasan atau penderaan secara langsung atau tidak langsung yang dilakukan oleh seseorang dalam lingkungan domestik untuk menunjukkan kuasa dan mengawal seseorang. Keganasan rumah tangga termasuk penderaan secara fizikal, seksual, psikologi, ucapan, emosi dan kewangan. Paksaan atau halangan seseorang untuk mendapatkan hak juga merupakan satu bentuk keganasan rumah tangga. 

Walaupun keganasan rumah tangga boleh terjadi kepada sesiapa tidak kira jantina, umur, atau latar belakang, ia seringkali menimpa kaum wanita dan kanak-kanak. Di Malaysia, bentuk keganasan rumah tangga yang sering berlaku adalah penderaan emosi atau psikologi, diikuti dengan penderaan fizikal dan seksual. Antara faktor-faktor dikaitkan dengan keganasan rumah tangga adalah status sosioekonomi rendah, tahap pendidikan rendah dan kekurangan sokongan sosial. 

 

Penerimaan keganasan rumah tangga ke atas wanita

Di dalam ciapan di atas, pengguna Twitter merujuk kepada artikel oleh HumanProgress.org. Menurut artikel tersebut, kebanyakan penduduk di negara-negara miskin mengizinkan keganasan ke atas isteri. Data oleh World Values Survey (2017-2022) menunjukkan majoriti responden di negara-negara membangun Iraq, Kenya, Filipina, Vietnam malah Malaysia merasakan isteri wajar dipukul oleh suami. 

Walaupun penerimaan keganasan rumah tangga lebih tinggi di negara-negara membangun, tinjaun tersebut mendapati hampir 4% responden dari negara Jerman yang kaya dan membangun menjustifikasikan seorang suami memukul isterinya. Di Tajikistan, lebih 77% orang bersetuju dengan keganasan rumah tangga.

Menggunakan data Demographic and Health Surveys bagi tempoh 2005 hingga 2017, pengkaji dari University of Bristol menganalisa data dari 49 negara berpendapatan rendah dan sederhana. Data tinjaun menunjukkan 36% responden merasakan suami wajar memukul isteri jika dia keluar tanpa izin, membantah suami, mengabaikan anak-anak, didakwa tidak setia, enggan mengadakan hubungan kelamin, atau menghangitkan makanan. 

Daripada 49 negara itu, sifat responden terhadap isu keganasan rumah tangga berlainan, dengan hanya 3% menjustifikasikannya di Dominican Republic dan seramai 83% di Timor-Leste. Penerimaan keganasan rumah tangga tinggi di Asia Selatan (47%), diikuti Sub-Sahara Afrika (38%), Eropah dan Asia Tengah (29%), serta Amerika Latin dan kepulauan Caribbean (12%).

Di kebanyakan negara, para wanita yang lebih mewajarkan keganasan rumah tangga berbanding lelaki. Wanita yang mempunyai lebih banyak hak ekonomi kurang menjustifikasikan keganasan rumah tangga. Kajian di Ghana mendapati wanita dari golongan paling kaya kurang mewajarkan keganasan rumah tangga berbanding wanita dari keluarga miskin. 

Di Nepal, hampir 30% isteri dan suami merasakan isteri wajar dipukul dalam keadaan tertentu. Penerimaan keganasan ke atas isteri oleh suami berkait dengan perbuatan lampau dalam tempoh setahun lepas dan seumur hidup. 

 

Hubung kait status ekonomi dan keganasan rumah tangga

Terdapat pelbagai kajian yang telah dijalankan untuk melihat kesan ekonomi ke atas risiko keganasan rumah tangga. Sebuah kajian yang dijalankan di Isfahan, Iran, mengenal pasti hubungan signifikan antara status sosioekonomi dan keganasan rumah tangga. Wanita yang berlatar belakang sosioekonomi rendah lebih terdedah kepada keganasan. 

Hubung kait positif antara ketidaksamaan pendapatan dan keganasan rumah tangga turut ditemui dalam kajian di India. Kajian mendapati kekayaan isi rumah mengelak wanita daripada menjadi mangsa keganasan. Oleh itu, pengkaji berpendapat merapatkan jurang pendapatan sebagai salah satu cara untuk mengurangkan keganasan ke atas wanita. Walau bagaimanapun, keganasan rumah tangga turut disumbang oleh faktor lain seperti agama dan kasta. 

Berdasarkan laporan kajian oleh Joseph Downtree Foundation, analisis mendapati pendedahan kepada keganasan rumah tangga dikaitkan dengan pendapatan rendah, kekangan ekonomi, dan penerimaan bantuan. Di United Kingdom, UK Poverty and Social Exclusion Survey 2012 menunjukkan responden dalam kemiskinan lebih mengalami penderaan fizikal dan dikawal berbanding kumpulan tidak miskin.

Selain itu, tinjauan Myanmar Demographic and Health bagi tahun 2015–2016 menunjukkan kebanyakan wanita merasakan suami mempunyai hak untuk memukul isteri jika dia melakukan tindakan tertentu. 43% wanita mengiyakan perkara tersebut jika isteri mengabaikan anak-anak. Analisa juga mendapati status ekonomi rendah dikaitkan dengan prevalens keganasan rumah tangga lebih tinggi.

Namun begitu, hubungan antara kekayaan dan keganasan rumah tangga didapati berubah-ubah di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Di Mozambique, kadar keganasan rumah tangga lebih tinggi dalam golongan terkaya berbanding termiskin. Walaupun beberapa kajian menemui dapatan sebegini, kebanyakannya mendapati tahap sosioekonomi tinggi mengurangkan risiko keganasan rumah tangga

 

Keganasan rumah tangga lebih banyak terjadi dalam golongan pendapatan rendah

Secara umumnya, golongan berpendapatan rendah menjustifikasikan keganasan yang dilakukan oleh suami ke atas isterinya. Pelbagai kajian yang dijalankan turut mendapati tahap ekonomi rendah, di samping tahap pendidikan rendah dan faktor budaya, meningkatkan risiko keganasan rumah tangga ke atas wanita. 

Menurut Pengarah Latihan Pembangunan Masyarakat Yayasan Pendidikan Hidayah, Adnan Omar, tekanan ekonomi yang dirasakan ketika pandemik COVID-19 menyebabkan sesetengah suami melepaskan  amarah kepada isteri dalam bentuk keganasan fizikal, emosi dan secara lisan. 

Pada masa yang sama, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menemukan keganasan ke atas wanita menyebabkan kurang penyertaan wanita dalam pekerjaan, seterusnya mengurangkan aktiviti ekonomi. Oleh itu, dapat dilihat kepentingan untuk mengelak keganasan rumah tangga daripada terus berlaku.


Rujukan:

1. https://www.awam.org.my/domestic-violence/
2. https://bmcpublichealth.biomedcentral.com/articles/10.1186/s12889-020-09587-4
3. https://www.humanprogress.org/our-ancestors-thought-domestic-violence-was-hilarious-and-necessary/
4. https://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0206101
5. https://academic.oup.com/inthealth/article/15/2/182/6594654
6. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3994152/
7. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC10196406/
8. https://www.econstor.eu/bitstream/10419/148026/1/872003299.pdf
9. https://research-information.bris.ac.uk/ws/portalfiles/portal/128551400/JRF_DV_POVERTY_REPORT_FINAL_COPY_.pdf
10. https://link.springer.com/article/10.1007/s10896-020-00190-0
11. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/34011189/
12. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3994152/
13. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/05/840129/tekanan-kewangan-antara-punca-keganasan-rumah-tangga
14. https://www.imf.org/en/Blogs/Articles/2021/11/24/how-domestic-violence-is-a-threat-to-economic-development

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 10 months ago