Benarkah Kelantan Mempunyai Kes HIV Tertinggi di Malaysia?

Salah
Benarkah Kelantan Mempunyai Kes HIV Tertinggi di Malaysia?

Ada pihak yang mendakwa kes HIV paling banyak dilaporkan di Kelantan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 16/12/2022 - Disunting : 16/12/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Kelantan Mempunyai Kes HIV Tertinggi di Malaysia?

Terdapat pihak yang membuat kenyataan bahawa kes jangkitan Human Immunodeficiency Virus atau HIV di Malaysia paling banyak dikesan di Kelantan. Kenyataan sedemikian banyak dibuat sejak kebelakangan ini berikutan kritikan terhadap cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperluaskan penggunaan ubat profilaksis pra-pendedahan (PrEP) kepada pasangan homoseksual sebagai langkah mencegah penyebaran HIV.

Pihak QGenAnalysts berkata pemberian ubat kepada pasangan homoseksual hanya akan memberikan mereka hak untuk terus kekal dalam gaya hidup sedemikian. Pada pendapat mereka, usaha langkah pencegahan HIV utama adalah dengan mencegah hubungan sesama jenis. Cadangan KKM tersebut turut dibantah oleh Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Malaysia (I-Medik) kerana mereka merasakan ia akan meruntuhkan nilai moral masyarakat serta penglibatan kos yang tinggi yang melibatkan wang pembayar cukai.

 

Human Immunodeficiency Virus (HIV)

Menurut Ketua Jururawat di Unit Kejururawatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Habil Kamaruzaman, HIV boleh memusnahkan sistem pertahanan tubuh badan individu yang dijangkiti. Jika tidak dirawat, HIV pada peringkat akhir jangkitan boleh menyebabkan sindrom kurang daya tahan melawan penyakit atau acquired immunodeficiency syndrome (AIDS). 

Habil berkata, pesakit HIV tidak harus ditakuti atau diketepikan kerana ia tidak boleh berjangkit melalui pergaulan normal seperti berjabat tangan, berkongsi perkakas makanan atau tandas, dan menaiki pengangkutan awam yang sama. Seseorang boleh dijangkiti HIV melalui hubungan seks tanpa perlindungan atau perkongsian jarum suntikan. HIV juga boleh merebak kepada bayi ibu mengandung yang mempunyai virus tersebut.

 

Dakwaan Kelantan tertinggi kes HIV

Dakwaan Kelantan mempunyai kes HIV tertinggi sebenarnya telah dibuat beberapa tahun lepas. Pada tahun 2017, sebuah hantaran telah dibuat oleh Malaysia Kini yang bertajuk ‘Polisi agama ketat, tapi HIV paling tinggi di Kelantan’. Menurut Dato’ Tan Ken Ten, selaku Timbalan Ketua MCA Kelantan ketika itu, berdasarkan kajian kes-kes HIV, pihak berkuasa kesihatan berkata wujudnya amalan seks bebas di Kelantan. Malah, Tan turut berkata terdapat peningkatan masalah sosial dan kes rogol di Kelantan sebagai kritikannya terhadap Nasrudin Hassan yang mendakwa “pakaian seksi, konsert dan muzik provokatif adalah punca utama perbuatan tidak bermoral di negara ini.”

Seterusnya, pada tahun 2019, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji Chong Zhemin membuat kenyataan walaupun Kelantan tidak mempunyai pawagam, penularan HIV tetap tidak dapat dihalang dan merupakan tertinggi di Malaysia. Nasrudin kemudiannya berkongsi statistik oleh KKM yang menunjukkan penurunan kes HIV di Kelantan dari tahun 2015 hingga 2017. Menurut Nasrudin, Parti Tindakan Demokratik (DAP) menjadikan isu jumlah HIV tertinggi di Kelantan sejak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mula bekerjasama dengan UMNO.

 

Statistik HIV di Malaysia

Hanya statistik tahunan HIV di Malaysia berdasarkan negeri dari tahun 2015 hingga tahun 2017 yang ditemui melalui Data Terbuka Malaysia. Berdasarkan rajah di bawah, jelas Kelantan tidak pernah menjadi negeri tertinggi dengan kes HIV bagi tiga tahun tersebut. Jumlah kes HIV baru tertinggi bagi ketiga-tiga tahun adalah dilaporkan di Selangor, diikuti oleh Kuala Lumpur dan Johor. Kelantan melaporkan kurang daripada 200 kes HIV bagi tahun 2015 hingga 2017. 

Sumber: Data Terbuka Malaysia

Data mengenai HIV bagi tahun 2018 hingga 2021 boleh didapati daripada laporan Global Aids Monitoring oleh KKM. Terdapat seramai 75,040 jumlah pesakit HIV dilaporkan pada tahun 2018. Negeri dengan jumlah pesakit HIV tertinggi adalah Selangor (28%), Kuala Lumpur (13%) dan Johor (9%). Hal ini adalah serupa dengan turutan negeri tertinggi HIV bagi tahun 2015 hingga 2017. Manakala, Kelantan hanya melaporkan 3% jumlah pesakit HIV. 

Peratus pesakit HIV mengikut negeri, 2018
Sumber: Global Aids Monitoring 2019, KKM

Bagi tahun 2019, data yang dilaporkan mengikut negeri adalah bagi kes baru HIV. Sebanyak 3,564 kes jangkitan HIV baru yang dilaporkan dengan majoriti daripadanya adalah di Selangor, diikuti oleh Kuala Lumpur dan Johor. Sekali lagi, turutan ini bertepatan dengan jumlah pesakit HIV di setiap negeri terbabit bagi tahun 2018.

Peratus kes HIV baru mengikut negeri, 2019
Sumber: Global Aids Monitoring 2020, KKM

Daripada jumlah ini, hanya 3% kes HIV baru yang dilaporkan di Kelantan. Malah, laporan turut menunjukkan bahawa kes HIV makin banyak berkurang di Kelantan dibandingkan pada tahun 2010.  

Peratus perubahan dalam kes HIV baru mengikut negeri, antara 2010 dan 2019
Sumber: Global Aids Monitoring 2020, KKM

Seterusnya, bagi tahun 2020, sebanyak 3,146 kes HIV baru dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit HIV di Malaysia seramai 80,428 orang. Rajah di bawah menunjukkan peratus jumlah pesakit HIV mengikut negeri dengan Selangor (31%) merupakan negeri tertinggi pesakit HIV, diikuti oleh Kuala Lumpur (13%) dan Pulau Pinang (10%). Johor (7%) yang tidak lagi menjadi negeri ketiga tertinggi pesakit HIV telah turun dua tangga berbanding tahun 2018, manakala Pulau Pinang naik dua tangga dari 7% hingga 10%. Kelantan seperti tahun 2018 hanya melaporkan 3% jumlah pesakit HIV daripada jumlah pesakit di seluruh Malaysia dan merupakan negeri kelima dengan pesakit HIV tersedikit. 

Peratus pesakit HIV mengikut negeri, 2020
Sumber: Global Aids Monitoring 2021, KKM

Laporan statistik HIV bagi tahun 2021 menunjukkan pengurangan dalam jumlah pesakit HIV dari 80,428 ke 67,822, dengan 2,760 kes HIV baru dilaporkan. Selangor (30%) masih menjadi negeri dengan jumlah pesakit HIV tertinggi diikuti dengan Kuala Lumpur (12%). Pulau Pinang dan Sarawak sama-sama berada di tempat tiga tertinggi dengan masing-masing mempunyai 9% jumlah pesakit HIV. Kelantan (3%) pula merupakan negeri ketiga dengan jumlah pesakit HIV tersedikit berbanding pada tahun 2020. Di samping itu, Perlis dan Labuan masing-masing menunjukkan peningkatan 1%.

Peratus pesakit HIV mengikut negeri, 2021
Sumber: Global Aids Monitoring 2022, KKM

 

Kelantan bukan negeri dengan kes HIV tertinggi di Malaysia

Berdasarkan data bagi tahun 2015 hingga 2021, Kelantan tidak pernah menjadi negeri dengan jumlah kes HIV tertinggi di Malaysia. Malah, Kelantan menunjukkan penurunan dalam jumlah kes HIV baru pada tahun 2019, dan telah menjadi negeri ketiga dengan jumlah pesakit HIV tersedikit pada tahun 2021. Sebaliknya, Selangor kekal di tempat pertama sebagai negeri dengan pesakit HIV tertinggi, diikuti oleh Kuala Lumpur. 


Rujukan:

1. https://harakahdaily.net/index.php/2022/12/12/lgbt-golongan-utama-peningkatan-kes-hiv-di-malaysia/
2. https://harakahdaily.net/index.php/2022/12/13/projek-rintis-kkm-beri-ubat-prep-kepada-pasangan-gay/
3. https://www.kk.usm.my/index.php/95-doktor-usm-di-radio/1044-kenali-hiv-dan-aids-serta-cara-jangkitannya
4. https://www.malaysiakini.com/news/376054
5. https://malaysiadateline.com/kelantan-kes-hiv-antara-tertinggi-fitnah-murahan-pemimpin-dap-kata-pas/
6. https://www.data.gov.my/data/ms_MY/dataset/bilangan-kes-penyakit-hiv-tahunan-mengikut-negeri-dan-kumpulan-umur
7. https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Laporan/Umum/Report_GAM_2019_(Final).pdf
8. https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Laporan/Umum/Laporan_Global_AIDS_Monitoring_2020_new.pdf
9. https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Laporan/Umum/20211130_MYS_country_report_2021.pdf
10. https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Laporan/Umum/MYS_country_report_2021.pdf

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago