Benarkah Kerajaan Malaysia Pada Kali Ini Adalah Sebuah Kerajaan Perpaduan?

Salah
Benarkah Kerajaan Malaysia Pada Kali Ini Adalah Sebuah Kerajaan Perpaduan?

Kerajaan Malaysia kini sering digelar sebagai kerajaan perpaduan oleh orang ramai

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 19/12/2022 - Disunting : 19/12/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Kerajaan Malaysia Pada Kali Ini Adalah Sebuah Kerajaan Perpaduan?

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijalankan pada 19 November yang lalu menunjukkan tiada mana-mana pakatan parti politik yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Sehubungan dengan itu, setelah beberapa hari Parlimen tergantung, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selaku dua pakatan terbesar bersama-sama membentuk sebuah kerajaan perpaduan. Walau bagaimanapun, PN enggan bekerjasama dengan PH dan memilih untuk menjadi blok pembangkang.

Sebuah kerajaan kemudiannya telah dibentuk hasil gabungan PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti-parti kecil lain pada 24 November, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Sejak itu, orang ramai sering merujuk kepada kerajaan Malaysia sebagai sebuah kerajaan perpaduan. 

Kredit gambar: Fernando Fong/ TRP

 

Kerajaan perpaduan

Juga dikenali sebagai national unity government, kerajaan perpaduan merupakan sebuah kerajaan yang ditubuhkan dengan pakatan parti-parti politik terutamanya dalam situasi darurat atau konflik politik. Sering dibentuk apabila tiada majoriti mudah dicapai oleh mana-mana blok parti, ia turut disertai oleh parti-parti politik lawan untuk mencapai perpaduan negara dan kestabilan politik

Sebuah kerajaan perpaduan tidak mempunyai blok pembangkang atau mempunyai jumlah pembangkang yang terlalu sikit. Antara contoh kerajaan perpaduan adalah National Government di bawah bekas Perdana Menteri United Kingdom, Winston Churchill ketika Perang Dunia ke-2 dan amalan Bipartisan antara parti Demokrat dan Republikan di Amerika Syarikat.

Menurut Dr Muzaffar Syah Mallow dari Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, pembentukan sebuah kerajaan perpaduan akan menghentikan perbalahan antara parti-parti politik dan memberi ruang untuk kerajaan fokus terhadap isu-isu penting seperti pandemik dan ekonomi. Walau bagaimanapun, memandangkan kesemua parti akan berfungsi sebagai kerajaan, amalan semak dan imbang tidak akan dapat dilakukan dengan baik. 

 

Kerajaan Perpaduan di Malaysia

Dalam konteks kerajaan Malaysia, PN telah menolak daripada menyertai sebuah kerajaan perpaduan, sekaligus menjadikan mereka blok pembangkang. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata memandangkan kerajaan kini tidak merangkumi semua parti politik, ia bukanlah sebuah kerajaan perpaduan. Sebaliknya, ia merupakan sebuah kerajaan campuran atau gabungan (coalition). Menurut Mahathir, kerajaan gabungan bukanlah sesuatu yang baru dan sudah dilakukan oleh BN sebelum ini melalui gabungan 13 parti politik seperti UMNO, MCA dan MIC. 

Kredit gambar: Siti Murni/ TRP

Perkara ini turut dipersetujui oleh beberapa individu penting lain. Menurut Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, selaku Ahli Parlimen Machang, istilah kerajaan perpaduan yang digunakan adalah tidak bertepatan dengan maksudnya yang sebenar. Hal ini adalah kerana PN telah bersetuju untuk menjadi pembangkang di dalam Dewan Rakyat. Presiden Gerakan Dominic Lau berkata kerajaan persekutuan kini bukan sebuah kerajaan perpaduan tetapi adalah kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Anwar Ibrahim

Pensyarah Sosiologi Politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian turut bersetuju bahawa kerajaan Malaysia bukan sebuah kerajaan perpaduan, tetapi sebuah kerajaan campuran yang merangkumi beberapa blok parti politik utama. Berkenaan penggunaan ‘Kerajaan Perpaduan’ oleh orang ramai serta pemimpin-pemimpin politik, Dr Ridzwan Ahmad dari Universiti Malaya berkata istilah ‘kerajaan perpaduan’ tersebut mungkin hanya merujuk kepada makna majazi yang tidak mengikut definisi asal dan bukan makna hakiki

Sebuah kerajaan campuran atau gabungan terbentuk apabila parti-parti politik bekerjasama dalam pemerintahan sesebuah negara. Seperti kerajaan perpaduan, ia selalunya terjadi apabila tiada mana-mana blok parti yang memenangi majoriti mudah dan menyebabkan parlimen tergantung. Menteri akan dilantik daripada setiap parti yang bersama-sama di dalam sebuah kerajaan gabungan.

 

Kerajaan Malaysia pasca PRU ke-15 bukan sebuah kerajaan perpaduan

Memandangkan kerajaan kini boleh dibahagikan kepada blok kerajaan dan blok pembangkang, istilah kerajaan perpaduan sebenarnya adalah tidak tepat bagi menggambarkan situasi pentadbiran negara sekarang. Sebaliknya, istilah yang lebih tepat bagi menggambarkan kerajaan persekutuan adalah kerajaan gabungan di bawah pimpinan Pakatan Harapan. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pengerusi PN berkata blok parti tersebut akan kekal sebagai pembangkang untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan

Kredit gambar: Parlimen Malaysia

Cadangan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan bukanlah pertama kali dikemukakan. Pada tahun 2009, presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah mencadangkan gabungan di antara BN dan Pakatan Rakyat (PR) ketika itu yang merangkumi PKR, PAS dan DAP. Namun begitu, cadangan tersebut telah ditarik balik oleh Hadi Awang sendiri yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia belum bersedia dengan pelaksanaan sebegitu. Mahathir juga pernah berkata pada Disember 2020 bahawa dia bersama Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah bersedia untuk mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan jika kerajaan di bawah Muhyiddin gagal dalam pembentangan belanjawan.


Rujukan:

1. https://www.hmetro.com.my/utama/2022/11/907124/agong-titah-pn-ph-bentuk-kerajaan-perpaduan-muhyiddin-tidak-setuju-metrotv
2. https://www.dictionary.com/browse/national-unity-government
3. https://www.thestar.com.my/news/nation/2022/11/24/ge15-all-you-need-to-know-about-a-unity-government
4. https://www.therakyatpost.com/trpbm/berita/2022/12/16/tun-mahathir-perjelas-kerajaan-ketika-ini-adalah-kerajaan-gabungan-bukan-perpaduan/
5. https://www.nst.com.my/opinion/letters/2022/11/852946/pros-and-cons-unity-government
6. https://malaysiapost.com.my/2022/12/01/bukan-kerajaan-perpaduan-tapi-kerajaan-campuran-wan-fayhsal/
7. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/11/26/anwar-pimpin-kerajaan-ph-bukan-kerajaan-perpaduan-kata-dominic/
8. https://www.sinarharian.com.my/article/233550/berita/nasional/kerajaan-anwar-kerajaan-perpaduan-atau-campuran
9. https://malaysiagazette.com/2022/11/26/naratif-kerajaan-perpaduan-dan-kerajaan-campuran-di-malaysia/
10. https://www.britannica.com/topic/coalition-government
11. https://www.thestar.com.my/news/nation/2022/11/25/pn-will-provide-checks-and-balances-to-unity-govt-says-muhyiddin
12. https://www.scmp.com/news/asia/southeast-asia/article/3113912/malaysias-mahathir-says-ready-form-unity-government-if

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago