Benarkah Kucing Haiwan yang Suci Menurut Islam?

Benar
Benarkah Kucing Haiwan yang Suci Menurut Islam?

Kucing adalah haiwan peliharaan yang sering dipelihara di Malaysia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 09/08/2022 - Disunting : 09/08/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Kucing Haiwan yang Suci Menurut Islam?

Benarkah Kucing Haiwan yang Suci Menurut Islam?

Sempena dengan Hari Kucing Sedunia yang jatuh pada 8 Ogos semalam, pautan kali ini akan melihat status kesucian kucing mengikut Islam. Kucing merupakan haiwan peliharaan yang banyak dipelihara oleh keluarga Malaysia. Kajian mendapati bahawa kucing pertama kali dijinakkan di Fertile Crescent yang terletak di Arab Tengah sekitar 10,000 tahun yang lalu. Ia mula berlegar di sekitar kawasan manusia untuk mendapatkan sisa-sisa makanan serta tikus-tikus yang turut berlegar. Ketika zaman Mesir purba, kucing turut diangkat dan disembah sebagai dewi Bastet yang mempunyai kepala kucing dan badan seorang wanita.

 

Kesucian kucing menurut Islam

Menurut hadis riwayat al-Tirmizi, Kabshah binti Ka‘ab telah melihat seekor kucing minum air daripada bekas air wuduk kepunyaan Abu Qatadah. Abu Qatadah yang membiarkan sahaja kucing itu perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” dan Kabsyah menjawab “Ya”.
Abu Qatadah kemudian menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Di dalam kitab Sunan Abu Daud, diceritakan tentang makanan untuk Aisyah R.A yang dimakan sedikit oleh seekor kucing. Ketika Aisyah sedang solat, seseorang telah menghantar dan meninggalkan bubur harisah di rumahnya. Walaupun seekor kucing telah makan sedikit bubur itu, Aisyah R.A turut makan bubur tersebut di bahagian yang dimakan kucing itu selepas selesai bersolat. Aisyah R.A berkata:
“Sesungguhnya kucing itu tidak najis, kerana kucing itu hanyalah sebahagian di antara binatang peliharaan yang mengelilingmu. Sungguh aku telah melihat Rasulullah S.A.W. berwuduk dengan sisa air yang diminum kucing.”

Al- San‘ani di dalam kitabnya menyebutkan bahawa:
“Allah SWT telah memberi keringanan kepada hambaNya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan (atas diri kamu)… dan hadis ini adalah merupakan dalil bahawa kucing itu suci, termasuk juga bekas minumannya (air yang telah diminum).” [Lihat : Subul al-Salam (1/33)]

 

Air liur, hingus dan bulu kucing

Berdasarkan hadis dan kitab di atas, mazhab Syafie menyatakan bahawa air yang telah dijilat oleh kucing adalah suci. Namun begitu, Abu Hanifah berpendapat bahawa ia adalah najis yang diberikan rukhsah dan meminum air tersebut hukumnya makruh, kecuali jika tiada air lain di situ. Berdasarkan kepada Kitab Al-Musu’atul Fiqhiyah, Ustaz Azhar Idrus berkata solat tetap sah walaupun seekor kucing datang menjilat anggota badan seseorang ketika sedang solat kerana kucing adalah haiwan bukan najis seperti anjing dan babi. Selain itu, bekas Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berdasarkan penjelasan oleh Imam al-Nawawi, menyatakan bahawa hingus kucing juga suci kerana ia bukan cecair yang terhasil daripada proses pengumpulan dan perubahan di dalam perut

Kredit gambar: Bayt Al Fann/ Twitter

Bagi seorang Islam yang mempunyai kucing, sudah pasti biasa dengan kucing bermain di kaki atau baring di atas sejadah ketika solat. Menurut mazhab Syafie, bulu kucing yang gugur sewaktu kucing tersebut masih hidup adalah dikira sebagai najis. Walau bagaimanapun, ia adalah sejenis najis yang dimaafkan memandangkan kucing adalah haiwan peliharaan yang ada di mana-mana. Solat yang dikerjakan tetap sah walaupun terdapat bulu kucing di badan, pakaian atau sejadah, atau jika ada kucing yang bermain di kaki sewaktu solat. 

 

Balasan akibat menyeksa kucing

Selain daripada kesucian kucing, balasan ke atas orang yang menyeksa kucing turut disampaikan di dalam hadis. Sebuah hadis menceritakan bahawa seorang wanita telah dimasukkan ke dalam neraka kerana mengurung kucingnya tanpa makanan dan minuman sehingga mati kelaparan. Menurut riwayat oleh Abdullah bin ‘Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.”

 

Kucing adalah haiwan yang suci

Berdasarkan hadis-hadis sahih dan pendapat para ulamak, jelas bahawa kucing adalah haiwan yang suci di dalam Islam. Air liur dan hingus kucing juga bukanlah najis dan tidak membatalkan wuduk mahupun solat seseorang. Walaupun bulu kucing dikenal pasti sebagai najis, tetapi ia dimaafkan kerana kucing sentiasa berkeliaran di sekitar kita. Hukum memelihara kucing adalah harus, tetapi penting untuk memastikan supaya kebajikannya terjaga dan ia tidak terseksa. 


Rujukan:

1. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5790555/#:~:text=Experts%20traditionally%20thought%20that%20the,agriculture%20was%20getting%20under%20way
2. https://www.boehringer-ingelheim.com/animal-health/animal-health-news/history-cats#:~:text=The%20ancient%20Egyptians%20began%20domesticating,%2Dfeline%2C%20half%2Dwoman
3. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3937-al-kafi-1503-adakah-sah-solat-jika-kucing-bermain-main-di-kaki
4. https://hadis.my/det/7257_sc_dari-daud-bin-shalih-bin-dinar-.html
5. https://akuislam.com/fekah/air-liur-kucing-najis/
6. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5015-al-kafi-1837-adakah-hingus-kucing-najis
7. https://www.facebook.com/muftiWilayahPersekutuan/photos/adakah-sah-solat-jika-kucing-bermain-main-di-kakirujuk-sumber-asal-httpbitlyadkh/1668274206645885/
8. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4458-al-kafi-1707-benarkah-rasulullah-s-a-w-pernah-memiliki-kucing-bernama-muezza?fbclid=IwAR1TNyRo2t43AO47viHDMLIVrwnAEwNNAteupKWETkRU38n7zaL2Pp6zksw

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 4 months ago