Benarkah Lebih 6,500 Pekerja Asing Meninggal Dunia Akibat Pembinaan Stadium Bagi Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar?

Salah
Benarkah Lebih 6,500 Pekerja Asing Meninggal Dunia Akibat Pembinaan Stadium Bagi Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar?

FIFA World Cup Qatar 2022 berlangsung dari 20 November hingga 18 December 2022

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 29/11/2022 - Disunting : 29/11/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Lebih 6,500 Pekerja Asing Meninggal Dunia Akibat Pembinaan Stadium Bagi Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar?

Piala Dunia Federation Internationale de Football Association (FIFA) 2022 telah bermula di Qatar sejak 20 November 2022. Dalam persediaan Qatar sebagai tuan rumah pada tahun ini, Qatar telah membina 7 buah stadium baru beserta lain-lain fasiliti sukan. Terdapat dakwaan bahawa ramai pekerja asing telah meninggal dunia sewaktu pembinaan tersebut. Mari kita semak jika dakwaan ini benar.

 

Pekerja asing di Qatar

Qatar telah diberikan hak sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022 sejak tahun 2010. Selain daripada pembinaan stadium, Qatar juga telah mula membina hotel-hotel baru dan membesarkan lapangan terbang, rangkaian kereta api serta lebuhraya. Menurut Amnesty International, 90% daripada pekerja-pekerja buruh merupakan warga asing. Mereka mengalami pelbagai masalah sejak 2010, seperti tidak menerima gaji, buruh paksa, kerja jangka masa lama dalam cuaca panas dan ketidakupayaan mereka meninggalkan pekerjaan tersebut disebabkan oleh sistem kafala.

Menurut International Trade Union Confederation (ITUC), sejak 2013, seramai 4,000 pekerja asing berisiko kehilangan nyawa dalam tempoh 7 tahun akibat daripada pembinaan fasiliti bagi Piala Dunia 2022. Malah, kematian akibat kerja pembinaan adalah 8 kali lebih tinggi di Qatar berbanding negara-negara kaya lain. 

 

Kematian pekerja asing di Qatar

Kerajaan Qatar telah melaporkan lebih 15,000 kematian warga asing di negaranya antara tahun 2010, iaitu setelah Qatar mendapatkan hak bagi menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022, hingga 2020. Walaupun tiada statistik lebih lanjut mengenai jumlah kematian ini, kebanyakan daripada mereka datang dari negara Nepal dan Bangladesh. Jumlah kematian ini merangkumi warga asing dari negara-negara berpendapatan sederhana dan tinggi, serta mereka yang bekerja sebagai guru, doktor, jurutera dan lain-lain.

Sumber: Planning and Statistics Authority Qatar

Sejak 2011 hingga 2020, terdapat sejumlah 5,927 kematian pekerja asing dari India, Bangladesh, Nepal dan Sri Lanka di Qatar. Selain itu, data dari Kedutaan Pakistan bagi 2010 hingga 2020 menunjukkan kematian 824 orang pekerja asing Pakistan di Qatar. Hal ini bermakna terdapat sejumlah 6,751 kematian warga asing di Qatar yang dilaporkan oleh kedutaan. Walau bagaimanapun, menurut The Guardian, jumlah ini masih belum merangkumi jumlah warganegara lain seperti Filipina dan Kenya yang banyak bekerja sebagai buruh di Qatar.

Kematian sebab semulajadi merupakan punca yang sering berlaku yang merangkumi 70% kematian untuk pekerja India, Nepal dan Bangladesh. Akan tetapi, bedah siasat tidak dilakukan untuk mengenal pasti punca kematian sebenar. Selain itu, laporan kematian yang dihimpun oleh setiap kedutaan juga tidak dikategorikan mengikut umur, tempat kematian atau sektor pekerjaan mendiang. 

Pengarah ILO Qatar, Max Tuñon berkata kematian yang dilaporkan mungkin merangkumi pekerja pejabat atau mereka yang tidak bekerja. Namun begitu, Nick McGeehan, Pengarah FairSquare Projects percaya ramai pekerja asing yang meninggal dunia adalah mereka yang menjalankan pembangunan infrastruktur Piala Dunia. Nick berkata, ramai pekerja asing berada di Qatar hanya kerana ia menerima hak sebagai tuan rumah Piala Dunia.

 

Kematian akibat pembinaan stadium

Hanya 37 kematian dikaitkan secara langsung dengan pembinaan stadium Piala Dunia. Malah, menurut penganjur, hanya tiga orang yang meninggal akibat bekerja di tapak pembinaan Piala Dunia yang hanya merangkumi stadium dan fasiliti latihan. 34 kematian yang lain dikenal pasti sebagai “tidak berkaitan dengan pekerjaan” yang tidak terkait secara langsung dengan kerja-kerja pembinaan, dan termasuk kematian akibat kemalangan jalan raya dihadapi ketika hendak pulang dari kerja.

Memandangkan hanya pekerja di tapak pembangunan stadium yang diambil kira oleh penganjur, jumlah ini hanya merangkumi 2% daripada jumlah pekerja dalam industri pembinaan. Walhal, pembinaan kebanyakan tempat penginapan dan rangkaian pengangkutan awam hanya dibina disebabkan Qatar bakal mengadakan Piala Dunia 2022. 

Kematian ramai pekerja asing dikaitkan dengan haba kepanasan yang melampau di Qatar ketika musim panas. Kajian oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendapati pekerja-pekerja buruh di Qatar menghadapi tegasan haba atau heat stress selama sekurang-kurangnya 4 bulan dalam masa setahun. 

 

Lebih 6,500 pekerja asing meninggal dunia di Qatar, tetapi bukan semata-mata kerana pembinaan stadium

Data dari kedutaan negara-negara jelas menunjukkan bahawa lebih 6,500 orang pekerja asing telah meninggal dunia di Qatar dalam tempoh lebih kurang 10 tahun. Daripada jumlah ini, 37 kematian telah dikaitkan secara langsung dengan pembinaan stadium. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa pembinaan fasiliti dan infrastruktur lain turut berlaku kerana Piala Dunia FIFA bakal dijalankan di Qatar. Pada masa yang sama, mungkin lebih banyak kematian pekerja asing yang tidak dilaporkan oleh kedutaan negara-negara lain. 


Rujukan:

1. https://olympics.com/en/news/fifa-world-cup-2022-venues-stadiums-qatar-football
2. https://edition.cnn.com/2022/11/23/football/qatar-fifa-world-cup-explainer-spt-intl/index.html
3. https://www.bbc.com/news/world-middle-east-35931031
4. https://www.ituc-csi.org/qatar-2022-world-cup-risks-4000
5. https://www.psa.gov.qa/en/statistics/Statistical%20Releases/Population/BirthsDeaths/2020/Bulletin_Births_Deaths_2020_AE.pdf
6. https://www.dw.com/en/fact-check-how-many-people-have-died-for-the-qatar-world-cup/a-63763713
7. https://www.theguardian.com/global-development/2021/feb/23/revealed-migrant-worker-deaths-qatar-fifa-world-cup-2022
8. https://www.lemonde.fr/en/les-decodeurs/article/2022/11/15/world-cup-2022-the-difficulty-with-estimating-the-number-of-deaths-on-qatar-construction-sites_6004375_8.html
9. https://www.dw.com/en/fact-check-how-many-people-have-died-for-the-qatar-world-cup/a-63763713
10. https://www.lemonde.fr/en/les-decodeurs/article/2022/11/15/world-cup-2022-the-difficulty-with-estimating-the-number-of-deaths-on-qatar-construction-sites_6004375_8.html

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago