Benarkah Lebih Banyak Kes Bunuh Diri Terjadi Dalam Kalangan Lelaki?

Benar
Benarkah Lebih Banyak Kes Bunuh Diri Terjadi Dalam Kalangan Lelaki?

Bunuh diri adalah satu daripada 10 penyebab utama kematian di dunia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 13/09/2022 - Disunting : 13/09/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Lebih Banyak Kes Bunuh Diri Terjadi Dalam Kalangan Lelaki?

Menurut data oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,142 kes bunuh diri dilaporkan di Malaysia pada tahun 2021 berbanding 631 kes pada 2020. Perkara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 81% dalam tempoh satu tahun. Malah, pada enam bulan pertama tahun 2022, terdapat sebanyak 467 jumlah kes bunuh diri yang direkodkan. Antara salah satu perkara yang menyumbang kepada kejadian bunuh diri adalah kemurungan yang dialami.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan prevalens kemurungan di peringkat kebangsaan sebanyak 2.3% iaitu bersamaan setengah juta rakyat Malaysia. Ia juga mendapati bahawa 2% lelaki dan 2.6% wanita mempunyai prevalen mengalami kemurungan. Bagi kategori kanak-kanak, perempuan lebih prevalen mengalami masalah kesihatan mental berbanding lelaki. Siti Fatimah Abdul Ghani, seorang kaunselor berdaftar di Universiti Putra Malaysia bagaimanapun menyatakan walaupun wanita lebih kerap mengalami kemurungan, golongan lelaki lebih cenderung untuk membunuh diri disebabkan oleh kemurungan

 

Statistik bunuh diri di Malaysia

Malaysia sehingga kini masih belum mempunyai sebuah sistem khas yang merangkumi kes-kes bunuh diri dalam negara. National Suicide Registry Malaysia (NSRM) kali terakhir melaporkan keadaan kes bunuh diri dalam negara pada tahun 2009, dengan kadar 1.18 kes bagi setiap 100,000 orang. Terdapat 328 kes bunuh diri yang dilaporkan pada tahun itu, dengan nisbah lelaki ke wanita sebanyak 3:1. Walau bagaimanapun, jumlah ini dipercayai kurang daripada jumlah sebenar disebabkan oleh kekurangan melaporkan kes bunuh diri oleh pihak polis dan ahli keluarga. 

Terkini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan sebanyak 10 hingga 13 kes bunuh diri bagi setiap 100,000 orang. Bilangan cubaan bunuh diri pula adalah sekurang-kurangnya 15 kali ganda berbanding kes bunuh diri yang berlaku. Antara kategori yang mempunyai risiko tinggi bagi bunuh diri adalah individu lelaki, berumur kurang 40 tahun dan individu berbangsa India. Prevalens cubaan bunuh diri di Malaysia adalah 6.3 bagi setiap 100,000 orang, iaitu bersamaan dengan 250 orang sehari.

Kredit gambar: Andrik Langfield/ Unsplash

Sebuah kajian ke atas kadar bunuh diri di Malaysia mendapati bahawa antara tahun 2017 hingga 2019, kadar purata bunuh diri bagi lelaki adalah 8.8, manakala kadar bagi wanita hanya 2.4. Kadar bunuh diri telah meningkat dengan mendadak dalam kalangan lelaki dari tahun 2014 hingga 2019. Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan kadar bunuh diri sebanyak 5.8, dengan anggaran kematian sebanyak 1,841 orang, bersamaan dengan 5 orang sehari. Tambahan lagi, statistik bagi tahun 2010 hingga 2014 daripada Pusat Informatik Kesihatan KKM menunjukkan jumlah kematian bunuh diri bagi lelaki adalah lebih tinggi daripada wanita. 

 

Wanita lebih ramai bunuh diri antara 2019 hingga Mei 2021

Tidak dinafikan bahawa banyak kes bunuh diri di Malaysia berlaku dalam kalangan lelaki. Namun begitu, data PDRM bagi tahun 2019 hingga Mei 2021 ketika pandemik COVID-19 menunjukkan perkara yang sebaliknya. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abdul Jalil Hassan berkata daripada 1,708 kes kematian akibat bunuh diri, 83.5% daripadanya adalah wanita, manakala hanya 16.5% lelaki. Ini bermakna, adalah penting untuk kita memahami perkara yang menyebabkan seseorang itu mengambil keputusan membunuh diri. 

Kredit gambar: Simran Sood/ Unsplash

Pada masa yang sama, remaja wanita mengalami kadar tingkah laku ingin bunuh diri lebih tinggi berbanding remaja lelaki, dengan pemikiran bunuh diri sebanyak 10.8%. Walaupun 7.8% remaja wanita bercadang untuk membunuh diri berbanding dengan 6.8% remaja lelaki, namun remaja lelaki lebih ramai membuat cubaan bunuh diri dengan kadar peratusan 7%, berbanding remaja wanita (6.9%).

 

Data rasmi menunjukkan bahawa lebih ramai lelaki bunuh diri

Data yang dikumpul menunjukkan bahawa lebih ramai lelaki yang menjadi mangsa bunuh diri di Malaysia secara umumnya. Perkara ini bukan sahaja terjadi di Malaysia, tetapi juga di negara-negara ASEAN lain yang menunjukkan kadar bunuh diri lebih tinggi dalam kalangan lelaki berbanding wanita.

Kes bunuh diri di Malaysia semakin meningkat setiap tahun disebabkan oleh pelbagai faktor yang disebut oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin iaitu “Isu psikososial dan persekitaran, isu kewangan merangkumi kehilangan sumber pendapatan atau pekerjaan, penyakit mental seperti kemurungan, kurang sokongan sosial dan penyalahgunaan substans”.

KKM telah menyediakan sebuah Memorandum Moratorium untuk menyahjenayahkan cubaan bunuh diri. Sebuah Sistem Registri Bunuh Diri dan Kematian Fatal Kebangsaan (NSFIRM) juga sedang dibangunkan dan dijangka akan beroperasi pada tahun depan. Melalui sistem ini, statistik kes bunuh diri yang lebih terperinci dan tepat boleh diperolehi, seterusnya membantu dalam usaha pencegahan bunuh diri secara bersasar.


Rujukan:

1. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/09/998721/kes-bunuh-diri-dalam-negara-meningkat-81-peratus-tahun-lalu
2. https://iptk.moh.gov.my/images/technical_report/2020/4_Infographic_Booklet_NHMS_2019_-_BM.pdf
3. https://gempak.com/intrend/wanita-lebih-kerap-alami-kemurungan-tapi-lelaki-lebih-ramai-bunuh-diri-awasi-emosi-di-kala-pkp-ini-kaunselor-51300
4. https://relate.com.my/why-get-help-2/suicide-in-malaysia/
5. https://www.crc.gov.my/wp-content/uploads/documents/report/NSRM_report_2009.pdf
6. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC8766712/
7. https://www.academia.edu/32388212/Bunuh_diri_tekanan_desakan_atau_kecelaruan
8. https://codeblue.galencentre.org/2021/07/01/malaysia-records-three-daily-suicides-this-year-up-to-may/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 3 months ago