Benarkah Litupan Hutan Di Malaysia Melebihi 50%?

Benar
Benarkah Litupan Hutan Di Malaysia Melebihi 50%?

Malaysia menyasarkan 50% litupan hutan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 04/01/2023 - Disunting : 04/01/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Litupan Hutan Di Malaysia Melebihi 50%?

Twitter Kolektif Iklim telah membuat sebuah ciapan sama ada benarkah Malaysia mempunyai 54% litupan hutan. Kolektif Iklim menggunakan sumber daripada World Wildlife Foundation (WWF) Malaysia dan Bank Dunia. 

Sebagai tambahan, Kolektif Iklim ditubuhkan pada Januari 2022 dan merupakan sebuah gerakan yang tertumpu kepada pengukuhan sinergi antara tindakan iklim dan perlindungan biodiversiti di Malaysia. 

 

Litupan hutan di Malaysia

Kawasan muka bumi yang mempunyai 0.5 hektar pokok-pokok dengan tinggi melebihi 5 meter dan litupan kanopi lebih 10%, atau pokok-pokok yang akan mencapai kriteria tersebut dikenal pasti sebagai kawasan hutan. Di Malaysia, keseluruhan litupan hutan merangkumi hutan simpan kekal, kawasan perlindungan, hutan taman kerajaan dan hutan tanah pemilik. Kawasan hutan tidak termasuk kawasan yang digunakan untuk agrikultur atau pembangunan bandar. 

Di bawah tema Melonjakkan Kemampanan, Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 menggariskan pengekalan sekurang-kurangnya 50% kawasan litupan hutan sebagai salah satu hasil pelaksanaan. Malah, ikrar tersebut telah dilakukan oleh Malaysia sejak tahun 1992 lagi pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro. 

WWF menyatakan bahawa muka bumi Malaysia dahulunya hampir dilitupi hutan sepenuhnya. Global Forest Watch melaporkan 62% litupan hutan daripada seluruh tanah di Malaysia bagi tahun 2000. Menurut Laporan Kemaskini Dwitahunan Ketiga (BUR3) Malaysia kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), pada tahun 2016, litupan hutan merangkumi 55.2% daripada jumlah tanah negara ataupun 18.24 juta hektar. 

Kini, Malaysia mempunyai keluasan hutan hanya sebanyak 54% daripada tanah negara. Walau bagaimanapun, memandangkan negara ini masih membangun, penebangan hutan yang boleh mengurangkan litupan hutan menjadi kebimbangan utama.

Litupan hutan di Malaysia pada tahun 2000. Sumber: FAO Global Forest Resources Assessment 2000

Kolektif Iklim juga memetik laporan daripada Bank Dunia. Namun begitu, Bank Dunia menggunakan ukuran kawasan hutan dan bukan litupan hutan. Kawasan hutan yang digunakan oleh Bank Dunia mengambil kira kesemua kawasan dengan pokok-pokok melebihi 5 meter tinggi tanpa mengambil kira litupan kanopi 10% seperti di Malaysia. Pada tahun 2020, Bank Dunia melaporkan terdapat 58.2% kawasan hutan di Malaysia berbanding keseluruhan tanah negara. 

Sempena majlis pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan pada 21 Mac 2021, Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada masa itu Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata litupan hutan adalah sebanyak 18.27 juta hektar atau 55.3% daripada keluasan tanah negara. Jumlah yang sama turut dilaporkan di forum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sesi ke-17 pada Mei 2022 di New York, Amerika Syarikat. 

 

Kehilangan hutan di Malaysia

Walaupun Malaysia berjaya mengekalkan lebih 50% litupan hutan daripada seluruh tanah negara, kawasan hutan di Malaysia telah berkurangan dengan mendadak. Menurut Global Forest Watch, Malaysia telah kehilangan 29% tree cover sejak tahun 2000 dengan pengurangan sebanyak 8.67 juta hektar dari 2001 hingga 2021. Bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata tree cover adalah “merujuk kepada perubahan litupan pokok dengan mengambil kira keluasan ladang komoditi dan pertanian yang tidak sepatutnya diambil kira”.

Kehilangan tree cover di Malaysia, 2001-2021. Sumber: Global Forest Watch

Antara 1990 dan 2010, Mongabay melaporkan Malaysia kehilangan purata 96,000 hektar litupan hutan atau 0.43% daripada jumlah tanah negara setiap tahun. Dalam tempoh itu, negara telah kehilangan sejumlah 1.92 juta hektar (8.6%) litupan hutan.

Menurut PBB, kadar pembasmian hutan di Malaysia adalah lebih laju berbanding negara-negara tropika lain di dunia. Analisa oleh Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO) menunjukkan kadar pembasmian hutan tahunan Malaysia naik mendadak hampir 86% antara tempoh 1990-2000 dan 2000-2005. Walaupun FAO melaporkan Malaysia mempunyai kawasan hutan lebih 60%, hanya 11.6% dianggap sebagai hutan yang tidak terusik atau pristine

Pada Ogos 2021, Rimba Disclosure Project melaporkan Malaysia kehilangan sejumlah 9992.2 hektar kawasan hutan, dengan saiz keseluruhan lebih besar berbanding Seremban.

Malaysia mempunyai litupan hutan lebih 50% daripada jumlah tanah negara

Berdasarkan rekod-rekod rasmi yang dilaporkan, terbukti bahawa litupan hutan di Malaysia melebihi 50% daripada tanah negara. Namun begitu, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata Malaysia sebenarnya kehilangan lebih banyak litupan hutan berbanding yang dilaporkan di dalam rekod-rekod rasmi. 

Di samping itu, menurut data daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, hanya terdapat 5.73 juta hektar daripada 13.18 juta hektar, atau 43.47%, kawasan berhutan di seluruh Semenanjung Malaysia. Takiyuddin Hassan berkata Rancangan Fizikal Negara Ke-4 menyasarkan 50% kawasan berhutan di semenanjung menjelang 2040.


Rujukan:

1. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/cop26-malaysia-committed-ending-deforestation-329771
2. https://rmke12.epu.gov.my/bm/dokumen/rmke-12
3. https://www.un.org/esa/forests/wp-content/uploads/2022/05/UNFF17-HLRT-Malaysia.pdf
4. https://www.wwf.org.my/our_work/forest/
5. https://data.worldbank.org/indicator/AG.LND.FRST.ZS?locations=MY
6. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/686488/dasar-perhutanan-malaysia-jadi-rujukan-dasar-hutan-negeri-negeri
7. https://www.globalforestwatch.org/dashboards/country/MYS
8. https://rainforests.mongabay.com/deforestation/2000/Malaysia.htm
9. https://rainforests.mongabay.com/20malaysia.htm
10. https://www.forestry.gov.my/my/pusat-sumber/2016-06-07-03-12-29
11. https://www.utusan.com.my/nasional/2022/05/malaysia-kekalkan-55-3-kawasan-hutan/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago