Makanan dalam tin adalah makanan diproses yang boleh tahan lama. Mungkin ramai yang menganggap makanan dalam tin sebagai makanan tidak berkhasiat. Mari kita semak jika perkara ini benar.
Makanan dalam tin
Makanan dalam tin adalah makanan yang diawet dengan menggunakan bungkusan kedap udara. Terdapat tiga langkah dalam pengetinan makanan iaitu pemprosesan, pembungkusan dan pemanasan. Makanan akan diproses berdasarkan jenis makanan dan merangkumi proses seperti mengupas, memotong, membuang biji atau tulang, dan memasak.
Makanan yang telah diproses kemudiannya akan dibungkus di dalam tin dan dipanaskan untuk membunuh bakteria serta mengelakkan kerosakan makanan. Proses ini membolehkan makanan dalam tin tahan sehingga lima tahun.
Menurut Channel News Asia, makanan dalam tin merangkumi spektrum yang luas iaitu dari makanan tinggi diproses (ultra-processed) seperti sup berkrim dan makanan kurang diproses (least-processed) seperti kacang kuda.
Kadar nutrien makanan dalam tin
Sebenarnya, makanan dengan kadar nutrien tinggi masih mengekalkan kadar nutrien selepas ditinkan. Protein, karbohidrat, lemak serta vitamin larut lemak seperti vitamin A, D, E dan K, tidak terkesan dengan proses pengetinan.
Vitamin larut air seperti vitamin C dan B boleh berkurang disebabkan oleh proses pemanasan. Namun begitu, vitamin ini yang terkandung dalam makanan segar boleh hilang juga sewaktu memasak atau disebabkan cara penyimpanan di rumah.
Pada masa yang sama, kompaun berkhasiat lain boleh meningkat apabila makanan melalui proses pengetinan. Contohnya adalah tomato dan jagung yang menghasilkan lebih banyak antioksida apabila dipanaskan. Tambahan pula, kadar nutrisi makanan dalam tin tidak akan berkurang setelah sekian lama seperti yang terjadi pada makanan segar.
Menurut Academy of Nutrition and Dietetics, individu yang mengambil makanan dalam tin cenderung untuk makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan, serta kadar nutrisi lebih tinggi berbanding mereka yang kurang makan sayuran dan buahan dalam tin. Malah, sebuah kajian mendapati individu yang makan lebih daripada enam makanan bertin seminggu mempunyai pengambilan 17 jenis nutrien lebih tinggi berbanding mereka yang makan dua atau kurang makanan bertin.
Kandungan bisphenol-A (BPA)
Salah satu kebimbangan yang timbul berkenaan makanan dalam tin adalah penggunaan bahan kimia bisphenol-A (BPA) yang sering digunakan dalam pembungkusan makanan. Ini kerana BPA boleh meresap daripada tin ke dalam makanan.
Kajian mendapati penyebab utama manusia terdedah kepada BPA adalah disebabkan memakan makanan dalam tin. Individu yang makan 1 tin sup setiap hari selama lima hari menunjukkan peningkatan 1000% kadar BPA di dalam air kencing. BPA begitu ditakuti kerana ia berpotensi menyebabkan kerosakan terhadap hormon dan DNA, masalah jantung, diabetes jenis 2, dan kanser.
Walaupun begitu, dianggarkan sebanyak 90% makanan bertin tidak lagi menggunakan BPA. Menurut United States Food and Drug Administration (FDA), kadar BPA yang ditemui dalam makanan bertin adalah pada tahap yang selamat.
Kadar garam dan gula
Di samping itu, sesetengah makanan dalam tin mengandungi jumlah sodium yang boleh melebihi pengambilan harian yang disarankan, terutamanya bagi makanan siap masak seperti sup. Buah-buahan, sayur-sayuran dan kekacang dalam tin juga sering dibungkus bersama air gula atau air garam.
Pengguna disarankan memilih makanan yang dibungkus dengan air atau jus semula jadi makanan tersebut, terutamanya makanan kurang diproses. Jika hendak membeli makanan bertin siap masak, terdapat pilihan garam rendah iaitu kurang daripada 200mg sodium bagi setiap hidangan.
Makanan dalam tin tetap mempunyai khasiat
Anggapan bahawa makanan dalam tin tidak berkhasiat adalah salah sama sekali. Malah, terdapat sesetengah makanan dengan kandungan khasiat lebih tinggi selepas ditinkan berbanding makanan segar. Namun begitu, terdapat juga makanan bertin yang mempunyai kandungan garam dan gula tinggi. Oleh itu, pengguna harus membuat pilihan yang tepat apabila membeli makanan dalam tin.
Di samping kandungan makanan bertin, penting juga untuk memastikan kesempurnaan tin itu sendiri. Kementerian Kesihatan Malaysia menegaskan supaya orang ramai tidak mengambil makanan dari dalam tin yang telah kemek, berkarat, gelembung atau melepasi tarikh luput.