Benarkah Malaysia Mempunyai Kadar Sisa Makanan Tertinggi Di Dunia Pada 2019?

Salah
Benarkah Malaysia Mempunyai Kadar Sisa Makanan Tertinggi Di Dunia Pada 2019?

Kadar sisa makanan di Malaysia merangkumi sisa daripada isi rumah, perkhidmatan makanan dan peruncitan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 28/03/2023 - Disunting : 28/03/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Malaysia Mempunyai Kadar Sisa Makanan Tertinggi Di Dunia Pada 2019?

Seorang pengguna Twitter, Faiz, berkongsi sebuah peta yang menunjukkan kadar sisa makanan di seluruh dunia bagi tahun 2019. Peta yang dihasilkan oleh Genuine Impact tersebut adalah berdasarkan United Nations Environment Programme (UNEP) Food Waste Index Report 2021. Ia menunjukkan Malaysia sebagai negara paling tinggi kadar sisa makanan dengan sebanyak 260 kg per kapita sisa makanan.

 

UNEP Food Waste Index Report 2021

Sebelum kita lihat lebih lanjut mengenai kadar sisa makanan di Malaysia, mari kita lihat pada laporan oleh UNEP berkenaan sisa makanan yang menjadi rujukan bagi peta di atas. Kadar sisa makanan bagi tahun 2019 bukanlah kadar benar, tetapi sekadar anggaran yang dibuat berdasarkan data-data sedia ada ketika itu. 

Laporan tersebut juga hanya merangkumi data daripada 3 negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia dan Vietnam sebagai rujukan. Daripada ketiga-tiga negara ini, hanya Malaysia yang mempunyai anggaran sisa makanan bagi isi rumah, perkhidmatan makanan dan peruncitan. Oleh itu, tidak hairanlah jika kadar sisa makanan di Malaysia kelihatan lebih banyak berbanding Indonesia dan Vietnam.

Kadar sisa makanan di Indonesia, Malaysia dan Vietnam. Sumber: UNEP

Malah, Indeks Sisa Makanan yang digunakan oleh UNEP sebenarnya merangkumi kesemua sisa makanan termasuk bahagian makanan yang tidak boleh dimakan. Menurut UNEP, tidak semestinya negara dengan kadar sisa makanan tinggi membuang banyak makanan yang masih boleh dimakan, terutamanya di negara-negara berpendapatan rendah dan tengah. Sebagai contoh, isi rumah yang ramai mungkin lebih kerap masak di rumah dan kemudiannya menghasilkan lebih banyak sisa makanan yang tidak boleh dimakan. 

Bagi data di Bandar Baru Bangi, sisa makanan dikategorikan kepada makanan tidak diguna, sisa dapur umum dan kulit buah-buahan besar seperti durian dan nangka. Hanya 18% daripada jumlah sisa makanan (71 kg per kapita), iaitu sebanyak 12.78 kg adalah makanan tidak diguna. 

Anggaran sisa makanan isi rumah bagi setiap negara Asia Tenggara bagi tahun 2019
Sumber: UNEP

Di samping itu, peta menunjukkan Malaysia membuang sebanyak anggaran 260 kg per kapita sisa makanan pada tahun 2019, tetapi statistik tersebut tidak ditemui di mana-mana bahagian dalam laporan. Sebaliknya, sisa makanan bagi isi rumah Malaysia dianggarkan hanya sebanyak 91 kg per kapita bagi tahun 2019. Jika dicampur dengan sisa makanan dari perkhidmatan makanan dan peruncitan yang dianggarkan sebanyak 26% dan 13% masing-masing, ia baru berjumlah kurang daripada 150 kg sisa makanan per kapita. Oleh itu, tidak pasti Genuine Impact sebenarnya mendapatkan datanya daripada mana. 

 

Pembuangan sisa makanan di Malaysia

Menurut menteri kabinet Reezal Merican Naina Merican pada 2022, Malaysia menghasilkan 38,000 tan metrik sisa pepejal setiap hari. Daripada jumlah ini, hampir 45% adalah 17,000 tan makanan yang dibuang setiap hari. Katanya, jumlah ini mencukupi untuk memberi makan kepada tiga juta orang sebanyak tiga kali sehari.  

Walaupun majoriti (76%) adalah sisa makanan tidak boleh dimakan seperti tulang dan kulit buah-buahan, sebanyak 4,046 tan atau 24% adalah makanan yang masih boleh dimakan. Hal ini bermakna, lebih kurang 120 g per kapita (berdasarkan jumlah populasi 32.7 juta) sisa makanan masih boleh dimakan yang dibuang setiap hari. Dalam masa setahun, jumlahnya adalah sebanyak 45 kg per kapita. 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ismail Mokhtar berkata dijangka sebanyak 19,228 tan metrik sisa makanan yang dibuang setiap hari dalam bulan Ramadan. Ini bermakna, sebanyak 15% tambahan sisa makanan yang terhasil. Di samping itu, penambahan dalam sisa makanan yang dibuang turut berlaku ketika musim perayaan dengan peningkatan antara 15% hingga 20% sejak beberapa tahun lalu.

 

Malaysia membuang banyak sisa makanan yang masih boleh dimakan

Sememangnya pembuangan sisa makanan yang masih elok adalah banyak dan mencecah 4,046 tan sehari. Pada bulan Ramadan dan musim perayaan lain, sisa makanan yang dibuang meningkat sebanyak 15% hingga 20%. Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata orang ramai seharusnya berkongsi atau sedekahkan makanan yang kelihatan banyak dan menyimpan bahan makanan dengan betul untuk mengelakkannya daripada rosak dan dibuang.

Pembuangan sisa makanan bukan sahaja memakan kos yang tinggi iaitu sebanyak RM210 sebulan atau bersamaan dengan RM2,600 setahun bagi setiap isi rumah, ia juga mengambil ruang di tempat-tempat pelupusan dan menyebabkan pencemaran yang seterusnya menyumbang kepada pemanasan global. 


Rujukan:

1. https://www.unep.org/resources/report/unep-food-waste-index-report-2021
2. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/dewan-rakyat-dasar-baharu-pengurusan-sisa-pepejal-di-peringkat-akhir-kpkt-374238
3. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/04/25/wasted-enough-food-to-feed-3-million-with-3-meals-a-day/
4. https://www.nst.com.my/news/nation/2022/08/826643/cap-crack-whip-food-waste
5. https://rnggt.com/202328406/
6. https://www.sinarharian.com.my/article/247589/edisi/selangor-kl/sisa-makanan-dijangka-naik-lebih-75000-tan-metrik-ramadan-ini
7. https://www.nst.com.my/opinion/letters/2018/11/432303/tackling-food-wastage-innovation

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago