Benarkah Mandi Malam Boleh Sebabkan Paru-Paru Berair?

Salah
Benarkah Mandi Malam Boleh Sebabkan Paru-Paru Berair?

Sering dikatakan mandi pada waktu malam boleh menyebabkan masalah paru-paru berair

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 12/06/2023 - Disunting : 12/06/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Mandi Malam Boleh Sebabkan Paru-Paru Berair?

Pasti anda biasa mendengar nasihat supaya tidak mandi pada waktu malam. Ramai yang percaya mandi waktu malam tidak elok untuk kesihatan dan boleh menyebabkan paru-paru berair. Mari kita semak jika perkara ini benar.

 

Paru-paru berair

Sebelum mengupas lebih lanjut mengenai mandi malam, mari kita fahami dahulu maksud paru-paru berair. Paru-paru berair boleh merujuk kepada dua masalah yang berbeza iaitu efusi pleura dan edema paru.

Paru-paru dikelilingi oleh dua lapisan pleura, iaitu pleura parietal dan pleura visera yang membentuk kaviti pleura. Kaviti pleura mengandungi sedikit cecair dan membantu dalam pembesaran dan pengecilan paru-paru. 

Sumber: OpenStax College – Anatomy & Physiology, Connexions/ Wikimedia

Efusi pleura berlaku apabila kaviti pleura dipenuhi cecair. Antara keadaan yang menyebabkan efusi pleura adalah kanser paru-paru, jangkitan kuman paru-paru (pneumonia), masalah lemah jantung, serta kegagalan buah pinggang dan hati. 

Selain itu, paru-paru mempunyai alveolar, seperti kantung kecil, yang mengandungi alveoli.  Alveoli adalah tempat di mana proses pertukaran oksigen dalam salur darah berlaku. 

Sumber: Lady of Hats/ Wikimedia

Air boleh berkumpul di dalam alveolar dan menyebabkan masalah edema paru. Individu yang mempunyai jantung lemah, terkena serangan sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan hati berisiko kepada edema paru. 

 

Mandi waktu malam

Seperti keterangan di atas, tidak dinyatakan sama sekali bahawa masalah efusi pleura atau edema paru boleh disebabkan oleh mandi malam. Berbanding menyebabkan kesan sampingan yang buruk, mandi waktu malam sebenarnya mempunyai banyak kebaikan.

Tubuh badan kita mempunyai jam dalaman yang digelar ritma sirkadian. Ritma sirkadian mengawal proses tidur dan suhu dalaman badan. Menjelang waktu tidur, kebiasaannya suhu badan akan turun sekitar 0.3°C hingga 0.6°C. 

Mandi dengan air hangat dapat merangsang sistem termoregulasi badan, menyebabkan aliran darah bergerak dari teras badan ke arah tangan dan kaki. Perkara ini akan memindahkan suhu dalaman badan sekaligus mengurangkan suhu badan. 

 

Menurut Dr Zubaidi Hj Ahmad, seorang doktor perubatan, mandi malam menggunakan air suam dapat mengembalikan ketahanan fizikal dan emosi. Jika menggunakan air panas, liang roma akan terbuka dan dapat mengeluarkan toksik daripada dalam badan. 

Selain itu, mandi dapat meningkatkan sistem imun badan dan mengelak daripada terkena penyakit kulit atau masalah kesihatan lain. Stress juga dapat dihilangkan dengan mandi, seterusya membantu dalam tidur yang lebih lena. 

Insomnia menyebabkan seseorang sukar untuk tidur. Kredit gambar: Ben Blennerhassett/ Unsplash

Dr. Janet K. Kennedy, seorang ahli psikologi dan pakar tidur di New York, mencadangkan individu yang mengalami insomnia mandi pada waktu malam 90 minit sebelum waktu tidur. Katanya, tubuh badan akan menyejuk apabila menghampiri waktu tidur.

Apabila seseorang mandi, suhu badan akan naik sekejap sebelum turun dengan lebih cepat, sekaligus menyebabkan individu lebih mengantuk. Mandi juga dapat mengurangkan ketegangan otot dan membantu individu untuk tidur. 

Mandi pada waktu malam menggunakan air bersuhu sekitar 40°C, terutamanya sejam sebelum waktu tidur, didapati menurunkan tekanan darah sebelum dan selepas tidur dalam golongan berumur. 

 

Mandi dengan air sejuk

Sudah diterangkan bahawa elok mandi pada waktu malam menggunakan air suam, tetapi bagaimana pula dengan air sejuk?

Dalam sebuah kajian, para atlet yang berendam di dalam air sejuk selama 10 minit selepas latihan mengalami penurunan suhu dalaman badan, kurang gangguan tidur waktu malam, dan tidur nyenyak yang lebih lama dalam tiga jam pertama tidur. 

Namun begitu, kajian lain mendapati mandi dengan air sejuk tiada kebaikan pada kualiti tidur dan menyebabkan denyut nadi meningkat.

Kredit gambar: Andrea Piacquadio/ Pexels

Air sejuk sebenarnya boleh merangsang seseorang menjadi lebih segar dengan meningkatkan kadar kortisol dalam badan. Kortisol membantu dalam menggalakkan tahap kecerdasan dan memberi rangsangan tenaga. Sewaktu tidur, kadar kortisol selalunya akan berkurangan. 

Dr. Michael Breus, seorang ahli psikologi di American Board of Sleep Medicine berkata air sejuk boleh menyebabkan suhu badan turun dengan lebih rendah, membuatkan badan menjadi lebih cerdas. 

Pada masa yang sama, mandi dengan air sejuk juga dikaitkan dengan kadar metabolisme dan sistem imun lebih bagus. Sebuah kajian mendapati hanya bersiram dengan air sejuk selama satu minit sewaktu mandi dapat mengurangkan sekitar 30% cuti sakit ketika musim selesema.

 

Hukum mandi waktu malam

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tiada sebarang larangan di dalam al-Quran dan hadis untuk mandi pada waktu malam. Memandangkan tiada dalil larangan, individu boleh mandi pada bila-bila masa termasuk waktu malam.

Namun begitu, terdapat pendapat makruh mandi pada dua waktu iaitu ketika matahari hampir terbenam serta di antara waktu Maghrib dan Isyak. Berdasarkan kitab Mughni al-Muhtaj, makruh memasuki tandas pada waktu-waktu itu kerana syaitan sedang berkeliaran. 

Di samping itu, mandi juga merupakan suatu ibadah dan sesiapa yang melaksanakannya akan mendapat pahala. Rasulullah SAW bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ 

Maksudnya: “Bersuci adalah sebahagian daripada iman”. 

Riwayat Muslim

 

Mandi waktu malam tidak menyebabkan paru-paru berair atau masalah kesihatan lain

Mandi pada waktu malam boleh menyebabkan paru-paru berair hanyalah mitos semata-mata. Malah, tiada sebarang bukti bahawa mandi waktu malam boleh menyebabkan sebarang penyakit. 

Dr Zubaidi berkata larangan tersebut mungkin muncul kerana ketiadaan tandas pada zaman dahulu. Orang ramai perlu ke perigi atau sungai untuk mandi, dan keadaan waktu malam boleh mengundang pelbagai bahaya seperti binatang berbisa. 


Rujukan:

1. https://rootofscience.com/blog/2017/umum/betul-ke-mandi-malam-menyebabkan-paru-paru-berair/
2. https://www.healthline.com/health-news/having-trouble-sleeping-try-a-hot-bath-before-bed
3. https://www.facebook.com/DrZubaidiHjAhmad/posts/bahaya-mandi-malamterdapat-banyak-salah-faham-tentang-isu-mandi-di-waktu-malam-k/2475333559153371/
4. https://www.nytimes.com/2017/12/22/well/showering-morning-night.html
5. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/31610699/
6. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/33870188/
7. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/23377833/
8. https://www.sleepfoundation.org/sleep-hygiene/shower-before-bed
9. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/859-irsyad-al-hadith-siri-ke-188-hukum-mandi-malam

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 11 months ago