Benarkah Marijuana Perubatan Dibenarkan di Malaysia?

Benar
Benarkah Marijuana Perubatan Dibenarkan di Malaysia?

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Syed Saddiq berkenaan marijuana perubatan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 19/06/2022 - Disunting : 19/06/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Marijuana Perubatan Dibenarkan di Malaysia?

Pihak berkuasa Malaysia telah beberapa kali membuat serbuan dan tangkapan ke atas individu yang melakukan penanaman dan penjualan marijuana, juga dikenali sebagai kanabis dan ganja. Salah satu daripadanya adalah penyanyi nasyid, Yasin, yang telah didakwa pada 31 Mac 2022 atas tuduhan menanam dan memproses pokok kanabis.

 

Mengikut kenyataan bertulis oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, dalam ciapan di Twitter Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, penggunaan marijuana perubatan sebenarnya dibenarkan di Malaysia mengikut syarat-syarat yang tertentu. Kenyataan tersebut menerangkan yang tiada larangan tentang penggunaan marijuana bagi tujuan perubatan di dalam Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952. Produk perubatan berasaskan marijuana hanya boleh diimport dan dijual oleh pihak yang mempunyai lesen kebenaran. Pada masa yang sama, individu dengan keperluan menggunakan produk tersebut perlulah mendapatkan preskripsi daripada pengamal perubatan berdaftar terlebih dahulu. 

 

Walaupun begitu, tiada sebarang produk marijuana perubatan yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia, buat masa ini. PBKD sebelum ini pernah meluluskan Sativex, produk perubatan berasaskan marijuana yang diimport dari Ireland, pada tahun 2014. Namun, GW Pharmaceuticals, pengeluar produk tersebut telah menghentikan penjualan di Malaysia kerana ia tidak mendatangkan keuntungan. 

 

Kredit gambar: Louis Reed/ Unsplash

 

Prof. Madya Dr. Rusdi Abd Rashid, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), telah mengemukakan permohonan kajian berkenaan penggunaan marijuana bagi penyakit tertentu. Berhubungan dengan kewujudan stigma terhadap perasaan khayal atau ‘high’ apabila menggunakan marijuana, beliau berkata terdapat juga kandungan lain di dalam pokok ganja yang tidak menyebabkan khayal seperti cannabidiol (CBD). Tambah beliau lagi, CBD berpotensi sebagai ubat untuk autisme, tahan sakit, antimurung dan mengubati penyakit ketagihan ganja itu sendiri.

 

Marijuana perubatan dibenarkan di Malaysia dengan penguatkuasaan yang ketat

Menurut undang-undang Malaysia dan kenyataan yang diberikan oleh Khairy Jamaluddin sendiri, benar bahawa penggunaan marijuana perubatan tidak dilarang di Malaysia. Walau bagaimanapun, memandangkan tiada sebarang produk perubatan berasaskan marijuana yang berdaftar setakat ini, pengguna tidak mempunyai akses terhadap produk tersebut. Penggunaan ganja, kanabis atau marijuana yang tidak berdaftar sebagai perubatan alternatif masih dilarang dan pengguna boleh didakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Malahan, Seksyen 6B di bawah akta tersebut menjelaskan bahawa seseorang boleh dipenjara seumur hidup jika didapati menanam sebarang pohon ganja. 

Kredit gambar: Richard T Yov/ Unsplash

 

Kerajaan telah menubuhkan Kaukus Medical Cannabis yang dipengerusikan oleh Syed Saddiq untuk mengkaji isu kawal selia dan pengiktirafan marijuana perubatan. Beliau berkata undang-undang Malaysia harus dipinda bagi membenarkan penggunakan marijuana untuk tujuan perubatan.

Rujukan:

1. https://www.therakyatpost.com/news/2022/03/31/watch-yasin-sends-his-regards-to-syed-saddiq-before-getting-charged-for-cultivating-ganja-plants/
2. https://codeblue.galencentre.org/2022/01/15/government-reviewing-dangerous-drugs-act-for-medical-cannabis/
3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/11/891991/kebenaran-kaji-kanabis-khabar-gembira-bagi-penyelidik
4. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/10/14/9-ahli-parlimen-tubuh-kaukus-medical-cannabis-kaji-penggunaan-ketum/
5. https://www.therakyatpost.com/news/2022/05/18/time-to-recognise-medicinal-marijuana-says-syed-saddiq/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago