Benarkah Masalah Gastrik Boleh Berjangkit?

Benar
Benarkah Masalah Gastrik Boleh Berjangkit?

Salah satu punca bagi masalah gastrik ialah jangkitan kuman Helicobacter pylori (H. pylori)

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 12/08/2024 - Disunting : 12/08/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Masalah Gastrik Boleh Berjangkit?

Masalah gastrik seperti gastritis dan penyakit refluks gastroesofagus (GERD) sering dikatakan terjadi apabila seseorang tidak menjaga waktu makan, sekaligus menyebabkan keradangan pada bahagian lapisan atau mukosa perut, refluks asid atau pedih hulu hati.

Selain itu, terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan masalah gastrik termasuk pengambilan minuman berkafein, merokok, merasa tertekan, serta jangkitan kuman Helicobacter pylori. 

Persoalannya, adakah kuman ini boleh menyebabkan masalah gastrik ‘berjangkit’ kepada orang lain?

 

Bakteria H. pylori merosakkan tisu perut

H. pylori merupakan bakteria berbentuk spiral yang duduk pada lapisan perut. Ia dapat hidup di dalam perut dengan meneutralkan asiditi persekitaran. H. pylori menghasilkan enzim digelar urease yang menukar urea menjadi ammonia yang akan melindunginya daripada asid perut. 

Selain itu, bakteria ini juga hidup dengan memasuk ke dalam lapisan mukosa dan melekat pada sel di permukaan dalamnya. Perkara ini juga mengelakkan H. pylori daripada serangan sistem imun badan kerana sel imun tidak boleh sampai ke lapisan perut.

H. pylori yang berada pada lapisan perut ini bukan sahaja akan membiak di sana, tetapi juga boleh membiak di bahagian pertama usus kecil atau duodenum. Bakteria yang membiak ini akan memakan tisu perut, seterusnya menyebabkan gastritis atau ulser perut.

Bakteri H. pylori boleh sebabkan gastritis (Kredit gambar: Cleveland Clinic)

 

Bakteria wujud dalam banyak individu

Kuman H. pylori ini sebenarnya wujud dalam 50% hingga 75% populasi dunia dan tidak menyebabkan kesakitan dalam kebanyakan individu. Kadar yang dianggap negatif bagi kehadiran kuman ini dalam darah ialah 30 U/mL ke bawah. Jika kadar ini mencapai 40 U/mL dan lebih, ia bermakna individu tersebut telah dijangkiti kuman H. pylori. Kadar kuman ini boleh diukur menerusi ujian darah, ujian pernafasan atau ujian ke atas najis. 

Menurut Cleveland Clinic, jangkitan H. pylori kebanyakannya berlaku ke atas kanak-kanak dan lebih kerap berlaku di negara-negara membangun. Kanak-kanak yang tinggal dalam keadaan sesak dan di kawasan kotor lebih terdedah kepada jangkitan ini. 

Di Malaysia, penyelidik menemui prevalens yang berbeza bagi jangkitan H. pylori yang kelihatan seperti mengikut satu ‘corak kohort kaum’. Kajian mendapati masyarakat Melayu kurang mengalami jangkitan H. pylori berbanding Cina dan India. Perkara yang sama turut ditemui di Singapura. 

Di samping itu, prevalens paling rendah dalam kalangan masyarakat Melayu dilihat di Pantai Timur. Orang asli di Sabah dan Sarawak pula didapati mempunyai prevalens dijangkiti lebih 50%.

 

H. pylori boleh ditemui dalam air liur

Satu kajian oleh Central European Journal of Urology pada 2014 mencadangkan 90% individu dengan kuman H. pylori mempunyai bakteria itu di dalam mulut dan air liur mereka.

Memandangkan ia boleh ditemui dalam mulut, H. pylori boleh dijangkiti dari seorang ke seorang yang lain menerusi air liur atau makanan dan minuman yang tercemar. Bakteria yang memasuki mulut akan bergerak ke saluran pencernaan, seterusnya menyebabkan jangkitan dalam perut.

Walaupun seorang individu tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan, namun bakteria tersebut masih boleh disebarkan kepada individu lain. 

Makanan boleh tercemar dengan bakteri H. pylori (Kredit gambar: Edanur Agac/ Unsplash)

 

H. pylori boleh menyebabkan kanser perut

Bakteri H. pylori secara umumnya tidak berbahaya, namun ia boleh menyebabkan ulser pada perut dan saluran penghadaman (penyakit ulser peptik), di samping gastritis dan GERD. H. pylori bertanggungjawab ke atas lebih 90% ulser pada lapisan perut dan duodenum

Hanya sekitar 20% individu yang dijangkiti bakteria ini menunjukkan simptom yang sebenarnya terjadi disebabkan oleh ulser peptik dan gastritis termasuk:

  • Rasa sakit atau seperti terbakar pada perut (selalunya beberapa jam setelah makan dan pada waktu malam). Sakit ini mungkin berlangsung selama beberapa minit sehingga beberapa jam serta boleh datang dan pergi dalam beberapa hari atau minggu
  • Turun berat badan
  • Kembung perut
  • Mual dan muntah berdarah
  • Ketakcernaan makanan (dispepsia)
  • Banyak sendawa
  • Hilang selera makan
  • Najis yang hitam disebabkan oleh darah

Lebih teruk lagi, simptom jangkitan bakteri H. pylori jangka panjang yang tidak dirawat boleh menyebabkan kanser perut.

Kuman ini telah diklasifikasikan sebagai penyebab kanser atau karsinogen manusia pada 1994 kerana peranannya dalam menyebabkan kanser perut. Pada 2021 pula, jangkitan kronik H. pylori ditambahkan ke senarai bahan yang dikenal pasti boleh menyebabkan kanser.

Menurut National Cancer Institute NIH, majoriti kes gastrik adenocarcinoma dan gastrik MALT lymphoma dikaitkan dengan jangkitan H. pylori.

 

Bakteri H. pylori yang menyebabkan masalah gastrik boleh menjangkiti individu lain

Masalah gastrik tidaklah dijangkiti secara langsung, tetapi menerusi penyebaran bakteria H. pylori dari satu individu ke individu lain. Jangkitan ini boleh menyebabkan masalah gastrik seperti gastritis dan GERD. Oleh itu, elakkan berkongsi makanan jika anda mempunyai perut yang sensitif.

Jangkitan H. pylori juga telah dikenal pasti sebagai penyebab kebanyakan ulcer perut. Ia boleh dirawat menerusi pengambilan antibiotik. Namun begitu, artikel yang diterbitkan dalam jurnal Gastroenterology menerangkan bahawa bakteria ini mungkin menjadi lebih daya tahan terhadap antibiotik.


Rujukan:

1. https://www.cancer.gov/about-cancer/causes-prevention/risk/infectious-agents/h-pylori-fact-sheet
2. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/21463-h-pylori-infection
3. https://www.e-mjm.org/1998/v53n3/Helicobacter_Pylori.pdf
4. https://www.healthline.com/health/h-pylori-contagious
5. https://dph.illinois.gov/topics-services/diseases-and-conditions/diseases-a-z-list/helicobacter-pylori.html
6. https://www.cancer.gov/about-cancer/causes-prevention/risk/infectious-agents/h-pylori-fact-sheet

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 month ago