Benarkah Masyarakat Bajau Laut Penduduk Asal Di Sabah?

Benar
Benarkah Masyarakat Bajau Laut Penduduk Asal Di Sabah?

Masyarakat Bajau Laut tinggal di sekitar perairan Sabah dan kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai sebarang dokumen rasmi

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 20/06/2024 - Disunting : 20/06/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Masyarakat Bajau Laut Penduduk Asal Di Sabah?

Isu penindasan terhadap golongan masyarakat Bajau Laut bukanlah sesuatu yang asing lagi. Ini kerana kebanyakan mereka merupakan orang tanpa kerakyatan dan hanya boleh tinggal di atas laut. 

Salah satu kejadian yang tular ialah pengusiran masyarakat Bajau Laut dari tempat tinggal mereka di Semporna oleh pihak berkuasa negeri Sabah. Malah pihak berkuasa juga telah merobohkan serta didakwa membakar penempatan tersebut pada 4 hingga 6 Jun 2024.

Sehubungan itu, orang ramai mempertikaikan tindakan sedemikian yang dikatakan dijalankan ke atas masyarakat asal di perairan itu. Perkara ini menimbulkan persoalan sama ada masyarakat Bajau Laut merupakan penduduk asal di sana mahupun tidak.

Baca Artikel Berkaitan: Mengapakah Masyarakat Bajau Laut Di Semporna Diusir & Rumah Diroboh?

 

Bajau Laut masyarakat nomad

Masyarakat Bajau secara umumnya merupakan etnik kedua terbesar di Sabah dan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Bajau Pantai Barat dan Bajau Pantai Timur. Etnik ini boleh dibahagi kepada beberapa sub-etnik lain termasuk Bajau Laut di pantai timur yang mendiami kawasan sekitar perairan Semporna.

Secara umumnya, etnik Bajau Laut dikategorikan sebagai masyarakat tanpa kerakyatan atau ‘stateless’. Mereka juga dikenali sebagai masyarakat adat laut kerana terkenal sebagai pelaut yang hebat serta mengamalkan hidup nomad.

Selain itu, mereka merupakan sebahagian daripada komuniti etnolinguistik dikenali sebagai Sama Bajau yang boleh ditemui di Filipina dan Sabah. 

Berdasarkan artikel yang diterbitkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS), masyarakat Bajau Laut tinggal di kawasan sama sejak zaman nenek moyang mereka iaitu di Laut Sulu dan Celebes atau Segi Tiga Sulu-Semporna-Selatan Sulawesi. 

Pergerakan mereka di perairan tersebut tidak terbatas dan tidak menjadi isu dengan masyarakat di wilayah darat. Namun kedatangan British yang mewujudkan negara bangsa Malaysia, Filipina dan Indonesia menyebabkan status sah Bajau Laut menjadi bermasalah.

Tidak seperti Bajau Laut, kumpulan Bajau yang lain telah berintegrasi dengan masyarakat Malaysia. Masyarakat Bajau Laut walau bagaimanapun masih menjalani hidup separa nomad di Sabah dan dianggap tiada kewarganegaraan oleh kerajaan negara.

Kredit gambar: Borneo Child Aid/ Flickr

 

Bajau Laut berasal dari Selatan Filipina

Satu artikel jurnal menerangkan bahawa masyarakat Bajau laut yang menetap di Semporna adalah berasal daripada selatan kepulauan Filipina. Mereka walau bagaimanapun telah berpindah dan menetap di sekitar perairan itu sejak abad ke-18 iaitu sewaktu pemerintahan Kesultanan Sulu.

Ini adalah jauh sebelum Borneo Utara (Sabah) menjadi negeri naungan British pada 1888 dan sebahagian daripada tanah jajahan mahkota British pada 1946 hingga 1963. Oleh yang demikian, pengkaji dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam artikel menyatakan bahawa etnik ini boleh dikategorikan sebagai orang asli kerana diketahui telah wujud di perairan tersebut sejak abad ke-18.

 

SBBU mungkin sebabkan Bajau Laut mula menetap di satu tempat

Salah satu perkara yang dipercayai menyebabkan masyarakat Bajau Laut di Semporna meninggalkan tradisi berlayar ialah penguatkuasaan pendaftaran bot oleh Syarikat Berpiagam Borneo British (SBBU). Ia bertujuan bagi mengawal pergerakan maritim masyarakat itu serta menggalakkan penempatan kekal mereka.

Menurut penyelidik C. Sather yang banyak mengkaji tentang masyarakat adat laut ini, mereka telah mula meninggalkan kehidupan di atas bot sejak tahun 1954. Sebaliknya, mereka membina rumah di atas air. Masyarakat Bajau Laut juga telah menubuhkan kediaman Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Labuan Haji yang terletak di Pulau Bum-Bum.

 

Masyarakat Bajau Laut huni Semporna sebelum ada penduduk

Dalam pada itu, pengkaji telah menyelidiki tentang masyarakat Bajau Laut sewaktu pendudukan Jepun. Hasil temubual bersama beberapa individu etnik tersebut mendapati bahawa mereka telah menetap di Umaral (dipercayai Pulau Omadal) dan Bun-Bun (dipercayai Pulau Bum-Bum) ketika itu. 

Malah, individu yang ditemubual turut menjelaskan bahawa ketika itu Bun-Bun serta tanah besar Simporna (Semporna) masih belum dihuni oleh sesiapa. Jelas mereka, migrasi ketika itu dilakukan bagi menjauhkan diri dari situasi perang antara Jepun dan Amerika Syarikat. 

 

Adakah Bajau juga masyarakat nomad sebelum ini?

Di samping itu, masyarakat Bajau yang kini mendiami Sabah dan disahkan kerakyatan mereka juga dipercayai merupakan komuniti nomad Bajau Laut sebelum menetap di darat. Ini adalah berdasarkan catatan pengkaji D.E. Sopher yang menjelaskan bahawa orang Bajau hidup di atas perahu. Mereka boleh ditemui bukan sahaja di Malaysia dan Sulawesi, tetapi sehingga ke teluk Martaban di Burma.

Malah, masyarakat Bajau dipercayai berasal dari selatan Filipina di kawasan Mindanao, Basilan dan Kepulauan Sulu, sama seperti Bajau Laut. Satu lagi teori lain pula menjelaskan bahawa mereka berasal dari Johor.

‘Bajau’ itu sendiri bermaksud ‘berjauhan’ mengikut pengkaji Hasan Mat Nor dan digelar sedemikian kerana sering berjauhan dari kampung asal. Ben J. Wallace pula mengatakan istilah tersebut merupakan singkatan bagi perkataan ‘Bajak Laut‘ atau ‘Baja Laut’ yang bermaksud lanun.

Kredit gambar: Borneo Child Aid/ Flickr

 

Bajau Laut diberi kelonggaran bergerak bebas di perairan Malaysia-Filipina

Mungkin ada yang mempersoalkan, jika masyarakat Bajau Laut tidak mempunyai kerakyatan, mengapa mereka boleh tinggal di perairan negara?

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Ismail Ali, etnik Bajau Laut diberi keistimewaan khas dan kelonggaran oleh kerajaan Sabah. Mereka tidak dihantar pulang ke ‘negara asal’ Filipina serta bebas bergerak di antara perairan Malaysia dan Filipina. 

Katanya lagi, kemerdekaan Sabah pada tahun 1963 menyebabkan status Bajau Laut sukar ditentukan, seterusnya menjadikan mereka tercicir daripada arus pemodenan serta usaha pembasmian kemiskinan dan jenayah maritim.

Malah, Ismail menjelaskan bahawa etnik tersebut mengalami nasib sebegitu disebabkan tidak wujud persefahaman antara Malaysia dan Filipina untuk menyediakan tempat di daratan atau pulau bagi mereka. Oleh itu masyarakat adat laut ini terus tinggal di Laut Sulu.

“Kaum Bajau Laut lebih suka berada di perairan Sabah berbanding pulau di Filipina kerana stabil dari segi keselamatan dan mudah mencari rezeki. Kekaburan dalam status kerakyatan dan kedudukan mereka di perairan Sabah-Filipina menyebabkan kaum ini diklasifikasikan sebagai orang tanpa kerakyatan (stateless), bukan pendatang tanpa izin atau pelarian politik,” katanya.

 

Keburukan Bajau Laut sebagai ‘stateless’

Keputusan untuk tidak memberikan sebarang status kewarganegaraan kepada masyarakat adat laut ini menyebabkan mereka menjadi amat terjejas. Ketiadaan dokumen rasmi menyebabkan etnik Bajau Laut dikecualikan daripada menerima servis penjagaan kesihatan, ruang dalam masyarakat, malah pendidikan yang disediakan oleh kerajaan. 

Bagi rawatan kesihatan di klinik atau hospital kerajaan, mereka perlu membayar mengikut kadar ditetapkan bagi warga asing, iaitu lebih dua kali ganda berbanding warganegara.

Di samping itu, masyarakat ini juga terdedah kepada pengeksploitasian. Perkara ini menjadi kebarangkalian masalah keselamatan perairan Sabah memandangkan mereka tidak mempunyai ikrar taat setia dengan mana-mana negara.

Kredit gambar: Borneo Child Aid/ Flickr

Bajau Laut orang asal di Sabah

Berdasarkan kepada beberapa artikel jurnal, dapat dikatakan masyarakat Bajau Laut merupakan orang asli Sabah memandangkan mereka telah berada di sana sejak abad ke-18 lagi. Namun begitu, komuniti ini berdepan masalah kerakyatan setelah wujudnya persempadanan antara negara Malaysia, Filipina dan Indonesia. 


Rujukan:

1. https://jurcon.ums.edu.my/ojums/index.php/ejk/article/view/2771
2. https://jslim.uitm.edu.my/pdf/jilid_6_1/jilid_6_5.pdf
3. https://sagc.sabah.gov.my/?q=en/law-category/treaties-and-engagements-and-orders-page
4. http://eprints.usm.my/44944/1/Kedudukan%20dan%20Keberadaan%20Masyarakat%20Orang%20Asli%20Bajau%20Laut%20dalam%20Sejarah%20pendudukan%20Jepun%20di%20Sabah%201942%2045%207.pdf
5. https://journalarticle.ukm.my/2951/1/1.pdf
6. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/04/47649/status-kerakyatan-kebanyakan-palau-masih-samar

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 3 months ago