Benarkah Melancong Secara Domestik Akan Meningkatkan Ekonomi Negara?

Benar
Benarkah Melancong Secara Domestik Akan Meningkatkan Ekonomi Negara?

Industri pelancongan di Malaysia merupakan antara penyumbang utama bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 03/11/2023 - Disunting : 03/11/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Melancong Secara Domestik Akan Meningkatkan Ekonomi Negara?

Malaysia terkenal dengan pelbagai tempat pelancongan yang menarik seperti kawasan pantai, pulau, gunung-ganang dan bangunan pencakar langit yang meletakkan negara di mata dunia. Bukan sahaja rakyat tempatan, malah individu dari seluruh pelusuk dunia turut melancong ke Malaysia bagi melawat tempat-tempat tersebut.

Pelancongan merupakan antara industri utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara. Bagi tahun 2022, perbelanjaan pelancongan di Malaysia mencecah RM92.7 bilion dengan sumbangan sebanyak 14% (RM251.5 bilion) kepada KDNK. Menurut Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP) bagi tahun itu mencecah RM251.5 bilion.

Sebelum itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik COVID-19  menyebabkan pengurangan yang mendadak dalam pendapatan hasil negara daripada industri pelancongan. Beberapa pihak menyatakan bahawa pelancongan domestik, iaitu pelancongan yang dilakukan oleh rakyat tempatan ke tempat-tempat dalam negara, penting bagi memacu ekonomi Malaysia. Hantaran kali ini akan meneliti lebih lanjut mengenainya.

 

Perbelanjaan bagi pelancongan domestik 2022

Berdasarkan Akaun Satelit Pelancongan (ASP) oleh DOSM, pelancongan domestik bagi tahun 2022 merekodkan jumlah perbelanjaan RM59.2 bilion, manakala pelancongan antarabangsa mencatat perbelanjaan RM33.4 bilion. Nilai ini menunjukkan bahawa pelancongan domestik merangkumi hampir 64% daripada jumlah perbelanjaan bagi keseluruhan industri pelancongan.

Kedua-dua kategori industri pelancongan mencatatkan lonjakan yang mendadak bagi tahun 2022 berbanding tahun 2021 sebelum itu. Perkara ini dikaitkan dengan PKP yang menghalang rakyat negara dan dunia daripada melawat ke Malaysia. 

Menurut Datuk Seri Mohd Uzir, perbelanjaan pelancongan domestik bagi tahun 2022 menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tahun sebelumnya bagi tiga komponen utama iaitu membeli-belah (42.1%), makanan dan minuman (16.4%) serta dan bahan api kenderaan (14.9%).

Timbalan Menteri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata peningkatan dalam pelancongan domestik dapat mengurangkan pengeluaran wang daripada dalam negara. Keadaan ini secara tidak langsung akan menstabilkan ekonomi negara. 

 

Kepentingan pelancongan domestik terhadap ekonomi negara

Pelancongan domestik merupakan pemacu utama bagi industri pelancongan di negara-negara ekonomi besar. Berdasarkan analisis oleh World Travel & Tourism Council (WTTC) bagi tahun 2017, sekurang-kurangnya 50% perbelanjaan industri pelancongan di 22 negara adalah hasil daripada pelancongan domestik

Industri pelancongan Brazil bergantung hampir sepenuhnya kepada pelancongan domestik. Ketika itu, pelancongan domestik bagi Malaysia belum mencapai 50% perbelanjaan industri pelancongan.

Kebergantungan terhadap pelancongan domestik di negara-negara utama, 2017. Sumber: World Travel & Tourism Council (WTTC)

Dalam satu jurnal artikel, para pengkaji menyatakan bahawa Malaysia bergantung kepada pelancongan domestik sebagai pemangkin kepada pemulihan industri pelancongan selepas pandemik COVID-19.

Satu kajian lain juga telah dijalankan mengenai impak COVID-19 ke atas industri pelancongan di Malaysia. Dapatan kajian turut menunjukkan bahawa dari sudut bekalan, pembangunan pelancongan domestik penting dalam mengekalkan prestasi industri pelancongan negara ketika pandemik itu. 

Di samping itu, analisa oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut mendapati pelancongan domestik sebagai aspek penting bagi pembangunan ekonomi negara. Pelancongan domestik menunjukkan peningkatan ketika kajian tersebut dijalankan pada tahun 2020 iaitu sewaktu pandemik COVID-19. 

Menurut Yale University, pelancongan domestik penting untuk ekonomi negara kerana wang yang dibelanjakan akan disalurkan semula ke ekonomi tempatan. Perkara ini membantu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat tempatan dan menyumbang kepada kerajaan yang akan digunakan untuk meningkatkan kualiti infrastruktur dan kemudahan. Hal ini telah adalah bertepatan dengan kenyataan yang dilakukan oleh Khairul Firdaus.

 

Pelancongan secara domestik dapat meningkatkan ekonomi negara

Berdasarkan perbelanjaan yang dicatat oleh DOSM, pelancongan domestik sememangnya membentuk sebilangan besar daripada keseluruhan industri pelancongan di Malaysia. Hal ini secara tidak langsung bermakna ia memainkan peranan yang lebih besar dalam sumbangannya terhadap KDNK negara. 

Para penyelidik yang menjalankan kajian tentang pelancongan domestik di Malaysia memberi cadangan kepada kerajaan supaya menggalakkan pelancongan domestik dengan menawarkan pakej menarik dan menjalankan kempen promosi. Mereka juga mencadangkan kerajaan supaya meneruskan usaha dalam meningkatkan pelancongan domestik untuk mengekalkan kemampanannya pada masa akan datang.


Rujukan:

1. https://www.dagangnews.com/article/pelancongan-malaysia-sumbang-14-kepada-kdnk-2022-dengan-perbelanjaan-rm927-bilion-dosm-30559
2. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/perbelanjaan-pelancongan-domestik-melonjak-kepada-rm592-bilion-pada-2022-438246
3. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/inilah-masanya-rancakkan-pelancongan-domestik-399300
4. https://wttc.org/Portals/0/Documents/Reports/2018/Domestic%20Tourism-Importance%20Economic%20Impact-Dec%2018.pdf
5. https://hrmars.com/papers_submitted/11213/the-impact-of-covid-19-on-malaysia-tourism-industry-supply-chain.pdf
6. https://aei.um.edu.my/malaysias-tourism-industry-challenges-amid-the-covid-19-pandemic https://aei.um.edu.my/malaysias-tourism-industry-challenges-amid-the-covid-19-pandemic
7. https://www.irjmets.com/uploadedfiles/paper/volume2/issue_10_october_2020/4490/1628083177.pdf
8. https://campuspress.yale.edu/ledger/travel-at-home-the-benefits-of-domestic-tourism/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 6 months ago